1 TUHAN berfirman kepada Musa di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho,
2 “Perintahkanlah kepada orang Israel supaya mereka memberikan kepada bani Lewi kota-kota daripada harta pusaka mereka untuk didiami. Berikanlah juga kepada bani Lewi tanah ternakan di sekeliling kota-kota raya itu.
3 Kota-kota raya itu akan menjadi tempat kediaman mereka, dan segala tanah ternakan mereka akan menjadi tempat ternakan mereka, harta benda mereka, serta segala haiwan mereka.
4 Hendaklah tanah ternakan kota raya yang kamu berikan kepada bani Lewi itu sejauh seribu hasta dari tembok kota ke sebelah luar.
5 Hendaklah kamu ukur di sebelah luar kota itu dua ribu hasta ke sebelah timur, dua ribu hasta ke sebelah selatan, dua ribu hasta ke sebelah barat, dan dua ribu hasta ke sebelah utara, sehingga kota itu berada di tengah-tengah. Itulah yang akan menjadi tanah ternakan kota-kota raya mereka.
6 Hendaklah kota-kota raya yang harus kamu berikan kepada bani Lewi itu termasuk enam kota perlindungan, supaya seorang pembunuh dapat melarikan diri ke sana. Selain itu, berikanlah pula empat puluh dua buah kota raya lainnya,
7 sehingga seluruh kota yang harus kamu berikan kepada orang Lewi berjumlah empat puluh lapan kota kesemuanya dan tanah ternakannya.
8 Dalam hal kota-kota raya yang akan kamu berikan daripada tanah milik orang Israel itu, ambillah banyak daripada suku yang besar-besar, dan ambillah sedikit daripada suku yang kecil. Hendaklah masing-masing suku memberikan kota-kotanya kepada bani Lewi selaras dengan harta pusaka yang diwarisi mereka.”
9 TUHAN berfirman kepada Musa,
10 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Sesudah kamu menyeberangi Sungai Yordan dan masuk ke Tanah Kanaan,
11 pilihlah beberapa kota untuk menjadi kota-kota perlindungan bagimu, supaya orang yang tanpa sengaja telah membunuh orang lain dapat lari ke sana.
12 Kota-kota itu akan menjadi tempat perlindungan bagimu daripada orang yang hendak menuntut balas, supaya jangan seseorang pembunuh mati sebelum dia menghadap majlis umat untuk diadili.
13 Daripada kota-kota raya yang kamu tentukan itu, enam buah kota raya akan menjadi kota perlindungan bagimu.
14 Tentukanlah tiga kota raya di seberang Sungai Yordan dan tentukanlah tiga kota lagi di Tanah Kanaan untuk dijadikan kota-kota perlindungan.
15 Keenam-enam kota itu akan menjadi tempat perlindungan, baik bagi orang Israel mahupun bagi pendatang dan perantau yang ada dalam kalangan kamu, supaya sesiapa pun yang telah membunuh orang tanpa sengaja dapat lari ke sana.
16 Akan tetapi, jika seseorang menghentam orang lain dengan benda daripada besi hingga orang itu mati, maka dia seorang pembunuh, dan pembunuh itu pasti dihukum mati.
17 Jika seseorang menghentam orang lain dengan batu di tangan hingga orang itu mati kerana batu tersebut, maka dia seorang pembunuh, dan pembunuh itu pasti dihukum mati.
18 Atau jika dia menghentam orang itu dengan benda daripada kayu di tangan hingga orang itu mati kerana kayu tersebut, maka dia seorang pembunuh, dan pembunuh itu pasti dihukum mati.
19 Orang yang berhak menuntut balasan darahlah yang harus menjalankan hukum bunuh ke atas pembunuh itu. Apabila dia bertemu dengannya, hendaklah dia bunuhnya.
20 Jika seseorang menyerang orang lain kerana benci, atau melempar sesuatu dengan sengaja kepada orang lain hingga orang itu mati,
21 atau jika seseorang menghentam orang lain dengan tangannya kerana permusuhan hingga orang itu mati, maka dia pasti dihukum mati, kerana dia seorang pembunuh. Orang yang menuntut balasan darah berhak menjalankan hukum bunuh ke atas pembunuh itu apabila dia bertemu dengannya.
22 Akan tetapi, jika seseorang menolak orang lain secara tiba-tiba bukan kerana permusuhan, atau melempar sesuatu benda kepadanya tanpa sengaja,
23 atau tanpa sedar menjatuhkan sebuah batu ke atas seseorang hingga orang itu mati kerana batu itu, padahal dia bukan musuhnya dan juga tidak berniat mencederakannya,
24 maka hendaklah majlis umat memutuskan hukum antara pembunuh itu dengan orang yang menuntut balasan darah menurut hukum-hukum ini.
25 Hendaklah umat membebaskan pembunuh itu daripada tangan orang yang menuntut balasan darah, kemudian hendaklah mereka mengembalikan dia ke kota perlindungan, tempat pelariannya. Hendaklah dia tinggal di sana sehingga kematian imam besar yang telah diurapi dengan minyak suci.
26 Tetapi jika pembunuh itu keluar daripada batasan kota perlindungan tempat pelariannya,
27 lalu di luar sempadan kota perlindungannya itu dia didapati oleh orang yang menuntut balasan darah dan dibunuh, maka orang ini tidak berhutang darah kepadanya,
28 kerana memang pembunuh itu wajib tinggal di kota perlindungannya sampai orang yang menjadi imam besar meninggal. Sesudah imam besar meninggal, barulah dia boleh kembali ke tanah miliknya.
29 Itulah ketetapan hukum bagi kamu turun-temurun di seluruh tempat kediamanmu.
30 Hendaklah sesiapa yang membunuh orang lain dikenakan hukum mati ke atas keterangan saksi. Namun demikian, seorang saksi sahaja tidak cukup untuk dapat menjatuhkan hukuman mati ke atas seseorang.
31 Apatah lagi, jangan terima tebusan sebagai ganti nyawa seseorang pembunuh yang patut dihukum mati, kerana hendaklah dia tetap dihukum mati.
32 Jangan pula terima tebusan daripada seorang yang melarikan diri ke kota perlindungan jika maksudnya supaya dia dapat kembali tinggal di negeri itu sebelum imam besar meninggal.
33 Jangan najiskan negeri tempat kediamanmu, kerana darah yang tertumpah menajiskan negeri itu. Tidak ada pendamaian yang dapat diadakan bagi negeri itu akibat darah yang tertumpah di atasnya, kecuali dengan darah orang yang menumpahkannya.
34 Jangan najiskan negeri tempat tinggalmu, tempat Aku bersemayam, kerana Aku, TUHAN, bersemayam dalam kalangan orang Israel.’ ”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Bilangan 35
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Bilangan 35

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV