1 Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
2 ‘Wahai anak manusia, ada dua orang perempuan, iaitu saudara seibu.
3 Mereka berzina di Mesir pada masa muda mereka, dan di sana mereka kehilangan keperawanan mereka.
4 Nama yang tua ialah Ohola dan nama adiknya ialah Oholiba; Ohola mewakili Samaria dan Oholiba mewakili Yerusalem. Mereka milik-Ku. Kemudian mereka melahirkan anak-anak lelaki dan perempuan.
5 Ketika Ohola masih menjadi milik-Ku, dia berzina. Dia berahi kepada para kekasihnya, orang Asyur, iaitu anggota tenteranya
6 yang berpakaian kain biru, pembesar dan penguasa; semuanya pemuda yang menawan hati, pasukan penunggang kuda.
7 Dia berzina dengan mereka semua, orang Asyur pilihan. Kepada sesiapa pun ia berahi, dinajiskannya diri dengan segala berhala mereka.
8 Perzinaan yang pernah dilakukannya di Mesir tidak dihentikannya. Sejak masa mudanya orang memang sudah menidurinya, mengambil keperawanannya, dan melampiaskan nafsu zina mereka kepadanya.
9 Oleh sebab itu Aku menyerahkan dia ke dalam tangan para kekasihnya, iaitu ke dalam tangan orang Asyur yang dighairahkannya.
10 Mereka menelanjangi dia. Anak-anaknya baik lelaki mahupun perempuan ditangkap. Dia sendiri dibunuh dengan pedang sehingga namanya menjadi perbualan golongan perempuan ketika hukuman dijatuhkan kepadanya.
11 Sekalipun adiknya Oholiba melihat hal itu, berahinya lebih merosakkan lagi daripada kakaknya dan perzinaannya melebihi perzinaan kakaknya.
12 Dia pun berahi kepada orang Asyur, iaitu kepada pembesar dan penguasa, anggota tenteranya yang mengenakan pakaian lengkap, pasukan penunggang kuda; semuanya ialah pemuda yang menawan hati.
13 Kulihat bahawa dia menajiskan dirinya pula. Jadi, mereka berdua sama perilaku mereka.
14 Dia bahkan menambah perzinaannya. Dia melihat susuk-susuk lelaki terukir di dinding, iaitu gambar orang Kasdim yang terukir dalam warna merah
15 dengan sabuk terlilit di pinggang dan serban berjuntai di kepala mereka. Semuanya kelihatan seperti perwira, gambaran orang Babel dari Kasdim, tanah kelahiran mereka.
16 Sebaik sahaja matanya melihat semua itu, dia terus mengghairahkan mereka lalu dikirimnya utusan kepada mereka ke Tanah Kasdim.
17 Maka datanglah orang Babel kepadanya, ke ranjang percintaannya, lalu menajiskan dia dengan nafsu zina mereka. Setelah dia dibuat najis oleh mereka, dijauhinya mereka dengan rasa muak.
18 Kerana dia terang-terangan melakukan perzinaannya dan memperlihatkan auratnya, maka Aku pun menjauhinya dengan rasa muak, sama seperti Aku menjauhi kakaknya.
19 Akan tetapi, dia menambah perzinaannya lagi sambil mengenang masa mudanya ketika dia berzina di Tanah Mesir.
20 Dia berahi terhadap gundik mereka, yang aurat mereka seperti aurat keldai dan air mani mereka seperti air mani kuda.
21 Demikianlah engkau merindukan kecabulan masa mudamu ketika engkau kehilangan keperawananmu di Mesir.
22 Oleh sebab itu, wahai Oholiba, beginilah firman Tuhan ALLAH, “Sesungguhnya, Aku akan membangkitkan para kekasihmu untuk melawan engkau, iaitu mereka yang kaujauhi dengan rasa muak. Aku akan mendatangkan mereka dari segala penjuru untuk melawan engkau:
23 orang Babel dan semua orang Kasdim; orang Pekod, orang Soa, dan orang Koa; serta semua orang Asyur, iaitu semuanya ialah pemuda yang menawan hati, pembesar dan penguasa, perwira serta orang terkenal, semuanya penunggang kuda.
24 Mereka akan mendatangimu dengan persenjataan, rata, kenderaan beroda, dan sekumpulan bangsa. Engkau akan dikepung dengan memakai perisai besar, perisai kecil, dan ketopong. Aku akan mempercayakan penghakiman kepada mereka dan mereka akan menghakimi engkau menurut undang-undang mereka.
25 Akan Kubalas kecemburuan-Ku kepadamu. Mereka akan memperlakukan engkau dengan kemarahan. Mereka pun akan mengerat hidung dan telingamu, serta saki-baki orangmu akan tewas oleh pedang. Kemudian mereka akan menangkap anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan, dan saki-baki orangmu akan dimakan api.
26 Pakaianmu akan dilucuti mereka dan barang-barang perhiasanmu akan dirampas mereka.
27 Demikianlah Aku menghentikan kecabulan dan perzinaan yang kaulakukan sejak di Tanah Mesir. Engkau tidak akan melirik mereka lagi dan tidak akan mengingat-ingat Mesir lagi.”
28 Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Ketahuilah, Aku akan menyerahkan engkau ke dalam tangan kalangan yang kaubenci, ke dalam tangan orang yang kaujauhi dengan rasa muak.
29 Mereka akan memperlakukan engkau dengan penuh kebencian dan akan merampas segala hasil jerih payahmu. Mereka akan meninggalkan engkau tanpa busana sehingga engkau menjadi tontonan umum. Kecabulanmu dan perzinaanmu
30 telah menimpakan hal ini ke atasmu kerana engkau berzina dengan bangsa-bangsa dan menajiskan diri dengan berhala mereka.
31 Engkau hidup menurut perilaku kakakmu, sebab itu Aku akan menaruh cawannya di tanganmu.”
32 Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Engkau harus minum dari cawan kakakmu, cawan yang dalam dan lebar. Engkau akan ditertawakan dan diolok-olokkan kerana cawan itu banyak isinya.
33 Engkau akan dipenuhi kemabukan dan dukacita. Cawan kengerian dan kehancuran itu ialah cawan kakakmu Samaria.
34 Engkau akan meminumnya habis. Engkau akan mengunggis kepingannya dan mengoyak buah dadamu, kerana Aku telah berfirman,” demikianlah firman Tuhan ALLAH.
35 Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, “Kerana engkau melupakan Aku dan membelakangi Aku, maka tanggunglah sendiri akibat daripada kecabulan dan perzinaanmu.” ’
36 TUHAN berfirman kepadaku, ‘Wahai anak manusia, mahukah engkau menghakimi Ohola dan Oholiba? Beritahulah mereka fasal segala kekejian mereka,
37 kerana mereka telah berzina dan tangan mereka berlumuran darah. Mereka berbuat kafir dengan berhala-berhala. Bahkan anak-anak lelaki yang dilahirkan mereka sebagai milik-Ku telah dipersembahkan mereka sebagai korban yang dibakar bagi berhala mereka untuk menjadi santapan.
38 Hal ini juga dilakukan mereka terhadap Aku. Pada waktu yang bersamaan, mereka menajiskan tempat suci-Ku dan mencemari hari Sabat-Ku.
39 Setelah mereka menyembelih anak-anak mereka bagi berhala mereka, pada hari itu juga mereka masuk ke dalam tempat suci-Ku sehingga mencemarinya. Sungguh, itulah yang dilakukan mereka di dalam Bait-Ku.
40 Tambahan lagi, mereka meminta orang datang dari jauh dengan mengirimkan utusan kepada mereka. Apabila mereka datang engkau mandi, mencelak mata, dan mendandani dirimu dengan segala perhiasan.
41 Engkau duduk di atas tempat tidur yang amat elok, dan meja yang tertata ada di hadapannya. Di atasnya kautaruh dupa dan minyak yang seharusnya dipersembahkan kepada-Ku.
42 Bunyi keramaian orang yang bersenang-senang ada di sekitarnya. Beberapa orang pemabuk dibawa dari gurun bersama dengan orang ramai. Mereka memakai gelang pada tangan mereka dan mahkota kemuliaan pada kepala mereka.
43 Lalu Aku berkata tentang dia yang telah uzur dalam perzinaannya, “Masih mahukah orang berbuat zina dengan dia? Dengan dia ini?”
44 Mereka bercampur dengan dia seperti orang bersentuh dengan perempuan sundal. Demikianlah mereka bercampur dengan Ohola dan Oholiba, perempuan-perempuan yang cabul itu.
45 Tetapi golongan orang benar akan menjatuhkan hukuman terhadap mereka, iaitu hukuman bagi perempuan yang berzina dan hukuman bagi perempuan yang menumpahkan darah, kerana mereka golongan perempuan yang berzina serta tangan mereka berlumuran darah.
46 Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Biarlah sekumpulan orang maju melawan mereka dan menyerahkan mereka kepada kengerian serta perampasan.
47 Kumpulan orang itu akan merejam mereka dengan batu dan menebas mereka dengan pedang. Anak-anak mereka baik lelaki mahupun perempuan akan dibunuh dan rumah mereka dibakar habis.
48 Demikianlah Aku akan menghentikan kecabulan di negeri itu supaya semua perempuan dapat mengambil iktibar dan tidak melakukan kecabulan seperti kamu.
49 Kecabulanmu akan dibalas kepadamu dan kamu harus menanggung dosa-dosa penyembahan berhalamu. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan ALLAH.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yehezkiel 23
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yehezkiel 23

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV