1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Perintahkanlah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Ingatlah baik-baik, pada waktu yang telah ditetapkan, hendaklah kamu bawa persembahan kepada-Ku, iaitu santapan berupa korban bakaran, yang keharumannya diredai TUHAN.’
3 Katakanlah pula kepada mereka, ‘Inilah korban yang dibakar, yang harus kamu persembahkan secara tetap setiap hari kepada TUHAN, iaitu dua ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela sebagai korban bakaran.
4 Hendaklah kamu sediakan domba yang seekor pada waktu pagi dan yang seekor lagi itu pada waktu senja.
5 Selain itu, persembahkanlah juga sepersepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan seperempat hin minyak zaitun yang ditumbuk sebagai persembahan bahan makanan.
6 Itulah korban bakaran tetap yang ditentukan di Gunung Sinai; korban bakaran berupa suatu keharuman yang meredakan dipersembahkan kepada TUHAN.
7 Persembahan minumannya ialah seperempat hin untuk setiap ekor domba. Curahkanlah minuman yang telah ditapai sebagai persembahan minuman kepada TUHAN di tempat suci.
8 Demikian pula halnya dengan domba yang seekor lagi itu, yang harus kamu sediakan pada waktu senja. Sama seperti persembahan bahan makanan pada pagi hari dan juga persembahan minumannya, begitu juga hendaklah kamu mempersembahkan korban bakaran, yang keharumannya diredai TUHAN.
9 Persembahan untuk hari Sabat ialah dua ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela, dan dua persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan, bersama-sama persembahan minumannya.
10 Itulah korban bakaran untuk setiap hari Sabat, selain korban bakaran yang tetap dan persembahan minumannya.
11 Pada setiap awal bulan hendaklah kamu persembahkan kepada TUHAN korban bakaran berupa dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela.
12 Selain itu persembahkanlah juga tiga persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan untuk setiap ekor lembu jantan, dua persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan untuk domba jantan yang seekor itu,
13 dan sepersepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan untuk setiap ekor anak domba jantan. Itulah korban bakaran yang berupa suatu keharuman yang meredakan dipersembahkan kepada TUHAN.
14 Bagi persembahan minuman ialah setengah hin air anggur bagi seekor lembu jantan, sepertiga hin untuk seekor domba jantan, dan seperempat hin untuk seekor anak domba. Itulah korban bakaran pada setiap bulan baru dalam setahun.
15 Hendaklah seekor kambing jantan disediakan juga untuk TUHAN sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap berserta persembahan minumannya.
16 Hari keempat belas dalam bulan pertama ialah Paskah bagi TUHAN
17 manakala hari kelima belas dalam bulan itu ialah hari perayaan. Makanlah roti yang tidak beragi selama tujuh hari.
18 Pada hari pertama adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan jangan lakukan sesuatu pekerjaan yang berat.
19 Persembahkanlah kepada TUHAN korban yang dibakar, iaitu korban bakaran berupa dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan berumur setahun. Hendaklah semuanya tidak bercacat cela.
20 Sebagai persembahan bahan makanannya sediakanlah tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun, tiga persepuluh efa untuk seekor lembu jantan, dua persepuluh efa untuk seekor domba jantan,
21 dan sepersepuluh efa untuk setiap ekor daripada ketujuh-tujuh ekor anak domba jantan itu.
22 Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa untuk mengadakan pendamaian bagimu.
23 Sediakanlah semua itu, selain korban bakaran pagi yang termasuk korban bakaran tetap.
24 Demikianlah harus kamu sediakan setiap harinya selama tujuh hari santapan berupa korban bakaran, korban yang dibakar yang keharumannya diredai TUHAN, selain juga korban bakaran yang tetap dan persembahan minumannya.
25 Pada hari ketujuh adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan jangan lakukan sebarang pekerjaan biasa.
26 Pada Hari Hasil Tuaian Sulung, ketika kamu mempersembahkan persembahan bahan makanan yang baru kepada TUHAN selama Perayaan Tujuh Minggu, adakanlah perhimpunan jemaah yang suci. Jangan lakukan sebarang pekerjaan biasa.
27 Persembahkanlah korban bakaran, iaitu korban yang keharumannya diredai TUHAN, berupa dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan berumur setahun.
28 Sebagai persembahan bahan makanannya ialah tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun, tiga persepuluh efa untuk setiap lembu jantan, dua persepuluh efa untuk domba jantan yang seekor itu,
29 dan sepersepuluh efa untuk setiap ekor daripada ketujuh-tujuh anak domba jantan itu.
30 Persembahkanlah juga seekor kambing jantan untuk mengadakan pendamaian bagimu.
31 Sediakanlah semuanya bersama-sama persembahan minumannya, selain korban bakaran tetap dan persembahan bahan makanannya. Hendaklah kesemuanya tidak bercacat cela.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Bilangan 28
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Bilangan 28

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV