1 Pada tahun kesebelas, pada hari pertama dalam suatu bulan, datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
2 ‘Wahai anak manusia, kerana Tirus berkata mengenai Yerusalem, “Syukur! Sudah pecah pintu gerbang bangsa-bangsa itu dan sudah terbuka bagiku, Aku akan menjadi makmur sedangkan ia menjadi reruntuhan.”
3 Maka beginilah firman Tuhan ALLAH, “Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu, wahai Tirus. Aku akan membangkitkan banyak bangsa untuk melawan engkau seperti laut membangkitkan gelombang-gelombangnya.
4 Mereka akan memusnahkan tembok-tembok Tirus dan meruntuhkan menara-menaranya. Aku akan menyapu debu tanahnya dan menjadikannya bukit batu yang gondol.
5 Dia akan menjadi tempat membentangkan jaring di tengah laut, kerana Aku telah berfirman, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Dia akan menjadi rampasan bagi bangsa-bangsa.
6 Anak-anak perempuannya yang tinggal di daratan akan dibunuh dengan pedang.” Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.
7 Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Ketahuilah, dari utara Aku akan mendatangkan Nebukadnezar, iaitu raja Babel, raja segala raja, untuk melawan Tirus dengan membawa kuda, rata, pasukan berkuda, dan sejumlah besar tentera.
8 Anak-anak perempuanmu yang tinggal di daratan akan dibunuhnya dengan pedang. Dia akan membuat tembok pengepung, menimbunkan tanggul pengepung, dan mengangkat perisai untuk melawan engkau.
9 Dia akan mengarahkan tumbukan alat perosaknya pada tembok-tembokmu, dan akan merobohkan menara-menaramu dengan beliungnya.
10 Kerana kudanya begitu banyak, engkau akan ditutupi oleh debunya. Kerana derap pasukan berkuda, kenderaan beroda, dan rata, tembok-tembokmu akan bergetar ketika ia memasuki pintu gerbangmu seperti orang memasuki kota yang telah terbongkar.
11 Dengan kaki kuda-kudanya ia akan menginjak-injak seluruh jalanmu. Rakyatmu akan dibunuhnya dengan pedang dan tonggak-tonggak berhalamu yang kukuh akan dirobohkan ke tanah.
12 Mereka akan menjarah kekayaanmu dan merampas barang-barang daganganmu. Mereka akan meruntuhkan tembok-tembokmu dan merobohkan rumah-rumahmu yang indah. Batumu, kayumu, dan debumu akan dibuang ke tengah laut.
13 Aku akan menghentikan keramaian nyanyianmu, dan bunyi kecapimu tidak akan terdengar lagi.
14 Akan Kujadikan engkau bukit batu yang gondol, dan engkau akan menjadi tempat membentangkan jaring. Engkau tidak akan dibangunkan lagi, kerana Aku, TUHAN, telah berfirman, demikianlah firman Tuhan ALLAH.”
15 Beginilah firman Tuhan ALLAH kepada Tirus, “Bukankah daerah pesisir akan gementar mendengar bunyi kejatuhanmu, ketika kalangan yang terluka mengerang dan pembunuhan terjadi di tengah-tengahmu?
16 Semua pemimpin kawasan laut akan turun daripada takhta mereka, meletakkan jubah mereka, dan menanggalkan pakaian mereka yang bersulam. Dengan diliputi kegentaran mereka akan duduk di tanah. Mereka akan berasa gentar setiap saat dan tercengang-cengang melihat engkau.
17 Mereka akan melantunkan suatu ratapan mengenai engkau dan berkata kepadamu, “Betapa engkau lenyap, wahai kota kenamaan, yang diduduki oleh golongan orang yang bekerja di laut! Engkau menjadi kuat di laut bersama dengan pendudukmu. Engkau mendatangkan ketakutan kepada semua orang yang tinggal di dalammu.
18 Sekarang, daerah pesisir gempar pada hari kejatuhanmu. Pulau-pulau di lautan terkejut mendengar pemergianmu.”
19 Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Ketika Aku menjadikan engkau kota reruntuhan seperti kota-kota yang tidak berpenghuni, dan ketika Aku menaikkan samudera di atasmu sehingga engkau diliputi oleh limpahan air,
20 Aku bermaksud menurunkan engkau bersama-sama mereka yang turun ke liang kubur untuk menemui bangsa purbakala. Akan Kutempatkan engkau di bahagian bumi yang terbawah seperti reruntuhan purbakala bersama-sama mereka yang turun ke liang kubur, supaya engkau tidak lagi dihuni orang dan Aku mengurniakan kemuliaan di negeri orang yang hidup.
21 Aku akan menjadikan engkau suatu kengerian, dan engkau tidak akan ada lagi. Engkau akan dicari, tetapi tidak akan ditemukan lagi untuk selama-lamanya, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’