1 Wahai Lebanon, bukalah pintu-pintumu, supaya api dapat memakan habis pokok-pokok arazmu.
2 Meraung-raunglah, wahai pokok-pokok sanubar, kerana pokok araz telah tumbang. Pokok-pokok besar telah dimusnahkan! Meraung-raunglah, wahai pokok-pokok oak di Basan, kerana hutan rimba telah diratakan!
3 Terdengar suara raungan para gembala, kerana kemuliaan mereka telah diruntuhkan! Terdengar suara ngauman singa-singa muda, kerana belukar di sepanjang Sungai Yordan telah dimusnahkan!
4 Beginilah firman TUHAN, Allahku, “Gembalalah kawanan domba sembelihan itu!
5 Mereka yang membelinya menyembelihnya dan tidak dihukum, manakala mereka yang menjualnya berkata, ‘Segala puji bagi TUHAN, kerana aku kini kaya!’ Gembala-gembalanya sendiri tidak berbelas kasihan terhadap domba mereka.
6 Aku tidak akan lagi berasa sayang kepada penduduk negeri ini,” demikianlah firman TUHAN, “Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan setiap daripada mereka ke tangan jirannya dan ke tangan rajanya. Mereka akan menghancurkan negeri ini dan Aku tidak akan melepaskan seorang pun daripada tangan mereka.”
7 Maka aku menggembala kawanan domba sembelihan itu, iaitu domba yang tertindas itu. Kuambil dua batang tongkat, yang satu, kunamai “Kenikmatan”, dan yang lain kunamai “Ikatan”, kemudian aku menggembala kawanan domba itu.
8 Dalam satu bulan kusingkirkan tiga orang gembala, kerana hatiku tidak sabar lagi terhadap mereka, dan mereka pun muak terhadap aku.
9 Aku berkata, “Aku tidak mahu lagi menggembala kamu. Yang mati biarlah mati, yang hilang biarlah hilang, dan yang masih tinggal biarlah makan daging teman masing-masing.”
10 Kuambil tongkatku, iaitu “Kenikmatan” lalu kupatahkan untuk membatalkan perjanjian yang kuikat dengan segala bangsa.
11 Jadi, batallah perjanjian pada hari itu, sehingga tahulah domba tertindas yang sedang memperhatikan aku bahawa itu sememangnya firman TUHAN.
12 Kataku kepada mereka, “Jika menurutmu baik, berilah aku upah. Jika tidak, biar sajalah.” Lalu mereka menimbang tiga puluh keping perak sebagai upahku.
13 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Campakkanlah itu kepada tukang tembikar!” – iaitu harga tertinggi yang dinilai mereka bagiku. Lalu aku mengambil kesemua tiga puluh keping perak itu dan mencampakkannya kepada tukang logam di Bait TUHAN.
14 Setelah itu, kupatahkan tongkat kedua, iaitu “Ikatan”, untuk memutuskan persaudaraan antara Yehuda dengan Israel.
15 Firman TUHAN kepadaku, “Ambillah sekali lagi peralatan seorang gembala yang bodoh.
16 Sesungguhnya, Aku akan membangkitkan di negeri ini seorang gembala yang tidak akan mempedulikan yang hilang, tidak akan mencari yang tersesat, tidak akan menyembuhkan yang terluka, dan tidak akan mengurus yang sihat, melainkan akan memakan daging domba yang gemuk dan mencabut kukunya.
17 Malangnya gembala yang tidak berguna, yang meninggalkan kawanan kambing dombanya! Biarlah pedang menusuk lengan dan mata kanannya! Biarlah lengannya menjadi kurus kering dan mata kanannya buta sepenuhnya!”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Zakharia 11
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Zakharia 11

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV