1 Sesudah pelbagai peristiwa itu, setelah surut kemurkaan Raja Ahasyweros, baginda teringat kepada Wasti, dan apa yang telah dilakukannya dan yang telah diputuskan atasnya.
2 Maka berkatalah orang suruhan yang melayani baginda, “Biarlah dicari para anak dara yang menarik paras rupa bagi Raja
3 eloklah Raja melantik para petugas di seluruh wilayah kerajaannya untuk mengumpulkan anak dara yang menarik paras rupa mereka di dalam puri Susan di balai perempuan, di bawah pengawasan Hegai, sida Raja yang bertugas menjaga para perempuan; dan mereka hendaklah diberi segala alat solekan yang dikehendaki mereka.
4 Nanti, biarlah gadis yang terbaik di mata Raja menjadi ratu untuk menggantikan Wasti.” Usul itu dipandang baik oleh raja dan baginda pun berbuat demikian.
5 Pada waktu itu di puri Susan ada seorang Yahudi bernama Mordekhai anak Yair anak Simei anak Kish, seorang Benyamin
6 yang dibawa ke dalam pembuangan dari Yerusalem berserta kalangan yang dibuang bersama-sama Yekhonya, raja Yehuda, oleh Nebukadnezar, raja Babel.
7 Mordekhai bertindak sebagai penjaga yang membesarkan Hadasa, iaitu Ester, anak perempuan bapa saudaranya, memandangkan anak itu tidak lagi mempunyai ibu atau ayah. Gadis itu menarik lagi cantik paras rupanya. Setelah kematian ibu dan ayahnya, dia menjadi anak angkat Mordekhai.
8 Setelah tersiarnya titah perintah raja itu, ramai gadis yang dikumpulkan di dalam puri Susan, di bawah pengawasan Hegai. Ester juga dibawa masuk ke dalam istana raja dan ditempatkan di bawah pengawasan Hegai, yang bertugas menjaga para perempuan.
9 Gadis itu menyenangi Hegai dan memenangi hatinya. Hegai segera menyediakan segala alat persolekan dan peruntukan makanannya. Dia turut memberinya tujuh orang dayang pilihan dari istana raja dan memindahkan gadis itu bersama-sama dayang-dayangnya ke tempat yang terbaik di balai perempuan.
10 Ester tidak mendedahkan asal usulnya atau suku bangsanya kerana Mordekhai melarangnya berbuat demikian.
11 Maka setiap hari Mordekhai berjalan-jalan di depan laman balai perempuan untuk mengetahui keadaan Ester dan apa yang akan terjadi kepadanya.
12 Setelah dirawat dua belas bulan lamanya, selaras dengan peraturan bagi para perempuan, iaitu tempoh perawatan yang harus dilalui: enam bulan dengan minyak damar wangi dan enam bulan dengan pelbagai salap serta wangi-wangian, maka setiap gadis mendapat giliran untuk masuk menghadap Raja Ahasyweros.
13 Ketika tiba giliran seorang gadis masuk menghadap raja, beginilah aturannya: Apa-apa sahaja yang dimintanya haruslah diberikan kepadanya untuk dibawa dari balai perempuan ke dalam istana raja.
14 Pada waktu petang, dia akan masuk, lalu pada pagi esoknya dia akan kembali ke balai perempuan kedua di bawah pengawasan Saasgas, sida raja yang bertugas menjaga para gundik baginda. Selanjutnya gadis itu tidak akan masuk menghadap raja lagi kecuali jika raja suka kepadanya dan dia dipanggil dengan disebutkan namanya.
15 Ketika tiba giliran Ester anak Abihail, iaitu bapa saudara Mordekhai yang mengambil Ester sebagai anak angkatnya untuk masuk menghadap raja, dia tidak meminta apa-apa selain yang dianjurkan oleh Hegai, sida raja yang bertugas menjaga para perempuan. Maka Ester menimbulkan rasa sayang di mata semua orang yang melihat dia.
16 Kemudian Ester dibawa menghadap Raja Ahasyweros di istana kerajaannya pada bulan kesepuluh, iaitu bulan Tebet, pada tahun ketujuh pemerintahan baginda.
17 Raja mencintai Ester melebihi semua perempuan yang lain dan baginda raja berkenan serta menyayanginya melebihi semua anak dara yang lain, lantas baginda mengenakan mahkota diraja di atas kepalanya dan melantik dia sebagai ratu untuk menggantikan Wasti.
18 Setelah itu, raja mengadakan jamuan besar bagi semua pembesar dan pegawainya, iaitu jamuan meraikan Ester. Baginda juga melepaskan wilayah-wilayah dalam kerajaannya daripada membayar cukai dan mengurniakan pelbagai pemberian selaras dengan kemurahan hati raja.
19 Pada masa pengumpulan anak dara yang kali keduanya, Mordekhai duduk di pintu gerbang istana raja.
20 Seperti yang dipesankan Mordekhai kepadanya, Ester belum lagi memberitahu fasal asal usulnya dan suku bangsanya. Ester memang tetap patuh terhadap pesanan Mordekhai sebagaimana ketika dia masih diasuh dan dididik bapa angkatnya.
21 Pada masa itu, ketika Mordekhai duduk di pintu gerbang istana raja, dua orang sida raja, iaitu Bigtan dan Teres, yang menjaga pintu masuk kediaman diraja, berkomplot untuk membunuh Raja Ahasyweros kerana sakit hati.
22 Hal itu diketahui oleh Mordekhai dan ia pun memberitahukannya kepada Ratu Ester. Selanjutnya Ester memberitahukan hal itu kepada raja atas nama Mordekhai.
23 Ketika hal itu disiasat dan didapati benar, kedua-dua orang itu pun digantung di atas pokok. Lalu peristiwa ini dituliskan dalam kitab sejarah di hadapan raja.

Studi Alkitab dengan AI: Chat dengan Alkitab GPT
Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ester 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ester 2

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV