1 Pada bulan kelapan dalam tahun kedua zaman pemerintahan Darius, datanglah firman TUHAN kepada Nabi Zakharia anak Berekhya anak Ido demikian,
2 “TUHAN sangat murka kepada nenek moyangmu.
3 Oleh sebab itu katakanlah kepada bangsa ini: Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Kembalilah kepada-Ku,’ demikianlah firman TUHAN, ‘maka Aku akan kembali kepadamu,’ firman TUHAN alam semesta.
4 Janganlah seperti nenek moyangmu. Kepada mereka para nabi terdahulu telah berseru demikian: Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Berbaliklah dari jalan hidupmu yang jahat dan daripada segala perbuatanmu yang jahat!’ Namun demikian, mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu memperhatikan Aku, demikianlah firman TUHAN.
5 Nenek moyangmu, di manakah mereka? Para nabi, adakah mereka hidup selama-lamanya?
6 Bukankah firman dan ketetapan yang telah Kuperintahkan melalui para nabi, hamba-hamba-Ku, telah sampai kepada nenek moyangmu? Lalu mereka bertaubat dan berkata, ‘TUHAN alam semesta, telah bertindak atas kita setimpal dengan perilaku dan perbuatan-perbuatan kita, seperti yang dikehendaki-Nya.’ ”
7 Pada hari kedua puluh empat bulan kesebelas, iaitu bulan Syebat, pada tahun kedua pemerintahan Darius, datanglah firman TUHAN kepada Nabi Zakharia anak Berekhya anak Ido. Kata Zakharia,
8 “Dalam suatu penglihatan pada malam hari, kulihat seorang lelaki menunggang kuda berwarna perang kemerah-merahan. Dia berdiri di antara pokok murad di dalam jurang, sementara di belakangnya ada beberapa ekor kuda berwarna merah, merah perang, dan putih.”
9 Aku bertanya, “Apakah erti semua ini, ya tuanku?” Sahut malaikat yang berbicara denganku, “Aku akan menunjukkan kepadamu apa erti semua ini.”
10 Kemudian orang yang berdiri di antara pokok murad itu berkata, “Mereka ini diutus TUHAN untuk membuat rondaan di bumi.”
11 Mereka pun berbicara kepada malaikat TUHAN yang berdiri di antara pokok murad itu, “Kami sudah menjelajahi bumi. Sesungguhnya, seluruh bumi tenang dan sentosa.”
12 Lalu malaikat TUHAN bersabda, “Ya TUHAN alam semesta, berapa lama lagikah Yerusalem dan kota-kota Yehuda tidak Kaukasihani? Mereka telah Kaumurkai selama tujuh puluh tahun.”
13 Maka TUHAN menjawab malaikat yang berbicara dengan aku itu dengan kata-kata yang baik serta menghiburkan.
14 Malaikat yang berbicara dengan aku itu berkata kepadaku, “Serukanlah ini: Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Aku begitu cemburu kerana Yerusalem dan kerana Sion,
15 tetapi Aku sangat murka kepada bangsa-bangsa yang takbur. Ketika Aku murka sedikit sahaja, mereka malah menjadikan keadaan lebih teruk bagi diri mereka sendiri.’
16 Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, ‘Aku kembali lagi kepada Yerusalem dengan penuh rahmat. Bait-Ku akan dibangunkan di dalamnya,’ demikianlah firman TUHAN alam semesta, ‘dan tali pengukur akan direntangkan atas Yerusalem.’
17 Serukanlah pula: Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Kota-kota-Ku akan kembali dilimpahi kemakmuran. TUHAN akan kembali menghibur Sion dan memilih Yerusalem.’ ”
18 Aku melayangkan pandang, lalu kulihat ada empat batang tanduk.
19 Aku pun bertanya kepada malaikat yang berbicara denganku itu, “Apakah erti semua ini?” Jawabnya kepadaku, “Ini ialah tanduk-tanduk yang telah menyerakkan Yehuda, Israel, dan Yerusalem.”
20 Kemudian TUHAN memperlihatkan kepadaku empat orang tukang besi.
21 Aku pun bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh mereka yang datang ini?” Jawabnya, “Ini tanduk-tanduk yang telah menyerakkan Yehuda sehingga tiada seorang pun dapat mengangkat kepalanya. Namun demikian, mereka ini datang untuk menggerunkan orang itu untuk menghempaskan tanduk-tanduk daripada bangsa-bangsa yang telah mengangkat tanduk terhadap Tanah Yehuda untuk menyerakkannya.”