1 Apabila Saul pulang sesudah memburu orang Filistin itu, dia diberitahu, “Ketahuilah, Daud ada di Gurun En-Gedi.”
2 Lalu Saul mengambil tiga ribu orang yang terpilih daripada seluruh orang Israel, untuk pergi memburu Daud dan pasukannya di batu pejal Kambing Hutan.
3 Sesampainya di kandang-kandang domba di tepi jalan itu, ada gua dan Saul masuk ke dalamnya untuk membuang air, tetapi Daud dan pasukannya sedang berada di bahagian belakang gua itu.
4 Lalu orang Daud berkata kepadanya, “Inilah hari yang difirmankan TUHAN kepada tuan, ‘Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan musuhmu ke dalam tanganmu. Lakukanlah terhadap dia menurut apa yang kaupandang baik.’ ” Daud pun mendekat lalu memotong bucu jubah Saul secara diam-diam.
5 Kemudian berdebar-debarlah hati Daud, kerana dia telah memotong bucu jubah Saul.
6 Lalu berkatalah dia kepada anak buahnya, “TUHAN melarang aku melakukan hal sebegitu terhadap tuanku, orang yang dilantik TUHAN, atau mencederakan dia, kerana dia dilantik TUHAN.”
7 Dengan kata-kata itu Daud menahan anak buahnya dan tidak mengizinkan mereka untuk menyerang Saul. Sementara itu Saul bergegas meninggalkan gua untuk melanjutkan perjalanannya.
8 Kemudian bergegaslah Daud keluar dari dalam gua dan berseru dari belakang Saul, katanya, “Tuanku Raja!” Ketika Saul menengok ke belakang, Daud membongkok dan sujud memberi hormat.
9 Lalu berkatalah Daud kepada Saul, “Mengapakah tuanku mendengar kata-kata kalangan yang mengatakan, ‘Ketahuilah, Daud berikhtiar mencederakan tuanku’?
10 Kata Daud kepada Saul, “Sesungguhnya, pada hari ini mata tuanku sendiri melihat, bahawa TUHAN sudah menyerahkan tuanku ke dalam tangan hamba di dalam gua itu; ada orang yang mendesak hamba untuk membunuh tuanku, tetapi hamba berasa sayang kepada tuanku kerana fikir hamba: ‘Aku tidak akan menjamah tuanku itu, kerana dialah orang yang diurapi dan dilantik TUHAN.’
11 Lihatlah, ayahku, lihatlah punca jubah tuanku di tangan hamba ini. Hamba mengerat punca jubah tuanku, namun tidak membunuh tuanku. Ketahuilah dan sedarilah bahawa tidak ada kejahatan atau kederhakaan daripada pihak hamba. Hamba tidak berbuat dosa terhadap tuanku, sekalipun tuanku memburu hamba untuk mencabut nyawa hamba.
12 Semoga TUHAN menjadi hakim antara hamba dengan tuanku, dan semoga TUHAN membalas perbuatan tuanku terhadap hamba, namun tangan hamba tidak akan menyentuh tuanku.
13 Pepatah zaman dahulu mengatakan, ‘Kefasiqan terbit daripada orang fasiq,’ tetapi tangan hamba tidak akan mencederakan tuanku.
14 Siapakah sesungguhnya yang dikejar raja Israel? Siapakah sesungguhnya yang tuanku buru? Hanya anjing mati! Seekor hama sahaja!
15 Oleh sebab itu semoga TUHAN menjadi hakim dan memutuskan perkara antara hamba dengan tuanku. Semoga Dia menyaksikan, membela perkara hamba, dan membebaskan hamba daripada tangan tuanku.”
16 Setelah selesai Daud menyampaikan hujah itu kepada Saul, berkatalah Saul, “Adakah itu suaramu, anakku Daud?” Kemudian Saul pun menangis dengan suara nyaring.
17 Katanya kepada Daud, “Engkau lebih benar daripada aku, kerana engkau telah berbuat baik terhadap aku, padahal aku berbuat jahat terhadap engkau.
18 Pada hari ini telah kaunyatakan bagaimana engkau berbuat baik terhadap aku. Walaupun TUHAN menyerahkan aku ke dalam tanganmu, engkau tidak membunuh aku.
19 Apabila seseorang menemukan musuhnya, jarang-jarang sekali dia akan melepaskannya pergi dengan selamat! Semoga TUHAN membalas kamu dengan kebaikan atas apa yang kaulakukan kepadaku pada hari ini.
20 Oleh itu, sekarang aku yakin betapa engkau pasti menjadi raja dan jawatan raja Israel akan tetap kukuh dalam tanganmu.
21 Sekarang bersumpahlah kepadaku demi TUHAN, bahawa engkau tidak akan melenyapkan keturunanku dan tidak akan menghapuskan namaku daripada keluargaku.”
22 Lalu bersumpahlah Daud kepada Saul. Kemudian pulanglah Saul ke rumahnya manakala Daud dan anak buahnya pergi ke kubu tempat persembunyian mereka.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Samuel 24
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Samuel 24

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV