1 Setelah Bileam melihat bahawa TUHAN berkenan memberkati Israel, maka dia tidak lagi pergi mencari tanda seperti sebelumnya, tetapi dia menghadapkan wajahnya ke arah gurun.
2 Bileam melayangkan pandangannya dan melihat orang Israel yang sedang berkhemah mengikut suku masing-masing. Lalu turunlah Roh Allah ke atasnya,
3 lalu dia mengucap ungkapannya: “Pernyataan Bileam anak Beor, pernyataan orang yang matanya kini terbuka.
4 Pernyataan orang yang mendengar firman Allah dan mendapat penglihatan daripada Yang Maha Kuasa; yang rebah namun matanya tersingkap.
5 Betapa eloknya khemah-khemahmu, wahai Yakub, dan tempat-tempat kediamanmu, wahai Israel.
6 Semuanya bagaikan lembah yang terbentang, bagaikan taman di pesisiran sungai, bagaikan pokok gaharu yang ditanam oleh TUHAN, bagaikan pokok araz di tepi air.
7 Air mengalir daripada timbanya dan benihnya mendapat banyak air. Rajanya akan lebih tinggi daripada Agag, dan kerajaannya akan diagungkan.
8 Allah, yang membawanya keluar dari Mesir, dan baginya Allah seperti tanduk lembu liar. Dia akan melahap bangsa-bangsa yang menjadi lawannya, menghancurkan tulang-tulang mereka, dan meremukkan mereka dengan anak-anak panahnya.
9 Dia merunduk, mendekam seperti singa jantan atau singa betina. Siapakah yang berani membangunkannya? Diberkatilah orang yang mengucapkan berkat atasmu, dan terkutuklah orang yang mengutuk kamu!”
10 Maka menyalalah amarah Balak terhadap Bileam. Ditepuknya kedua-dua tangannya lalu berkatalah dia kepada Bileam, “Aku memanggil kamu untuk mengutuk musuhku, tetapi kamu malah mengucapkan berkat ke atas mereka hingga tiga kali!
11 Sekarang, nyahlah kamu! Pulanglah ke tempatmu! Aku pernah berkata bahawa aku akan membuat kamu kaya. Tetapi lihat, TUHAN tidak mengizinkan kamu memperoleh kekayaan itu.”
12 Kata Bileam kepada Balak, “Bukankah telah kukatakan kepada orang utusan yang kaukirim kepadaku,
13 bahawa sekalipun Balak memberikan kepadaku perak dan emas yang memenuhi sebuah istana, aku tidak dapat melanggar firman TUHAN untuk melakukan hal yang baik atau jahat atas niat hatiku sendiri. Apa yang difirmankan TUHAN, itulah yang akan kukatakan.
14 Jadi, sekarang aku akan kembali kepada bangsaku. Tetapi marilah, akan kuberitahukan kepadamu apa yang akan dilakukan bangsa itu terhadap bangsamu pada kemudian hari.”
15 Lalu berwacanalah dia, katanya, “Pernyataan Bileam anak Beor, pernyataan orang yang matanya kini terbuka.
16 Pernyataan orang yang mendengar firman Allah, dan mengetahui ilmu pengetahuan daripada Yang Maha Tinggi dan mendapat penglihatan daripada Yang Maha Kuasa; yang rebah namun matanya tersingkap:
17 Aku melihat dia tetapi bukan sekarang. Aku memandang dia tetapi bukan dari dekat. Sebuah bintang akan terbit daripada Yakub, sebuah cokmar pemerintahan akan timbul dari Israel, yang akan meremukkan dahi segala bani Moab dan merobohkan semua bani Set.
18 Edom akan diduduki, dan Seir juga, musuhnya akan kehilangan semua milik mereka, sedangkan Israel akan melakukan perbuatan yang gagah perkasa.
19 Daripada Yakub akan muncul seorang penuh berkuasa, yang akan membinasakan orang yang terselamat daripada kota-kota raya.”
20 Kemudian dia memandang orang Amalek lalu menyambung wacananya, katanya, “Amalek adalah yang pertama dalam bangsa-bangsa, tetapi kesudahannya ialah kemusnahan yang mutlak.”
21 Dia memandang pula orang Keni lalu berwacana lagi, katanya, “Memang kukuh tempat kediamanmu, sarangmu terletak di bukit batu.
22 Namun demikian, orang Keni akan musnah. Tidak lama lagi Asyur akan menawan kamu.”
23 Dia meneruskan lagi wacananya, katanya, “Aduh! Siapa yang akan hidup ketika Allah melakukan hal itu?
24 Namun demikian, akan datang kapal-kapal dari pesisir Siprus, menindas Asyur serta Eber, lalu dia juga kelak menerima kebinasaan yang mutlak.”
25 Setelah itu, Bileam segera kembali ke tempat tinggalnya, dan begitu juga halnya dengan Balak.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Bilangan 24
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Bilangan 24

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV