1 Maka apabila terdengar oleh semua raja bani Amori yang tinggal di sebelah barat Sungai Yordan dan semua raja bani Kanaan yang tinggal di tepi laut perihal TUHAN mengeringkan Sungai Yordan di hadapan orang Israel sehingga orang Israel dapat menyeberang, maka tawarlah hati mereka dan mereka tidak lagi bersemangat menghadapi orang Israel.
2 Pada waktu itu berfirmanlah TUHAN kepada Yosua, “Buatlah beberapa bilah pisau daripada batu dan sunatkan lagi orang Israel buat kali keduanya.”
3 Maka Yosua membuat beberapa bilah pisau daripada batu, lalu disunatkannya orang Israel di Bukit Sunat.
4 Inilah alasan mengapa Yosua menyunatkan mereka: Semua lelaki antara orang yang keluar dari Mesir, iaitu semua pejuang lelaki, telah mati di gurun dalam perjalanan sesudah keluar dari Mesir.
5 Semua orang yang keluar itu sudah disunatkan, tetapi keturunan baru yang lahir di gurun dalam perjalanan setelah keluar dari Mesir belum disunatkan.
6 Orang Israel berjalan selama empat puluh tahun di gurun sampai seluruh pejuang bangsa yang keluar dari Mesir itu habis mati, kerana mereka tidak mematuhi TUHAN. Kepada mereka TUHAN telah bersumpah bahawa Dia tidak akan mengizinkan mereka melihat negeri yang dijanjikan TUHAN dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka untuk dikurniakan kepada kita, iaitu sebuah negeri yang berlimpah-limpah dengan susu dan madu.
7 Jadi, Allah membangkitkan anak-anak mereka sebagai ganti mereka, dan mereka itulah yang disunatkan oleh Yosua. Mereka belum bersunat, kerana mereka tidak disunatkan dalam perjalanan itu.
8 Setelah seluruh umat itu selesai disunatkan, tinggallah mereka di tempat masing-masing di perkhemahan itu sampai mereka pulih.
9 Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua, “Hari ini telah Kugulingkan cela Mesir itu daripada kamu.” Itulah sebabnya tempat itu dinamai Gilgal sampai hari ini.
10 Orang Israel berkhemah di Gilgal dan pada waktu petang hari keempat belas pada bulan itu, mereka merayakan Paskah di dataran Yerikho.
11 Lalu sehari setelah Paskah, mereka memakan hasil negeri itu, iaitu roti yang tidak beragi dan bertih gandum.
12 Sehari selepas mereka memakan hasil negeri itu, tiada lagi manna bagi orang Israel lalu mereka memakan hasil Tanah Kanaan pada tahun itu.
13 Ketika Yosua berada dekat Yerikho lalu melayangkan pandangannya untuk mengamati sekelilingnya, tampak seorang laki-laki berdiri di hadapannya menghunus pedang di tangan. Yosua mendekatinya dan bertanya kepadanya, “Engkau memihak kami atau memihak musuh kami?”
14 Lelaki itu menjawab, “Kedua-duanya pun bukan. Aku datang sekarang sebagai Panglima malaikat TUHAN.” Yosua pun bersujud dan memberi hormat lantas berkata kepadanya, “Apakah yang akan tuanku sabdakan kepada hambanya ini?”
15 Jawab Panglima malaikat TUHAN itu kepada Yosua, “Tanggalkanlah kasut daripada kakimu kerana tempat engkau berdiri itu suci.” Lalu Yosua pun berbuat demikian.