1 Yesus mula mengajar lagi di pinggir laut. Begitu ramainya orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya sehingga Dia terpaksa duduk di dalam sebuah perahu di laut itu manakala orang ramai berdiri di pantai.
2 Yesus mengajar mereka banyak perkara melalui ibarat. Dalam ajaran-Nya itu, Dia berkata:
3 “Dengarlah! Seorang penyemai pergi menabur benih.
4 Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu dimakan burung.
5 Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam.
6 Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar.
7 Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah.
8 Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.”
9 Lalu kata-Nya, “Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!”
10 Ketika Yesus bersendirian, dua belas murid-Nya dan beberapa orang yang ada bersama-Nya menanya Dia erti ibarat itu.
11 Yesus berkata kepada mereka, “Kamu telah diberi rahsia kerajaan Allah. Tetapi orang luar akan mendengar segala sesuatu melalui ibarat,
12 supaya: ‘Mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak mengerti; kerana sekiranya mereka mengerti, mereka akan berpaling dan diampuni!’ ”
13 Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain?
14 Penyemai itu menabur firman.
15 Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur. Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur dalam hati mereka.
16 Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita,
17 tetapi mereka tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik mereka menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, iman mereka pun segera luntur.
18 Ada yang lain seperti benih yang ditabur di tengah semak berduri. Mereka mendengar firman itu,
19 tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia, tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah.
20 Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur mendengar dan menerima firman itu lalu menghasilkan tiga puluh, enam puluh bahkan seratus kali ganda.”
21 Yesus berkata pula, “Pernahkah orang memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu atau katil? Tentu diletakkannya di atas kaki pelita.
22 Yang tersembunyi akan dinyatakan, yang dirahsiakan akan didedahkan.
23 Jika kamu bertelinga, dengarlah.”
24 Selepas itu Yesus berkata, “Perhatikan apa yang kamu dengar. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu, malah lebih berat lagi.
25 Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil daripadanya.”
26 Yesus berkata seterusnya, “Kerajaan Allah ibarat seorang yang menabur benih di ladangnya.
27 Malam dia tidur, siang dia bekerja. Benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Dia tidak faham bagaimana hal itu terjadi.
28 Tanahlah yang menumbuhkan tanaman hingga berbuah – mula-mula pucuk, kemudian bulir, akhirnya buah.
29 Setelah masak, buahnya disabit oleh orang itu dengan segera kerana musim menuai telah tiba.”
30 “Dengan apakah dapat kita bandingkan kerajaan Allah?” kata Yesus lagi. “Apakah ibarat yang dapat digunakan untuk menjelaskannya?
31 Kerajaan Allah itu seperti sebutir biji sesawi paling kecil di dunia yang ditabur di tanah.
32 Tetapi apabila ditabur, benih itu tumbuh dan menjadi tumbuhan yang terbesar. Dahannya begitu rimbun sehingga burung di udara membuat sarang di bawah keteduhannya.”
33 Dengan banyak ibarat yang semacam itu Yesus mengajar tentang firman kepada mereka, setakat yang dapat mereka faham.
34 Dia tidak berucap kepada mereka tanpa menggunakan ibarat. Tetapi apabila Dia bersendiri dengan murid-murid-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya.
35 Pada petang itu juga, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Marilah kita pergi ke seberang sana.”
36 Ketika itu Yesus di dalam perahu. Para murid-Nya meninggalkan orang ramai itu di pantai lalu belayar bersama-Nya. Ada beberapa perahu lain yang belayar bersama-sama.
37 Lalu angin ribut bertiup kencang dan ombak melanda perahu sehingga hampir dipenuhi air.
38 Ketika itu Yesus sedang tidur di buritan perahu, kepala-Nya beralaskan bantal. Para murid-Nya membangunkan Dia lalu berkata, “Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!”
39 Yesus bangun lalu menegur angin dan berkata kepada ombak, “Diam! Tenanglah!” Angin pun reda dan laut menjadi tenang.
40 Kemudian Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu masih tidak percaya?”
41 Mereka berasa gerun lalu berkata sesama sendiri, “Siapakah Dia ini? Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya!”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Markus 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Markus 4
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Markus

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke