1 Pernyataan ilahi tentang Israel: Inilah firman TUHAN tentang Israel. Demikianlah firman TUHAN yang membentangkan langit, yang meletakkan asas bumi, dan yang membentuk roh di dalam diri manusia,
2 “Sesungguhnya, Aku akan menjadikan Yerusalem mangkuk berisi minuman yang memabukkan semua suku bangsa di sekelilingnya. Pengepungan terhadap Yerusalem akan terjadi pula terhadap Yehuda.
3 Pada waktu itu Aku akan menjadikan Yerusalem batu bebanan bagi semua suku bangsa. Sesiapa sahaja yang memikulnya akan terluka parah, dan semua bangsa di bumi akan berkumpul untuk menyerangnya.
4 Pada waktu itu,” demikianlah firman TUHAN, “Aku akan mengazab semua kuda dengan kebingungan dan penunggangnya dengan kegilaan. Tetapi akan Kubuka mata-Ku untuk mengawasi keturunan kaum Yehuda sementara Aku membutakan semua kuda milik suku-suku bangsa.
5 Maka para ketua kaum Yehuda akan berkata dalam hati mereka, ‘Penduduk Yerusalem memiliki kekuatan kerana TUHAN alam semesta, Allah mereka.’
6 Pada hari itu Aku akan menjadikan para ketua kaum Yehuda seperti periuk api di tengah-tengah kayu bakar dan seperti obor berapi di tengah-tengah berkas gandum. Mereka akan menumpaskan habis semua suku bangsa di sekeliling mereka baik di kanan mahupun di kiri, tetapi penduduk Yerusalem akan tinggal lagi di tempatnya sendiri di Yerusalem.
7 Pertama-tama TUHAN akan menyelamatkan khemah-khemah Yehuda, supaya kemuliaan keturunan kaum Daud dan kemuliaan penduduk Yerusalem tidak lebih besar daripada Yehuda.
8 Pada waktu itu TUHAN akan melindungi penduduk Yerusalem, sehingga yang paling lemah antara mereka saat itu akan menjadi seperti Daud, dan keturunan kaum Daud akan menjadi seperti Tuhan, seperti malaikat TUHAN yang memimpin mereka.
9 Pada waktu itu Aku akan berikhtiar untuk membinasakan semua bangsa yang datang menyerang Yerusalem.”
10 “Atas keturunan kaum Daud dan atas penduduk Yerusalem akan Kucurahkan jiwa pengasihan dan jiwa yang memohon belas kasihan. Mereka akan memandang kepada Aku yang telah ditikam mereka. Mereka akan meratapi dia seperti orang meratapi anak tunggalnya, dan bersedih kerana dia seperti orang bersedih kerana anak sulungnya.
11 Pada waktu itu akan ada ratapan yang hebat di Yerusalem, seperti ratapan di Hadad-Rimon, di Lembah Megido.
12 Di negeri itu, setiap kaum secara tersendiri dan isteri-isteri mereka secara tersendiri akan meratap, iaitu keturunan kaum Daud dan isteri-isteri mereka, keturunan kaum Natan dan isteri-isteri mereka,
13 keturunan kaum Lewi dan isteri-isteri mereka, kaum Simei dan isteri-isteri mereka,
14 juga semua saki-baki kaum; setiap kaum secara tersendiri dan isteri-isteri mereka secara tersendiri.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Zakharia 12
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Zakharia 12

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV