1 Nama yang baik lebih baik daripada ubat salap yang berharga, dan hari kematian lebih baik daripada hari kelahiran.
2 Pergi ke rumah orang berkabung lebih baik daripada pergi ke rumah orang berpesta kerana kesudahan setiap insan memang di rumah orang berkabung. Semoga setiap insan yang hidup memperingati hal ini.
3 Berdukacita lebih baik daripada tertawa kerana hati akan lega oleh wajah yang muram.
4 Hati orang yang bijaksana berada di tempat perkabungan tetapi hati orang bodoh di tempat bersuka ria.
5 Mendengar celaan orang yang bijaksana lebih baik daripada mendengar dendangan orang bodoh.
6 Kerana sebagaimana bunyi duri terbakar di bawah periuk, begitulah ketawa orang bodoh. Ini pun kesia-siaan.
7 Lantaran penindasan orang bijaksana naik gila, dan wang sogokan merosakkan hati.
8 Kesudahan sesuatu lebih baik daripada permulaannya. Jiwa yang sabar lebih baik daripada jiwa yang bongkak.
9 Jangan hatimu cepat marah kerana amarah mendongkol dalam dada orang bodoh.
10 Jangan berkata: “Mengapa zaman dahulu lebih baik daripada zaman sekarang?” Sebabnya bukan atas hikmahmu kamu melontarkan hal itu.
11 Hikmah memang baik apabila segandingan dengan warisan dan itu suatu kelebihan bagi orang yang masih melihat matahari.
12 Maka melindungi hikmah juga seperti melindungi wang, dan kelebihan hikmah ialah ia memelihara kehidupan para pemiliknya.
13 Perhatikanlah pekerjaan Allah! Siapalah yang mampu meluruskan apa yang telah Allah bengkokkan?
14 Bergembiralah pada hari kamu makmur, tetapi pada hari kamu susah ingatlah bahawa betapa hari kamu susah pun dijadikan Allah seperti hari kamu makmur, agar manusia tidak memahami apa yang bakal terjadi pada kemudian hari.
15 Dalam hidupku yang sia-sia ini telah kulihat segala hal: ada orang warak yang binasa dalam kewarakannya , ada orang fasiq yang hidup panjang umur meskipun hidupnya dalam kejahatan.
16 Janganlah terlalu salih dan janganlah menjadikan dirimu terlampau bijak. Mengapa perlu kamu musnahkan diri sendiri?
17 Janganlah terlalu fasiq dan jangan menjadi orang bodoh! Mengapa perlu kamu mati sebelum tiba ajalmu?
18 Baik jika kamu berpegang kepada satu nasihat ini dan tidak melepaskan yang satu lagi kerana yang takut kepada Allah akan maju daripada kedua-duanya.
19 Hikmah memberikan kekuatan kepada orang bijaksana lebih banyak daripada sepuluh orang penguasa di dalam kota.
20 Sesungguhnya, di bumi ini tiada orang benar yang sentiasa berbuat baik dan tidak pernah berdosa.
21 Juga janganlah terlalu mempedulikan apa yang dikatakan orang supaya kamu tidak mendengar hambamu mengutuk kamu.
22 Sebabnya hatimu pun tahu betapa kamu juga kerap mengutuk orang lain.
23 Kesemuanya ini pernah kuuji dengan hikmah. Kataku: “Aku akan menjadi bijaksana,” tetapi tahap itu jauh daripadaku.
24 Maka, siapakah yang dapat mencapai tahap yang sangat jauh dan sangat dalam itu?
25 Lalu aku berusaha untuk memahami, menyelidiki, dan mencari hikmah dan kesimpulan, serta untuk memahami betapa bodohnya kejahatan dan gilanya kebebalan.
26 Dan aku mendapati bahawa yang lebih pahit daripada maut ialah perempuan yang hatinya bak perangkap dan jala serta tangannya seperti belenggu. Orang yang baik di mata Allah terhindar daripadanya, tetapi orang yang berdosa akan terjebak olehnya.
27 Lihatlah iktibar yang kudapati, kata Pengkhutbah yang mempertimbangkan satu perkara dengan yang lain demi mencari kesimpulan,
28 yang masih kucari namun belum menemuinya. Kutemui seorang lelaki antara seribu, tetapi tidak kutemui seorang pun perempuan antara mereka.
29 Lihatlah, yang hanya kudapati ialah bahawa Allah menjadikan manusia jujur, tetapi manusia sendiri yang banyak rancangan jahatnya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Pengkhotbah 7
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Pengkhotbah 7

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV