1 Lalu pergilah Daud dari situ ke gua Adulam demi menyelamatkan diri. Maka para saudaranya dan seluruh keluarganya yang mendengar hal itu turut pergi ke sana untuk bersama-samanya.
2 Semua orang yang ada dalam kesesakan, yang berhutang, dan yang sakit hati juga datang berkumpul bersama-samanya, dan dia menjadi ketua mereka. Ada kira-kira empat ratus orang lelaki yang menyertainya.
3 Dari situ Daud berpindah ke Mizpa di Moab. Berkatalah dia kepada raja Moab, “Izinkanlah ayah dan ibu hamba datang ke mari dan tinggal dengan tuanku, sampai hamba mengetahui apa yang akan dilakukan Allah terhadap hamba.”
4 Lalu dia membawa mereka menghadap raja Moab, dan mereka pun tinggal bersama dengannya selama Daud berada di kubu pertahanan.
5 Akan tetapi, nabi Gad berkata kepada Daud, “Jangan tinggal di kubu pertahanan ini. Pergilah, masuklah ke Tanah Yehuda.” Maka pergilah Daud lalu masuk ke Hutan Keret.
6 Saul mendengar bahawa Daud dan orang yang menyertainya telah dijumpai. Pada waktu itu Saul sedang duduk di Gibea, di bawah pokok tamariska di Rama. Tombaknya ada di tangannya dan semua pegawainya berdiri dekatnya.
7 Kata Saul kepada para pegawainya yang berdiri dekatnya, “Dengarlah, wahai orang Benyamin! Adakah anak Isai itu akan memberikan ladang dan kebun anggur kepada kamu semua? Adakah dia akan menjadikan kamu semua pemimpin pasukan seribu dan pemimpin pasukan seratus,
8 sehingga kamu semua bersekongkol melawan aku? Tiada seorang pun memberitahu aku ketika anakku sendiri mengikat perjanjian dengan anak Isai itu. Tiada seorang pun daripada kamu yang mengambil berat terhadap aku atau memberitahu aku bahawa anakku telah menghasut pegawaiku untuk melawan aku sambil dia menunggu kesempatan untuk bertindak sebagaimana yang terjadi pada hari ini.”
9 Kemudian berkatalah Do'eg, orang Edom, yang berdiri dekat para pegawai Saul, “Kulihat anak Isai itu mendatangi Ahimelekh anak Ahitub di Nob.
10 Ahimelekh menanyakan petunjuk TUHAN baginya dan memberikan bekalan kepadanya. Diberikannya juga pedang Goliat, orang Filistin itu, kepadanya.”
11 Maka raja memerintahkan agar Imam Ahimelekh anak Ahitub dan seluruh keluarganya, iaitu para imam di Nob, datang menghadap lalu mereka pun datanglah kesemuanya menghadap raja.
12 Kata Saul, “Dengarlah, wahai anak Ahitub.” Jawab Ahimelekh, “Daulat, Tuanku.”
13 Kata Saul kepadanya, “Mengapa kamu, iaitu engkau dan anak Isai itu, bersekongkol melawan aku? Engkau memberikan roti dan sebilah pedang kepadanya serta menanyakan petunjuk TUHAN baginya sehingga dia bangkit melawan aku dan menunggu kesempatan untuk bertindak terhadap aku seperti yang terjadi pada hari ini.”
14 Jawab Ahimelekh kepada raja, “Tetapi siapakah antara semua pegawai tuanku yang begitu dipercayai seperti Daud? Apatah lagi, selain menjadi menantu raja, dia juga ketua para pengawal tuanku dan dihormati di dalam istana tuanku.
15 Adakah baru hari ini sahaja hamba menanyakan petunjuk Allah baginya? Sama sekali tidak! Janganlah Raja menanggungkan sesuatu pun atas hambamu ini atau atas semua keluarga hamba, kerana sedikit pun hamba tidak tahu-menahu tentang semua ini.”
16 Tetapi kata raja, “Engkau harus mati, Ahimelekh, engkau dan seluruh keluargamu.”
17 Kemudian raja berkata kepada para bentara yang berdiri dekatnya, “Majulah dan hapuskanlah para imam TUHAN itu, kerana mereka pun berpihak kepada Daud. Mereka tahu bahawa dia sedang melarikan diri, tetapi mereka tidak memberitahukan hal itu kepadaku.” Namun demikian, para pegawai raja enggan menghulurkan tangan untuk menyerang para imam TUHAN.
18 Lalu berkatalah raja kepada Do'eg, “Majulah dan seranglah para imam itu!” Maka Do'eg, orang Edom itu, maju menyerang para imam. Pada hari itu dia membunuh lapan puluh lima orang yang memakai baju efod daripada kain linen.
19 Nob, kota para imam itu, diserangnya pula dengan mata pedang. Lelaki dan perempuan, anak-anak dan bayi-bayi yang menyusu, juga kawanan lembu, keldai, serta domba, dibunuhnya dengan mata pedang.
20 Seorang anak Ahimelekh anak Ahitub, namanya Abyatar, berjaya menyelamatkan diri lantas melarikan diri lalu bergabung dengan Daud.
21 Abyatar memberitahu Daud bahawa Saul telah membunuh para imam TUHAN.
22 Kata Daud kepada Abyatar, “Pada hari itu, ketika Do'eg, orang Edom itu, berada di sana, aku tahu bahawa dia pasti akan memberitahukan hal berkenaan kepada Saul. Akulah yang menyebabkan kematian seluruh anggota keluargamu.
23 Tinggallah bersama-samaku. Jangan takut. Orang yang mengancam nyawamu ialah orang yang turut mengancam nyawaku. Bersama-samaku engkau akan selamat.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Samuel 22
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Samuel 22

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV