1 Hiram, raja Tirus, menghantar beberapa orang utusan kepada Daud dengan membawa kayu araz, tukang-tukang batu, dan tukang-tukang kayu untuk membina istana baginya.
2 Maka sedarlah Daud bahawa TUHAN telah mengukuhkan dia menjadi raja atas Israel, dan bahawa martabat kerajaannya terangkat tinggi demi Israel, umat-Nya.
3 Daud mengambil beberapa isteri lagi di Yerusalem. Bagi Daud masih lahir lagi anak-anak lelaki dan perempuan.
4 Inilah nama anak-anak yang dilahirkan di Yerusalem: Syamua, Sobab, Natan, Salomo
5 Yibhar, Elisua, Elpelet,
6 Nogah, Nefeg, Yafia
7 Elisama, Beelyada, dan Elifelet.
8 Ketika orang Filistin mendengar bahawa Daud telah dilantik menjadi raja atas seluruh Israel, pergilah semua orang Filistin untuk mencari Daud. Akan tetapi Daud mendapat tahu tentang hal itu, lalu dia pun pergi menghadapi mereka.
9 Setelah orang Filistin datang dan melakukan penyerbuan di Lembah Refaim,
10 Daud meminta petunjuk Allah, katanya, “Haruskah aku maju menyerang orang Filistin? Adakah akan Engkau menyerahkan mereka ke dalam tanganku?” Firman TUHAN kepadanya, “Majulah, Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tanganmu.”
11 Maka majulah mereka ke Baal-Perasim, dan Daud mengalahkan orang Filistin di sana. Daud berkata, “Sebagaimana air yang menerobos, Allah telah menerobos musuhku dengan perantaraanku.” Itulah sebabnya tempat itu dinamai Baal-Perasim.
12 Orang Filistin meninggalkan berhala-berhala mereka di sana, lalu Daud memerintahkan agar kesemua berhala itu dibakar habis.
13 Sekali lagi orang Filistin melakukan penyerbuan di lembah.
14 Daud pun menanyakan petunjuk Allah lagi, dan Allah berfirman kepadanya, “Jangan maju mengejar mereka. Bergeraklah melingkari mereka dan datangilah mereka dari seberang pokok-pokok kertau itu.
15 Nanti, ketika engkau mendengar bunyi derap langkah di atas pokok-pokok kertau itu, majulah berperang kerana Allah telah maju mendahuluimu untuk mengalahkan pasukan orang Filistin.”
16 Daud melakukan seperti yang diperintahkan Allah kepadanya. Mereka mengalahkan pasukan Filistin itu dari Gibeon sampai ke Gezer.
17 Maka tersiarlah kemasyhuran Daud di segala negeri, dan TUHAN membuat segala bangsa berasa takut kepadanya.