1 Setelah Salomo selesai membina Bait TUHAN, istana raja, dan segala sesuatu yang ingin dibuatnya,
2 TUHAN menampakkan diri kepada Salomo buat kali keduanya, seperti dahulu Dia menampakkan diri kepadanya di Gibeon.
3 Firman TUHAN kepadanya, “Aku telah mendengar doa dan permohonanmu yang kaupanjatkan di hadirat-Ku. Aku telah menyucikan bait yang kaubina itu dan menegakkan nama-Ku di situ untuk selama-lamanya. Mata-Ku dan hati-Ku akan ada di sana sepanjang masa.
4 Mengenai engkau, jika engkau hidup di hadapan-Ku sama seperti Daud, ayahmu, iaitu dengan tulus hati dan jujur serta engkau bertindak selaras dengan segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu dan berpegang teguh pada segala ketetapan serta peraturan-Ku,
5 maka Aku akan meneguhkan takhta kerajaanmu atas orang Israel untuk selama-lamanya seperti yang telah Kujanjikan kepada Daud, ayahmu, demikian, ‘Tidak akan terputus keturunanmu daripada takhta kerajaan Israel.’
6 Akan tetapi, jika kamu dan anak-anakmu berhenti mengikut Aku serta tidak berpegang teguh pada segala perintah-Ku dan segala ketetapan yang telah Kuberikan kepadamu, lalu pergi beribadat kepada mana-mana tuhan lain serta sujud menyembah tuhan-tuhan itu,
7 maka Aku akan menyingkirkan orang Israel dari tanah yang telah Kukurniakan kepada mereka, dan bait yang telah Kusucikan bagi nama-Ku itu akan Kubuang daripada hadirat-Ku. Antara segala bangsa jua Israel akan menjadi suatu ibarat dan sindiran.
8 Bait yang ditinggikan ini akan membuat setiap orang yang melaluinya tercengang, mencemuh, dan berkata, ‘Mengapakah TUHAN berbuat demikian terhadap negeri ini dan bait ini?’
9 Maka orang akan menjawab, ‘Kerana mereka meninggalkan TUHAN, Allah mereka, yang membawa nenek moyang mereka keluar dari Tanah Mesir. Mereka berpaut kepada tuhan-tuhan lain, sujud menyembah dan beribadat kepada tuhan-tuhan itu. Itulah sebabnya TUHAN mendatangkan segala malapetaka ini kepada mereka.’ ”
10 Setelah berakhir tempoh dua puluh tahun Salomo membina dua gedung itu, iaitu Bait TUHAN dan istana raja,
11 Raja Salomo memberi Hiram dua puluh kota di Tanah Galilea, kerana Hiram, raja Tirus itu, telah membekalkan kayu araz, kayu sanubar, dan emas kepada Salomo, sebanyak mana yang dikehendakinya.
12 Lalu Hiram pergi dari Tirus untuk melihat kota-kota yang diberikan Salomo kepadanya, tetapi semua kota itu tidak menyenangkan hatinya.
13 Maka katanya, “Kota-kota macam apakah yang kauberikan kepadaku ini, saudaraku?” Oleh sebab itu orang menamainya Tanah Kabul sampai hari ini.
14 Hiram telah mengirimi raja seratus dua puluh talenta emas.
15 Inilah perihal buruh paksa yang dikerahkan oleh Raja Salomo untuk membina Bait TUHAN, istananya sendiri, Milo, tembok Yerusalem, Hazor, Megido, dan Gezer.
16 (Dahulunya Firaun, raja Mesir, maju berperang merebut Gezer. Dia membakar habis kota itu dan membunuh warga Kanaan yang tinggal di situ. Kemudian dia memberikan kota itu kepada anaknya, isteri Salomo, sebagai hadiah pernikahan.
17 Maka Salomo membina Kota Gezer kembali.) Dia juga membina Bet-Horon Hilir,
18 Baalat, dan Tamar di gurun di negeri itu,
19 semua kota perbekalan yang dimiliki Salomo, kota-kota tempat rata, kota-kota tempat pasukan berkuda, dan apa-apa pun yang ingin dibina Salomo di Yerusalem, di Lebanon, dan di seluruh negeri di bawah kekuasaannya.
20 Semua orang yang tersisa daripada orang Amori, orang Het, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus, yang tidak termasuk orang Israel,
21 iaitu keturunan orang itu yang masih tinggal di negeri itu serta yang tidak dapat ditumpaskan oleh orang Israel, merekalah yang dikerahkan Salomo sebagai buruh paksa, dan demikianlah keadaan mereka sampai hari ini.
22 Sebaliknya, daripada kalangan orang Israel tidak ada seorang pun yang dijadikan hamba oleh Salomo. Mereka dijadikan pejuang, pegawai, pembesar, ajutan, atau panglima kepada pasukan rata dan pasukan berkudanya.
23 Inilah jumlah pegawai utama yang mengetuai pekerjaan Salomo: lima ratus lima puluh orang menyelia rakyat yang melakukan pekerjaan itu.
24 Setelah puteri Firaun berpindah dari Kota Daud ke istana yang khusus dibina Salomo untuknya, maka Salomo pun membina Milo.
25 Tiga kali setahun Salomo mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian di atas mazbah yang dibinanya bagi TUHAN. Dibakarnya pula dupa di atas mazbah pembakaran dupa yang ada di hadapan TUHAN. Demikianlah dia menyelesaikan bait itu.
26 Raja Salomo juga membina seangkatan kapal di Ezion-Geber, yang letaknya dekat Elot, di tepi Laut Merah, Tanah Edom.
27 Lalu Hiram mengirimkan beberapa orang anak buahnya, iaitu awak-awak kapal yang mahir melayari laut, untuk menaiki kapal itu bersama-sama anak buah Salomo.
28 Mereka berlayar ke Ofir dan mengambil dari sana empat ratus dua puluh talenta emas yang dibawa mereka kepada Raja Salomo.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Raja-raja 9
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Raja-raja 9

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV