1 Sepanjang malam, di katilku kucari kekasih hatiku. Kucari, tetapi dia tidak kutemui.
2 “Aku akan bangun sekarang dan mengelilingi kota. Di jalan-jalan dan di tempat-tempat umum akan kucari kekasih hatiku.” Kucari, tetapi dia tidak kutemui.
3 Para pengawal yang mengelilingi kota menemui aku. “Adakah kamu melihat kekasih hatiku?”
4 Sejurus sesudah kulalui mereka, aku menemui kekasih hatiku. Kurangkul dia dan tidak kulepaskan sampai kubawa dia ke rumah ibuku, ke bilik orang yang mengandungkan aku.
5 Dengan sungguh-sungguh aku minta kepadamu, wahai para puteri Yerusalem, demi kijang-kijang dan rusa-rusa betina di padang, jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta sebelum dikehendakinya.
6 Siapakah itu, yang muncul dari gurun bagaikan tiang asap, bak ombak yang harum dengan damar wangi dan kemenyan, daripada pelbagai serbuk wangian para pedagang?
7 Lihat, itu tandu Salomo! Enam puluh orang kesateria mengelilinginya, daripada kalangan kesateria Israel.
8 Semuanya lengkap dengan pedang, dan siap terlatih ilmu peperangan. Masing-masing dengan pedang di pinggang, siap menghadapi ancaman kengerian malam.
9 Raja Salomo membuat tandu peribadinya daripada kayu Lebanon.
10 Dengan tiang-tiangnya daripada perak, penyandarnya daripada emas, dan tempat duduknya daripada kain ungu. Bahagian dalamnya ditatah dengan kasih para puteri Yerusalem.
11 Wahai para puteri Sion, keluarlah dan pandanglah Raja Salomo dengan taj yang dimahkotakan oleh bondanya pada hari pernikahannya, pada hari kesukaan hatinya.