1 Lantunkanlah suatu ratapan mengenai para pemimpin Israel.
2 Katakanlah, ‘Betapa hebatnya ibumu! Dia bagaikan seekor singa betina antara singa. Dia mendekam di tengah-tengah singa muda dan membesarkan anak-anaknya.
3 Dia membesarkan seekor daripada anak-anaknya menjadi singa muda, lalu anaknya ini belajar mencabik-cabik mangsa dan memakan orang.
4 Bangsa-bangsa pun mendengar tentangnya, dan ia tertangkap di dalam lubang jebakan mereka lalu dibawa dalam keadaan terbelenggu oleh cangkuk ke Tanah Mesir.
5 Setelah singa betina itu melihat bahawa penantiannya dan harapannya lenyap, diambilnya seekor anaknya pula dan dibesarkannya menjadi singa muda.
6 Anaknya ini berjalan-jalan di antara singa-singa, dan menjadi singa muda. Dia belajar mencabik-cabik mangsa dan memakan orang.
7 Diamatinya tempat-tempat mereka yang terbengkalai dan ia merosakkan kota mereka. Negeri itu berserta dengan segala isinya menjadi sunyi kerana bunyi ngaumannya.
8 Maka bangsa dari wilayah-wilayah sekitar bersiap menghadapinya. Mereka membentangkan jaring baginya, dan ia pun tertangkap di dalam lubang jebakan mereka.
9 Ia dimasukkan di dalam kandang dalam keadaan terbelenggu oleh cangkuk. Ia dibawa kepada raja Babel dan dimasukkan dalam tahanan supaya suaranya tidak terdengar lagi di atas gunung-gunung Israel.
10 Ibumu seperti pokok anggur di dalam kebun anggur, tertanam di tepi air. Dia berbuah dan bercabang kerana air yang berlimpahan.
11 Padanya ada beberapa cabang yang kuat, yang menjadi cokmar kerajaan penguasa. Dia menjulang tinggi di antara cabang yang lebat lalu terlihat kerana tingginya dan kerana banyak rantingnya.
12 Tetapi pokok anggur itu tercabut dalam murka lalu dicampakkan ke bumi. Angin timur melayukannya, buahnya berluruhan. Cabang-cabangnya yang kuat menjadi layu, api melahapnya.
13 Sekarang pokok anggur itu tertanam di gurun, di gurun yang tidak berair.
14 Api terpancar daripada cabangnya melahap ranting dan buahnya, sehingga tidak ada lagi padanya cabang yang kuat untuk menjadi cokmar kerajaan bagi penguasa.’ Ini ialah suatu ratapan, dan akan terus digunakan sebagai ratapan.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yehezkiel 19
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yehezkiel 19

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV