1 TUHAN berfirman kepada Yosua, “Jangan takut dan jangan kecut hati. Bawalah seluruh pasukan perang bersama-sama kamu dan segeralah maju ke Ai. Ketahuilah, Aku telah menyerahkan raja Ai, rakyatnya, kotanya, dan negerinya ke dalam tanganmu.
2 Perlakukanlah Ai dan rajanya seperti engkau memperlakukan Yerikho dan rajanya. Hanya, jarahan dan ternaknya boleh kamu rampas untukmu. Tempatkanlah orang untuk siap menyerang hendap kota itu dari belakang.”
3 Maka Yosua dan seluruh pasukan perang segera maju ke Ai. Yosua memilih tiga puluh ribu orang kesateria yang gagah perkasa dan melepaskan mereka pergi pada malam hari.
4 Dia memberikan perintah kepada mereka demikian, “Ingat, kamu harus siap untuk menyerang hendap kota itu dari belakangnya. Jangan terlalu jauh dari kota itu, dan bersiap sedialah kamu semua.
5 Aku dan seluruh pasukan yang menyertaiku akan mendekati kota itu. Nanti, apabila mereka keluar menghadapi kami seperti sebelumnya, kami akan melarikan diri dari hadapan mereka.
6 Mereka akan maju mengejar kami dan dengan demikian kami memancing mereka menjauhi kota itu. Mereka akan berfikir, ‘Orang ini semua melarikan diri dari hadapan kita seperti sebelumnya.’ Ketika kami melarikan diri dari hadapan mereka itu,
7 bangkitlah dari tempat penantianmu untuk menyerang hendap, kemudian dudukilah kota itu. TUHAN, Allahmu, akan menyerahkannya ke dalam tanganmu.
8 Setelah kamu menawan kota itu, bakarlah habis kota itu. Perbuatlah demikian, selaras dengan firman Tuhan. Ingat, aku telah memerintahkannya kepadamu.”
9 Kemudian Yosua melepaskan mereka pergi menuju tempat mereka bersiap menyerang hendap, dan tinggal di antara Betel dengan Ai, di sebelah barat Ai. Yosua bermalam di tengah-tengah orang Israel pada malam itu.
10 Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan memeriksa pasukan. Setelah itu, dia dan para tua-tua Israel maju memimpin pasukan menuju Ai.
11 Seluruh pasukan perang yang menyertainya berjalan maju dan tiba di depan kota itu. Mereka berkhemah di sebelah utara Ai. Ada sebuah lembah antara mereka dengan Ai.
12 Yosua memilih kira-kira lima ribu orang dan menempatkan mereka untuk siap menyerang hendap di antara Betel dengan Ai, di sebelah barat kota itu.
13 Beginilah pasukan itu ditempatkan: seluruh pasukan di sebelah utara kota, dan barisan belakang di sebelah barat kota. Pada malam itu bergeraklah Yosua ke tengah-tengah lembah.
14 Ketika raja Ai melihat hal itu, dia dan seluruh pasukannya, orang kota itu, segera bersiap. Mereka keluar menghadapi orang Israel untuk berperang pada waktu yang telah ditentukan di depan dataran itu. Tetapi raja itu tidak tahu bahawa ada orang yang siap menyerang hendap dia di belakang kota.
15 Yosua dan semua orang Israel berbuat seolah-olah mereka dikalahkan di hadapan orang itu. Mereka melarikan diri ke arah gurun.
16 Maka semua orang yang ada di dalam kota Ai itu dikerahkan untuk mengejar mereka. Semakin mereka mengejar Yosua, semakin mereka terpancing jauh dari kota.
17 Tidak ada seorang pun yang ada di Ai atau di Betel, yang tidak ikut keluar mengejar orang Israel. Mereka meninggalkan kota itu terbuka, dan mengejar orang Israel.
18 Kemudian berfirmanlah TUHAN kepada Yosua, “Hulurkanlah lembing yang ada di tanganmu itu ke arah Ai, kerana Aku akan menyerahkannya ke dalam tanganmu.” Maka Yosua menghulurkan lembing yang ada di tangannya ke arah kota itu.
19 Sebaik sahaja dia menghulurkan tangannya, pasukan penyerang hendap yang sudah bersedia segera bangkit dari tempat mereka dan berlari memasuki kota. Mereka menawannya dan segera membakar habis kota itu.
20 Ketika orang Ai menoleh ke belakang, tampak asap kota itu membumbung ke langit. Mereka tidak dapat lagi melarikan diri ke sana atau ke mari, kerana pasukan yang tadinya melarikan diri ke gurun berbalik menghadapi musuh yang mengejar mereka.
21 Setelah Yosua dan semua orang Israel melihat bahawa para penyerang hendap telah menawan kota itu dan bahawa asap membumbung dari kota itu, berbaliklah mereka lalu menewaskan orang Ai.
22 Para penyerang hendap pun keluar dari kota itu menghadapi orang Ai, sehingga tersepitlah orang Ai di tengah-tengah orang Israel, sebahagian di sebelah sini, sebahagian di sebelah sana. Maka tewaslah orang Ai sehingga tidak ada sesiapa yang tertinggal.
23 Raja Ai ditangkap mereka hidup-hidup lalu dibawa mereka menghadap Yosua.
24 Setelah orang Israel selesai menumpaskan seluruh penduduk Ai di gurun, tempat mereka mengejar orang itu, dan semuanya habis, tewas oleh mata pedang, kembalilah semua orang Israel ke Ai dan menumpaskan penduduknya dengan mata pedang.
25 Jumlah orang yang tewas pada hari itu, baik lelaki mahupun perempuan, ialah dua belas ribu orang, kesemuanya orang Ai.
26 Yosua tidak menarik kembali tangannya yang menghulurkan lembing itu sebelum dia menumpaskan seluruh penduduk Ai.
27 Hanya ternakan dan jarahan dari kota itu yang dirampas orang Israel, selaras dengan firman yang diperintahkan TUHAN kepada Yosua.
28 Yosua membakar Ai dan menjadikannya timbunan puing untuk selama-lamanya, sebuah tempat yang sunyi sepi sampai hari ini.
29 Raja Ai digantungnya pada sebatang pokok sampai petang. Setelah matahari terbenam, Yosua memerintahkan orang untuk menurunkan mayat raja itu daripada pokok dan mencampakkannya di depan pintu gerbang kota itu. Lalu di atasnya didirikan sebuah timbunan batu yang besar, yang masih ada sampai hari ini.
30 Kemudian Yosua membina di Gunung Ebal sebuah mazbah bagi TUHAN, Allah Israel,
31 seperti yang diperintahkan Musa, hamba TUHAN itu, kepada orang Israel. Hal itu selaras dengan apa yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat yang disampaikan Allah melalui Musa, “Sebuah mazbah daripada batu-batu yang belum dipahat, yang belum pernah dikenakan perkakas besi.” Di atasnya mereka mempersembahkan korban bakaran kepada TUHAN dan mengorbankan korban kedamaian.
32 Di sana, pada batu-batu itu, Yosua menuliskan salinan hukum Taurat, yang dahulu ditulis oleh Musa di hadapan orang Israel.
33 Semua orang Israel, baik pendatang mahupun warga asli, bersama tua-tua mereka, para pegawai pasukan mereka, dan para hakim mereka berdiri di sebelah kiri dan kanan tabut itu, di hadapan para imam Lewi yang mengusung tabut perjanjian TUHAN. Sesetengah daripada mereka menghadap Gunung Gerizim dan sesetengah lagi menghadap Gunung Ebal, sebagaimana yang diperintahkan sebelumnya oleh Musa, hamba TUHAN itu, untuk memberkati orang Israel.
34 Setelah itu, dibacanya seluruh perkataan hukum Taurat itu, berkatnya dan kutukannya, selaras dengan semua yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat.
35 Daripada segala yang diperintahkan Musa, tidak ada sepatah kata pun yang tidak dibaca Yosua di hadapan seluruh jemaah Israel termasuk kaum perempuan, anak-anak, dan para pendatang yang hidup antara mereka.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yosua 8
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yosua 8

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV