1 Boas pun pergi ke pintu gerbang dan duduk di sana. Maka lalulah di situ kerabat terdekat yang disebutkan Boas itu. Berkatalah Boas, “Wahai sahabat, berhenti dahulu dan duduklah di sini.” Maka orang itu pun datanglah lalu duduk.
2 Kemudian Boas membawa sepuluh tua-tua kota itu, dan berkata, “Silalah duduk di sini.” Duduklah mereka di situ.
3 Lalu berkatalah dia kepada kerabat terdekat Naomi itu, “Naomi yang pulang dari bumi Moab perlu menjual tanah yang menjadi milik saudara kita Elimelekh.
4 Maka terfikir aku untuk memberitahu kamu seperti yang berikut, belilah tanah itu di hadapan kalangan yang duduk di sini dan di hadapan para tua-tua kita. Jika mahu maka kamu tebuslah; tetapi jika kamu enggan, beritahu sahaja kepadaku, kerana tiada orang yang layak menebusnya kecuali kamu, dan selepas kamu, aku.” Lalu berkatalah orang itu, “Aku akan menebusnya.”
5 Kata Boas lagi, “Pada hari kamu membeli tanah itu daripada Naomi, untuk mengangkat nama si mati atas harta pusakanya, kamu juga memperoleh Rut, perempuan bani Moab, isteri si mati.”
6 Ahli kerabat terdekat itu menjawab, “Jika demikian, aku tidak dapat menebusnya supaya aku tidak menggugat harta pusakaku sendiri. Aku harap engkau menebus apa yang seharusnya kutebus itu kerana aku tidak dapat menebusnya.”
7 Adapun, memang adat lama orang Israel dalam hal penebusan dan penukaran hak milik tanah iaitu setiap kali orang mahu mengesahkan sesuatu perkara, hendaklah seorang menanggalkan kasutnya lalu memberikannya kepada yang lain. Begitulah cara pengesahan orang Israel.
8 Maka berkata kerabat terdekat itu kepada Boas, “Kamu sajalah yang membelinya,” lalu dia pun menanggalkan sandalnya.
9 Kepada para tua-tua serta semua orang yang ada di situ, Boas berkata, “Pada hari ini, kamulah saksi, bahawa aku telah membeli daripada tangan Naomi segala milik Elimelekh dan segala milik Kilyon dan Mahlon.
10 Seterusnya Rut, perempuan bani Moab iaitu isteri Mahlon, aku jadikan isteriku untuk menaikkan nama si mati atas harta pusakanya agar namanya tidak tersingkir daripada saudara-maranya dan daripada tempat tumpah darahnya; dan pada hari ini kamulah saksi bagi hal ini.”
11 Lalu semua yang hadir di pintu gerbang, dan para tua-tua pun berkata, “Sesungguhnya, kamilah saksi hal ini. Semoga TUHAN menjadikan perempuan yang akan masuk ke rumahmu itu sama seperti Rahel dan Lea, yang kedua-duanya membina keturunan kaum Israel. Semoga kamu makmur di Efrata dan biarlah masyhur namamu di Betlehem.
12 Semoga keturunanmu yang TUHAN anugerahi kamu daripada perempuan muda ini kelak seperti keturunan Peres yang dilahirkan oleh Tamar bagi Yehuda!”
13 Lalu Boas memperisteri Rut dan perempuan itu didampinginya. Atas kurnia TUHAN, Rut pun hamil dan seterusnya melahirkan seorang putera.
14 Lantas kalangan kaum wanita pun berkata kepada Naomi, “Terpujilah TUHAN, yang tidak membiarkan kamu tanpa seorang penebus. Termasyhurlah kiranya nama anak ini di Israel.
15 Semoga dia jugalah yang menjadi penyeri yang menyegarkan jiwamu dan memelihara kamu pada hari tuamu kerana menantumu yang mengasihimu dan yang lebih berharga bagimu daripada tujuh orang anak lelaki, telah melahirkannya.”
16 Naomi pun mengambil serta meriba bayi itu lalu menjadi pengasuhnya.
17 Para jiran wanita menamakan bayi itu sambil berkata, “Kepada Naomi, seorang putera telah dilahirkan.” Lalu mereka menamakan bayi itu Obed. Dan Obed ialah bapa Isai, iaitu bapa Daud.
18 Maka beginilah salasilah Peres: Zuriat Peres ialah Hezron,
19 dan zuriat Hezron ialah Ram dan zuriat Ram pula ialah Aminadab
20 dan zuriat Aminadab ialah Nahason dan zuriat Nahason ialah Salmon
21 dan zuriat Salmon ialah Boas dan kepada Boas lahirlah Obed
22 dan kepada Obed lahirlah Isai dan kepada Isai lahirlah Daud.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Rut 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Rut 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV