1 Pasyhur anak Imer, imam yang menjadi ketua pegawai di Bait TUHAN, mendengar Yeremia menubuatkan hal-hal itu.
2 Lalu Pasyhur memukul Nabi Yeremia dan memasukkan dia ke dalam pasungan di Pintu Gerbang Benyamin Atas di Bait TUHAN.
3 Keesokan harinya, ketika Pasyhur mengeluarkan Yeremia dari pasungan, berkatalah Yeremia kepadanya, “TUHAN tidak lagi menyebut namamu Pasyhur, tetapi Kegentaran dari Segala Jurusan.
4 Beginilah firman TUHAN, ‘Sesungguhnya, Aku akan membuat engkau menjadi kegentaran bagi dirimu sendiri dan bagi semua sahabatmu. Mereka akan tewas oleh pedang musuh-musuh mereka dan matamu akan melihatnya. Aku akan menyerahkan seluruh Yehuda ke dalam tangan raja Babel. Dia akan membuang mereka ke Babel dan membunuh mereka dengan pedang.
5 Aku akan menyerahkan segala harta benda kota ini, segala hasil jerih lelahnya, segala barangnya yang berharga, dan segala perbendaharaan raja-raja Yehuda ke dalam tangan musuh mereka. Orang itu akan merampas, mengumpulkan, dan membawa semua itu ke Babel.
6 Mengenai engkau, wahai Pasyhur, dan semua orang yang tinggal di rumahmu, kamu akan pergi ke tempat penawanan. Engkau akan sampai ke Babel. Di sanalah engkau akan mati dan di sanalah engkau akan dikuburkan berserta dengan semua sahabatmu, iaitu orang yang telah kauberi nubuat dusta.”
7 Engkau telah memperdaya aku, ya TUHAN, dan aku terperdaya. Engkau lebih kuat daripada aku dan Engkau menang. Sepanjang hari aku menjadi bahan tertawaan, semua orang mengolok-olokkan aku.
8 Setiap kali aku berbicara, aku harus berteriak. Aku berseru, “Kekerasan! Perompakan!” Kerana penyampaian firman TUHAN telah membuat aku dicela dan dicemuh sepanjang hari.
9 Kalau aku berfikir, “Aku tidak mahu menyebut-nyebut Dia dan tidak mahu berbicara lagi atas nama-Nya,” maka dalam hatiku ada sesuatu seperti api yang menyala-nyala, terkurung dalam tulang-tulangku. Aku berlelah-lelah menahannya, tetapi aku tidak sanggup.
10 Aku mendengar banyak bisikan orang: “Kegentaran dari segala jurusan! Adukanlah dia! Kami pun mahu mengadukannya!” Semua sahabat karibku menunggu kejatuhanku, “Mudah-mudahan dia terperdaya, sehingga kami dapat mengalahkan dia dan membalas dia.”
11 Tetapi TUHAN menyertai aku seperti kesateria yang hebat, sebab itu para pengejarku akan tersandung dan tidak akan menang. Mereka akan sangat malu kerana tidak bertindak bijaksana, aib mereka kekal, tidak dilupakan orang.
12 Ya TUHAN alam semesta, yang menguji orang benar, yang mengamati hati dan batin, biarlah kulihat pembalasan-Mu terhadap mereka, kerana kepada-Mulah kunyatakan perkaraku.
13 Menyanyilah bagi TUHAN! Pujilah TUHAN! Kerana Dia telah melepaskan nyawa orang miskin daripada tangan orang jahat.
14 Terkutuklah hari ketika aku dilahirkan! Jangan mohonkan berkat bagi hari ketika ibuku melahirkan aku!
15 Terkutuklah orang yang mengkhabarkan kepada ayahku, “Seorang anak lelaki telah dilahirkan bagimu!” dan membuatnya sangat gembira.
16 Biarlah orang itu menjadi seperti kota yang ditunggangbalikkan TUHAN tanpa belas kasihan. Biarlah dia mendengar jeritan pada pagi hari dan pekikan pada waktu tengah hari.
17 Sebab dia tidak membunuh aku sejak dalam rahim, sehingga ibuku menjadi kuburku dan rahimnya mengandung selamanya.
18 Mengapakah aku harus keluar dari rahim untuk melihat kesukaran dan kedukaan, sehingga umurku dihabiskan dalam rasa malu?