1 TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun,
2 “Apabila terjadi bengkak, ruam atau berbintik-bintik pada kulit tubuh seseorang yang kemudian menjadi jangkitan penyakit kulit, maka hendaklah orang itu dibawa kepada Imam Harun atau kepada seorang daripada antara para imam iaitu anak-anaknya.
3 Hendaklah imam memeriksa kudis pada kulit tubuh orang itu. Jika bulu di tempat jangkitan itu sudah berubah menjadi putih, dan kelihatan betapa penyakit itu sudah berakar lebih dalam daripada lapisan kulit di tubuhnya, maka kudisnya itu jangkitan penyakit kulit. Setelah imam selesai memeriksanya, hendaklah dia mengisytiharkan bahawa orang itu najis.
4 Jika terdapat bintik-bintik putih pada kulit tubuhnya tetapi kelihatannya hal itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, dan bulunya pun tidak berubah menjadi putih, maka hendaklah imam mengasingkan orang yang berpenyakit itu selama tujuh hari.
5 Hendaklah imam memeriksa orang itu semula pada hari yang ketujuh. Jika kudis yang berkenaan tidak kian meluas dan merebak pada kulit, maka hendaklah imam mengasingkannya selama tujuh hari lagi.
6 Hendaklah imam memeriksanya semula pada hari ketujuh, dan jika ternyata telah pudar dan tidak meluas lagi kudis itu pada kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang itu suci. Ini bererti terjadi ruam sahaja maka hendaklah orang itu mencuci pakaiannya lalu dia menjadi suci.
7 Namun begitu, jika ruam itu meluas pada kulit setelah orang itu menunjukkan diri kepada imam untuk diisytiharkan suci, maka hendaklah dia menunjukkan dirinya untuk pemeriksaan oleh imam.
8 Maka hendaklah imam memeriksa orang itu semula. Jika terbukti ruam itu meluas pada kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang itu najis. Penyakit itu jangkitan penyakit kulit.
9 Apabila seseorang terkena jangkitan penyakit kulit, hendaklah dia dibawa kepada imam.
10 Hendaklah imam menjalankan pemeriksaan. Jika terbukti ada bengkak berwarna keputihan pada kulit orang itu malah bulu di tempat itu juga menjadi putih dan terjadi ketumbuhan daging pada bengkak itu,
11 maka itulah jangkitan penyakit parah pada kulit tubuh orang itu. Maka hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis, tetapi tidak perlu mengasingkannya kerana sudah jelas betapa bernajis orang itu.
12 Namun begitu jika sejauh yang terlihat oleh imam, penyakit itu sudah menutupi seluruh kulit orang itu dari kepala sampai kakinya
13 maka hendaklah imam menjalankan pemeriksaan. Jika jelas bahawa penyakit itu memang menutupi seluruh tubuhnya, maka hendaklah diisytiharkan bahawa orang yang berpenyakit itu suci kerana keseluruhannya sudah berubah menjadi putih, maka sucilah dia.
14 Akan tetapi, jika muncul radang daging padanya, maka dia menjadi najis.
15 Hendaklah imam memeriksa radang daging itu dan mengisytiharkan orang itu najis. Radang daging itu najis, dan itu jangkitan penyakit kulit.
16 Walau bagaimanapun, jika radang daging itu berubah menjadi putih semula, maka hendaklah orang itu datang kepada imam.
17 Hendaklah imam memeriksanya dan jika terbukti bahawa kudis itu telah berubah menjadi putih, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang yang berpenyakit itu suci, dan sucilah dia.
18 Jika ada bisul yang telah sembuh pada kulit tubuh seseorang,
19 tetapi pada bekas bisul itu muncul pula bengkak berwarna putih atau bintik-bintik berwarna putih kemerah-merahan, maka hendaklah keadaan itu ditunjukkan kepada imam.
20 Hendaklah imam menjalankan pemeriksaan. Jika tampaknya bintik-bintik itu berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, dan bulu di tempat itu telah berubah menjadi putih, maka hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis. Itu jangkitan penyakit yang muncul di bekas bisul itu.
21 Akan tetapi, jika imam memeriksanya dan terbukti bahawa bulu di tempat itu tidak ada yang putih, dan bintik-bintik itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, malah sudah menjadi pudar, maka hendaklah imam mengasingkan orang itu tujuh hari lamanya.
22 Jika bintik-bintik itu meluas pada kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang itu najis. Itu suatu jangkitan penyakit.
23 Tetapi jika bintik-bintik itu tetap pada tempatnya dan tidak meluas, maka itu bekas bisul, dan hendaklah imam mengisytiharkan orang itu suci.
24 Apabila ada bekas luka terbakar pada kulit tubuh seseorang lalu bekas luka terbakar itu menjadi bintik-bintik putih kemerah-merahan atau putih,
25 maka hendaklah imam memeriksanya. Jika terbukti bahawa bulu pada bintik-bintik itu telah berubah menjadi putih dan kelihatannya berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, maka itulah jangkitan penyakit yang muncul di tempat luka terbakar itu. Hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis. Itu jangkitan penyakit.
26 Akan tetapi, setelah imam memeriksanya ternyata tidak ada bulu yang putih di tempat bintik-bintik itu, dan bintik-bintik itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, malah menjadi pudar, maka hendaklah imam mengasingkan orang itu selama tujuh hari.
27 Kemudian pada hari ketujuh hendaklah imam memeriksa orang itu semula. Jika bintik-bintik itu semakin merebak pada kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis. Itu jangkitan penyakit.
28 Tetapi jika bintik-bintik itu tetap pada tempatnya dan tidak merebak pada kulit, malah menjadi kian pudar, maka itu hanyalah bengkak akibat luka terbakar. Hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang itu suci, kerana itu sekadar bekas luka terbakar.
29 Jika seseorang, lelaki ataupun perempuan, terkena penyakit kulit di kepalanya atau di dagunya,
30 maka hendaklah imam memeriksa penyakit itu. Jika tampaknya penyakit itu berakar lebih dalam daripada lapisan kulit dan terdapat rambut halus kekuningan padanya, maka hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis. Itu kudis, sejenis penyakit kulit pada kepala atau dagu.
31 Jika imam memeriksa jangkitan penyakit kudis itu dan terbukti penyakit itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit serta tidak ada rambut yang hitam padanya, maka hendaklah imam mengasingkan orang yang berpenyakit kudis itu selama tujuh hari.
32 Pada hari ketujuh hendaklah imam memeriksa kudis itu dan jika terbukti kudis itu tidak semakin merebak dan tiada rambut yang kuning di tempat itu, lalu kudis itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit,
33 maka hendaklah orang itu bercukur tetapi dia tidak boleh bercukur di tempat adanya kudis itu. Kemudian hendaklah imam mengasingkan orang yang berpenyakit kudis itu selama tujuh hari,
34 dan pada hari ketujuh hendaklah imam memeriksa semula kudis itu. Jika terbukti kudis itu tidak merebak pada kulit dan tampaknya tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan orang itu suci. Hendaklah orang itu mencuci pakaiannya, dan dia pun menjadi suci.
35 Namun begitu, jika kudis itu merebak pada kulit sesudah dia diisytiharkan suci,
36 maka hendaklah imam memeriksanya. Jika terbukti bahawa kudis itu telah merebak pada kulit, imam tidak perlu lagi mencari rambut yang kuning; orang itu memang najis.
37 Tetapi jika menurut pengamatannya kudis itu tidak meluas dan rambut yang hitam telah tumbuh padanya, maka sesungguhnya kudis itu sudah sembuh dan orang itu suci. Hendaklah imam mengisytiharkan orang itu suci.
38 Jika pada kulit tubuh seorang lelaki ataupun perempuan terdapat bintik-bintik putih,
39 maka hendaklah imam menjalankan pemeriksaan. Jika terbukti bintik-bintik tersebut putih pudar, maka itulah ruam yang timbul pada kulitnya, dan orang itu suci.
40 Jika berguguran rambut daripada kulit kepala seseorang dan dia menjadi botak, dia suci.
41 Jika berguguran rambut kepalanya daripada bahagian dahi dan dia menjadi gondol, dia juga suci.
42 Tetapi apabila pada kepala botak atau dahi gondol itu timbul bengkak berwarna putih kemerah-merahan, maka ada kemunculan penyakit pada kepala botak atau dahinya yang gondol itu.
43 Hendaklah imam memeriksanya. Jika terbukti bengkak pada kepalanya yang botak atau dahinya yang gondol itu menjadi putih kemerah-merahan dan kelihatan seperti penyakit memang menyerang kulit tubuhnya,
44 maka orang itu memang ditimpa musibah penyakit dan najislah dia. Hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis atas sebab penyakit di kepalanya itu.
45 Maka hendaklah orang yang ditimpa jangkitan penyakit itu memakai pakaian yang terkoyak-koyak dan membiarkan rambut kepalanya terurai. Hendaklah dia menutupi misai atau bahagian di atas bibirnya dan hendaklah dia berseru-seru, ‘Najis! Najis!’
46 Selama dia menghidap penyakit itu dan berkudis, najislah dia dan hendaklah dia tinggal secara terasing di luar perkhemahan.
47 Apabila pada sesuatu pakaian, baik daripada bulu domba mahupun kain linen, ada kesan kotor daripada jangkitan penyakit,
48 pada benang lungsin atau pakan daripada pakaian bulu domba atau linen itu, pada pakaian daripada kulit, atau pada barang apa-apa pun yang terbuat daripada kulit –
49 dan jika kesan kotor pada pakaian atau barang tersebut itu sudah menjadi kehijau-hijauan atau kemerah-merahan, itu bererti bahawa kulapuk atau jangkitan penyakit itu kian meluas dan perlu ditunjukkan kepada imam.
50 Hendaklah imam memeriksa tanda itu dan mengasingkan barang yang memiliki kesan kotor itu selama tujuh hari.
51 Kemudian pada hari ketujuh, hendaklah imam memeriksa lagi kesan kotor itu. Jika tanda itu semakin meluas pada pakaian, pada benang lungsin dan pakannya, atau pada kulit, untuk keperluan apa-apa pun kulit itu dipakai, maka jangkitan itu penyakit yang cenderung menjadi lebih teruk dan najislah barang itu.
52 Hendaklah imam membakar pakaian, benang lungsin dan pakan pada pakaian bulu domba atau linen, atau barang apa-apa pun daripada kulit yang memiliki tanda itu, kerana jangkitan itu penyakit yang cenderung menjadi lebih teruk. Hendaklah barang-barang yang berkenaan itu dibakar habis.
53 Jika imam menjalankan pemeriksaan dan terbukti bahawa kesan kotor itu tidak semakin meluas pada pakaian, pada benang lungsin dan pakan, atau pada barang apa-apa pun daripada kulit,
54 maka hendaklah imam menyuruh orang mencuci barang yang memiliki kesan kotor itu. Hendaklah dia mengasingkan barang tersebut selama tujuh hari lagi.
55 Sesudah barang yang memiliki kesan kotor itu dicuci, hendaklah imam menjalankan pemeriksaan semula. Jika terbukti kesan kotor itu tidak berubah rupanya meskipun tidak meluas, maka barang itu najis, dan hendaklah engkau membakarnya habis, tidak kira sama ada kesan kotor itu berada di sebelah belakang atau di depan.
56 Jika pemeriksaan imam menunjukkan bahawa kesan kotor itu menjadi pudar sesudah dicuci, maka hendaklah dia membuang bahagian berkesan kotor itu daripada pakaian, kulit, benang lungsin atau pakan itu.
57 Jika kesan kotor itu muncul semula pada pakaian, benang lungsin dan pakan, atau pada barang apa-apa pun daripada kulit, itu bererti bahawa jangkitan penyakit itu berkembang. Hendaklah kamu membakar habis barang yang berkesan kotor itu.
58 Hendaklah pakaian, benang lungsin, benang pakan, atau barang apa-apa pun daripada kulit yang sudah kamu cuci hingga tanda itu hilang itu dicuci lagi. Setelah itu, barulah barang itu suci.
59 Itulah hukum tentang jangkitan penyakit pada pakaian daripada bulu domba atau linen, pada benang lungsin, benang pakan, atau pada barang apa-apa pun daripada kulit, untuk menyatakan sama ada barang itu suci atau najis.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Imamat 13
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Imamat 13

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV