1 TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun,
2 “Jalankanlah banci penduduk yang berasingan atas bani Kehat daripada kalangan bani Lewi menurut kaum dan keluarga masing-masing.
3 Hitunglah orang yang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun, iaitu semua orang yang memenuhi syarat untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan.
4 Pekerjaan bani Kehat di Khemah Pertemuan ialah menguruskan barang-barang yang teramat suci.
5 Ketika perkhemahan akan berangkat, hendaklah Harun dan anak-anaknya masuk ke dalam untuk menurunkan tabir penyekat dan menudungi tabut loh hukum dengan tabir itu.
6 Hendaklah di atasnya mereka meletakkan penutup daripada kulit anjing laut, menghamparkan sehelai kain yang seluruhnya berwarna biru di atas kulit itu, lalu memasang kayu-kayu pengusungnya.
7 Hendaklah mereka menghamparkan sehelai kain biru di atas meja roti persembahan dan meletakkan di atasnya pinggan, perbaraan, mangkuk, serta cawan persembahan minuman, selain itu juga roti persembahan yang harus tetap ada di atasnya.
8 Kemudian hendaklah mereka menghamparkan sehelai kain merah menyala di atas semua itu, menudunginya dengan tudung daripada kulit anjing laut lalu memasang kayu-kayu pengusungnya.
9 Setelah itu, hendaklah mereka mengambil sehelai kain biru untuk menudungi kaki pelita bagi pencahayaan itu berserta pelita-pelitanya, gunting-gunting sumbunya, perbaraan-perbaraannya, dan segala wadah bagi penyimpanan minyaknya.
10 Hendaklah mereka membungkus kaki pelita serta segala kelengkapannya dengan kulit anjing laut dan meletakkannya di atas usungan.
11 Selanjutnya hendaklah mereka menghamparkan sehelai kain biru di atas mazbah yang terbuat daripada emas, lalu menudunginya dengan tudung daripada kulit anjing laut, lalu memasang kayu-kayu pengusungnya.
12 Hendaklah mereka juga mengambil segala wadah bagi pelayanan yang digunakan di tempat suci dan membungkusnya dengan kain biru, menudunginya dengan tudung kulit anjing laut, dan meletakkannya di atas usungan.
13 Kemudian hendaklah mereka menyingkirkan abu dari mazbah lalu menghamparkan sehelai kain ungu ke atasnya.
14 Hendaklah mereka juga meletakkan di atasnya segala kelengkapan yang digunakan untuk peribadatan di mazbah, iaitu segala perbaraan, garpu, penyodok, dan bejana. Lalu hendaklah mereka menghamparkan penutup daripada kulit anjing laut di atas semua itu, dan memasang kayu-kayu pengusungnya.
15 Setelah Harun dan anak-anaknya menudungi kesemua barang suci dan segala kelengkapan tempat suci ketika perkhemahan akan berangkat, barulah bani Kehat boleh datang untuk mengusung semuanya. Akan tetapi, mereka tidak boleh menyentuh barang-barang suci itu, supaya jangan mereka mati. Itulah barang-barang di Khemah Pertemuan yang perlu diusung oleh bani Kehat.
16 Ketika itu, Eleazar, anak Imam Harun, bertanggungjawab ke atas minyak untuk pencahayaan, dupa harum, persembahan bahan makanan yang tetap, dan minyak tahbis. Dia bertanggungjawab di dalam seluruh Khemah Suci dengan segala isinya, iaitu barang-barang suci serta segala kelengkapannya.”
17 TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun,
18 “Jangan biarkan suku Kehat dan kaum mereka lenyap daripada kalangan bani Lewi.
19 Lakukanlah hal ini bagi mereka supaya mereka tetap hidup dan tidak mati ketika mendekati barang-barang yang teramat suci itu: hendaklah Harun dan anak-anaknya masuk lebih dahulu untuk menentukan pekerjaan masing-masing serta barang-barang yang harus diangkut oleh mereka.
20 Tetapi bani Kehat tidak boleh masuk ke dalam untuk melihat barang-barang suci itu sekalipun hanya sesaat, supaya jangan mereka mati.”
21 TUHAN berfirman kepada Musa,
22 “Jalankanlah pula banci penduduk atas bani Gerson menurut keluarga dan kaum mereka.
23 Hitunglah orang yang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun, iaitu semua orang yang memenuhi syarat-syarat bekerja untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan.
24 Inilah tugas kaum bani Gerson dalam hal pelayanan dan dalam pengangkutan barang:
25 Hendaklah mereka mengangkut kain tabir Khemah Suci, Khemah Pertemuan dengan penudungnya juga tudung daripada kulit anjing laut yang ada di atasnya, tirai pintu masuk ke Khemah Pertemuan,
26 kain yang memagari laman dalaman, tirai pintu gerbang laman dalaman yang mengelilingi Khemah Suci juga mazbah, tali-talinya, dan segala kelengkapan yang digunakan dalam pekerjaan itu. Hendaklah mereka mengerjakan segala tugas yang perlu dilaksanakan sehubungan dengan kesemua itu.
27 Seluruh tugas bani Gerson, baik pengangkutan barang mahupun pekerjaan lainnya, hendaklah dilakukan berdasarkan perintah Harun dan anak-anaknya. Hendaklah kamu menetapkan tanggungjawab mereka ke atas semua barang yang harus diangkut oleh mereka.
28 Itulah tugas kaum bani Gerson di Khemah Pertemuan. Hendaklah kewajipan mereka itu dilaksanakan di bawah pimpinan Itamar, anak Imam Harun.
29 Hendaklah kamu juga menghitung bani Merari menurut kaum dan keluarganya.
30 Hitunglah orang yang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun, iaitu semua orang yang memenuhi syarat untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan.
31 Sehubungan dengan segala tugas mereka di Khemah Pertemuan itu, inilah barang-barang yang dipertanggungjawabkan untuk diangkut mereka: kerangka Khemah Suci, kayu-kayu palangnya, tiang-tiang dengan semua kekakinya,
32 tiang-tiang di sekeliling laman dalaman dengan kekakinya, pasak-pasaknya, tali-temalinya, segala kelengkapannya, dan semua yang digunakan untuk pekerjaan itu. Hendaklah kamu menghitung nama segala kelengkapan yang wajib diangkut mereka.
33 Itulah tugas kaum bani Merari, iaitu segala pekerjaan yang harus dilaksanakan mereka di Khemah Pertemuan di bawah pimpinan Itamar, anak Imam Harun.”
34 Maka Musa, Harun, dan para pemimpin umat menghitung bani Kehat menurut kaum dan keluarganya,
35 iaitu orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk bekerja di Khemah Pertemuan.
36 Jumlah yang dihitung menurut kaum mereka itu ialah 2,750 orang.
37 Itulah jumlah penghitungan kaum bani Kehat, iaitu semua orang yang bekerja di Khemah Pertemuan. Mereka dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman TUHAN dengan perantaraan Musa.
38 Kemudian bani Gerson dihitung menurut kaum dan keluarganya,
39 iaitu orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk bekerja di Khemah Pertemuan.
40 Jumlah yang dihitung menurut kaum dan keluarganya ialah 2,630 orang.
41 Itulah jumlah penghitungan kaum bani Gerson, iaitu semua orang yang bekerja di Khemah Pertemuan. Mereka dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman TUHAN.
42 Selanjutnya kaum bani Merari dihitung menurut kaum dan keluarganya,
43 iaitu orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk bekerja di Khemah Pertemuan.
44 Jumlah yang dihitung menurut kaum mereka itu ialah 3,200 orang.
45 Itulah jumlah penghitungan kaum bani Merari. Mereka dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman TUHAN dengan perantaraan Musa.
46 Demikianlah Musa, Harun, dan para pemimpin Israel menghitung jumlah semua bani Lewi menurut kaum dan keluarga mereka,
47 iaitu semua orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk melaksanakan tugas dan pekerjaan mengangkut barang di Khemah Pertemuan.
48 Jumlah yang dihitung ialah 8,580 orang.
49 Berdasarkan firman TUHAN dengan perantaraan Musa, setiap orang disenaraikan menurut tugasnya sama ada yang melayan atau yang mengangkut. Demikianlah mereka dihitung sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Bilangan 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Bilangan 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV