1 Kemudian malaikat kelima meniup sangkakalanya. Kulihat sebuah bintang gugur dari langit ke bumi. Bintang itu diberi kunci jurang yang tidak terduga dalamnya.
2 Bintang itu membuka jurang itu lalu asap keluar seperti dari relau yang amat besar. Matahari dan seluruh angkasa gelap diselubungi asap itu.
3 Dari dalam asap itu keluarlah sekawan belalang lantas turun ke bumi. Belalang itu diberi kuasa seperti kala jengking di bumi.
4 Belalang itu ditegah merosakkan rumput di bumi, pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan lain; tugasnya menyerang manusia yang tidak mempunyai tanda materai Allah di dahinya.
5 Belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Sakitnya diseksa belalang itu samalah seperti disengat kala jengking.
6 Pada masa itu manusia yang diseksa itu mencari maut tetapi tidak menemukannya. Mereka ingin mati, namun kematian terlepas daripada mereka.
7 Belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap sedia untuk berperang. Di kepalanya ada sesuatu seperti mahkota emas dan mukanya mirip muka manusia.
8 Rambutnya seperti rambut wanita dan giginya serupa gigi singa.
9 Dadanya kelihatan seperti berperisai. Bunyi sayapnya seperti bunyi rata-rata kuda mara ke medan perang.
10 Ekor dan sengatnya seperti kala jengking. Dengan ekornya yang bersengat, belalang itu mempunyai kuasa untuk menyeksa manusia selama lima bulan.
11 Raja kepada belalang itu ialah malaikat yang menjaga jurang yang tidak terduga dalamnya. Namanya Abadon dalam bahasa Ibrani dan Apolion (bermakna “Pemusnah”) dalam bahasa Yunani.
12 Bencana pertama telah berlalu. Dua bencana lagi akan menyusul.
13 Kemudian malaikat keenam meniup sangkakalanya. Aku mendengar suara dari keempat-empat tanduk mazbah emas di hadapan Allah.
14 Suara itu berkata kepada malaikat keenam yang memegang sangkakala itu, “Lepaskanlah empat malaikat yang terikat di sungai yang besar, iaitu Sungai Efrat itu!”
15 Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah disediakan khas untuk membunuh sepertiga umat manusia pada jam, hari, bulan dan tahun itu.
16 Aku diberitahu bahawa pasukan berkuda itu terdiri daripada dua ratus juta askar.
17 Dalam penglihatan aku nampak banyak kuda dan penunggangnya. Perisai dada penunggang-penunggang itu merah seperti api, biru seperti nilam dan kuning seperti belerang. Kepala kuda itu seperti kepala singa dan dari mulutnya keluar api, asap dan belerang.
18 Api, asap dan belerang dari mulut kuda itu merupakan tiga bencana yang membunuh sepertiga umat manusia.
19 Kuasa kuda itu pada mulut dan ekornya. Kuda itu menyeksa manusia dengan ekornya yang seperti ular berkepala.
20 Manusia yang tidak terbunuh oleh bencana itu tidak berpaling daripada berhala buatan tangan mereka. Mereka meneruskan amalan menyembah roh-roh iblis dan berhala yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, batu dan kayu yang tidak dapat melihat, mendengar atau berjalan.
21 Mereka juga tidak berpaling daripada membunuh, menggunakan sihir, melakukan pencabulan dan mencuri.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Wahyu 9
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Wahyu 9

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV