1 Saul sudah berumur sedemikian tahun ketika dia menaiki takhta. Setelah bertakhta selama dua tahun atas Israel,
2 Saul memilih tiga ribu orang Israel iaitu dua ribu orang menyertai Saul di Mikhmas dan di Gunung Betel manakala seribu orang menyertai Yonatan di Gibea-Benyamin. Rakyat yang selebihnya disuruhnya pulang ke khemah masing-masing.
3 Yonatan menumpaskan pasukan orang Filistin di Geba, dan orang Filistin terdengar hal itu. Lalu Saul memerintahkan agar sangkakala ditiup di seluruh negeri, fikirnya, “Biarlah orang Ibrani mendengar.”
4 Semua orang Israel mendengar khabar yang mengatakan, “Saul telah menumpaskan pasukan orang Filistin sehingga orang Filistin sangat membenci orang Israel.” Maka rakyat pun dikerahkan untuk bergabung dengan Saul di Gilgal.
5 Maka berkumpullah orang Filistin untuk memerangi orang Israel dengan tiga ribu buah rata, enam ribu orang anggota tentera berkuda dan pasukan berjalan kaki tidak terkira ramainya bak pasir di tepi laut. Mereka bergerak maju dan berkhemah di Mikhmas, di sebelah timur Bet-Awen.
6 Apabila orang Israel melihat bahawa mereka tersepit dan pasukan mereka memang telah terdesak, maka larilah mereka lalu bersembunyi di gua, di semak, di bukit batu, di ruang bawah tanah, dan di perigi.
7 Bahkan ada beberapa orang Ibrani menyeberangi Sungai Yordan ke Tanah Gad dan Gilead, tetapi Saul tetap bertahan di Gilgal dan seluruh pasukan mengikutinya dengan begitu gementar.
8 Dia menanti selama tujuh hari seperti yang ditentukan oleh Samuel, tetapi Samuel tidak juga datang ke Gilgal sehingga pasukan itu bercerai-berai meninggalkan Saul.
9 Maka Saul berkata, “Bawalah kepadaku segala korban bakaran dan korban kedamaian itu.” Lalu dia mempersembahkan korban bakaran.
10 Sebaik sahaja dia selesai mempersembahkan korban bakaran, tiba-tiba datanglah Samuel. Saul keluar menyambutnya untuk mengucapkan salam kepadanya.
11 Samuel bertanya, “Apakah yang kaulakukan?” Jawab Saul, “Apabila kulihat bahawa pasukan itu bercerai-berai meninggalkan aku, sedangkan engkau tidak juga datang pada waktu yang telah ditetapkan dan orang Filistin telah berkumpul di Mikhmas,
12 maka aku berfikir, ‘Sekarang orang Filistin akan datang menyerang aku di Gilgal, padahal aku belum memohon belas ihsan TUHAN.’ Itulah sebabnya aku memberanikan diri untuk mempersembahkan korban bakaran.”
13 Kata Samuel kepada Saul, “Perbuatanmu itu bodoh. Engkau tidak mengikuti perintah TUHAN, Allahmu, yang diperintahkan-Nya kepadamu. Andainya kamu patuh, memang TUHAN tetap akan mengukuhkan kerajaanmu atas orang Israel buat selama-lamanya.
14 Tetapi sekarang pemerintahan dan kerajaanmu tidak akan tetap. TUHAN telah memilih seorang yang berkenan dalam hati-Nya dan TUHAN telah menunjuk dia untuk menjadi raja atas umat-Nya, kerana engkau tidak mengikuti apa yang diperintahkan TUHAN kepadamu.”
15 Kemudian berangkatlah Samuel meninggalkan Gilgal lalu pergi ke Gibea Benyamin. Saul memeriksa barisan umat yang ada bersama-samanya itu dan ada seramai kira-kira enam ratus orang.
16 Demikianlah Saul dan anaknya, Yonatan serta umat yang ada bersama-sama mereka, tinggal di Geba-Benyamin, manakala orang Filistin berkhemah di Mikhmas.
17 Maka keluarlah tiga gerombolan penjarah dari perkhemahan orang Filistin, gerombolan yang pertama mengambil jalan ke Ofra, ke daerah Syual;
18 gerombolan kedua mengambil jalan ke Bet-Horon, dan gerombolan yang satu lagi mengambil jalan ke perbatasan yang menghadap ke Lembah Zeboim ke arah gurun.
19 Pada waktu itu tidak ada seorang pun tukang besi di seluruh bumi Israel, kerana orang Filistin berkata, “Jangan sampai orang Ibrani membuat pedang atau tombak.”
20 Jadi semua orang Israel harus pergi kepada orang Filistin untuk mengasah mata bajak, beliung, kapak atau cangkul masing-masing.
21 Bayaran untuk mengasah itu ialah dua pertiga syikal untuk cangkul dan mata bajak serta sepertiga syikal untuk penggembur, kapak dan untuk memasang kusa.
22 Oleh itu, sewaktu peperangan itu tidak ada sebilah pedang atau sebatang tombak pun di tangan seluruh pasukan yang menyertai Saul dan Yonatan. Hanya Saul dan Yonatan, anaknya, yang memilikinya.
23 Lalu maralah pasukan orang Filistin ke genting di Mikhmas.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Samuel 13
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Samuel 13

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV