1 Bezaleel, Aholiab, juga setiap warga berkemahiran yang dianugerahi kebijaksanaan dan pengertian oleh TUHAN agar mereka tahu bagaimana mengerjakan segala jenis pekerjaan untuk peribadatan di tempat suci, hendaklah bekerja sebagaimana yang TUHAN perintahkan.”
2 Kemudian Musa memanggil Bezaleel, Aholiab, serta setiap warga yang berkemahiran dianugerahi TUHAN kebijaksanaan, iaitu setiap orang yang tergerak hatinya untuk datang memikul pekerjaan itu.
3 Daripada tangan Musa, mereka menerima kesemua persembahan khusus yang dibawa oleh orang Israel untuk melaksanakan pekerjaan pembinaan tempat suci. Sementara itu, tiap-tiap pagi orang masih terus membawa persembahan sukarela kepada Musa.
4 Maka tampillah semua warga yang berkemahiran iaitu para tukang, masing-masing meninggalkan pekerjaan yang sedang dikerjakannya, untuk melaksanakan segala pekerjaan pembinaan tempat suci itu.
5 Berkatalah mereka kepada Musa, “Lebih daripada cukup bahan yang dibawa oleh umat demi pelaksanaan pekerjaan yang diperintahkan oleh TUHAN itu.”
6 Lalu Musa memerintahkan supaya diuar-uarkan di perkhemahan bahawa: “Jangan lagi ada lelaki atau perempuan yang membuat sesuatu untuk dijadikan persembahan khusus bagi tempat suci.” Maka umat itu dicegah daripada membawa persembahan lagi,
7 kerana bahan yang diperlukan mereka untuk melakukan segala pekerjaan itu sudah cukup, bahkan berlebihan.
8 Lalu semua tukang dalam kalangan pelaksana pekerjaan Khemah Suci itu membuat sepuluh helai tabir dewangga daripada linen halus yang dipintal serta daripada kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala, dilengkapi dengan sulaman arca kerubin hasil kerja pereka bentuk yang mahir.
9 Setiap helai tabir itu sepanjang dua puluh lapan hasta dan selebar empat hasta, kesemuanya sama ukurannya.
10 Lima helai tabir itu dicantumkan antara satu sama lain, dan demikian jugalah lima helai lagi tabir itu.
11 Mereka membuat gegelung pengancing daripada kain biru di tepi tabir terhujung cantuman yang pertama, demikian pula di tepi tabir terhujung cantuman kedua,
12 lima puluh gegelung pengancing pada tabir yang pertama dan lima puluh gegelung pengancing di tepi tabir kedua. Gegelung-gegelung pengancing itu saling berhadapan.
13 Setelah itu, mereka membuat lima puluh cangkuk pengancing emas dan menyambungkan tabir-tabir Khemah Suci itu antara satu sama lain dengan cangkuk-cangkuk pengancing tersebut sehingga terbentuklah satu Khemah Suci.
14 Selanjutnya mereka juga membuat sebelas helai tabir daripada bulu kambing untuk dijadikan atap khemah yang menutupi Khemah Suci.
15 Kesebelas-sebelas tabir itu sama ukurannya iaitu sepanjang tiga puluh hasta dan selebar empat hasta.
16 Lalu mereka jahit untuk mencantumkannya lima tabir menjadi satu tabir cantuman tersendiri dan enam helai tabir lagi dijahit dan dicantumkan juga menjadi tabir cantuman tersendiri.
17 Mereka membuat lima puluh gegelung pengancing di birai tabir terhujung bagi tabir cantuman pertama, dan lima puluh gegelung pengancing di birai tabir terhujung bagi tabir cantuman yang kedua.
18 Lalu mereka membuat pula lima puluh cangkuk pengancing gangsa untuk mengancing tabir-tabir itu agar menjadi satu kesatuan berupa sebuah khemah.
19 Selain itu, mereka juga membuat penudung daripada kulit domba jantan yang dicelup merah, dan daripada kulit anjing laut, untuk melapisi bahagian atas khemah itu.
20 Kemudian mereka membuat rangka papan-papan tegak daripada kayu akasia untuk Khemah Suci.
21 Panjang setiap keping papan sepuluh hasta dan satu setengah hasta lebarnya.
22 Pada setiap papan ada dua pasak yang membolehkan papan-papan itu saling dihubungkan antara satu sama lain. Mereka melakukan itu terhadap semua papan Khemah Suci.
23 Mereka membuat dua puluh papan bagi sisi sebelah selatan Khemah Suci,
24 dan mereka juga membuat empat puluh lesung pasak daripada perak untuk dipasangkan di bawah kesemua dua puluh papan itu, dua lesung pasak di bawah setiap papan, masing-masing untuk dipasangkan dengan kedua-dua pasak setiap papan itu.
25 Bagi sisi kedua Khemah Suci, iaitu di sebelah utara, mereka membuat dua puluh rangka papan
26 lengkap dengan kesemua empat puluh rongga peraknya, dua lesung pasak di bawah setiap papan.
27 Untuk bahagian belakang Khemah Suci, iaitu di sebelah barat, mereka membuat enam rangka papan.
28 Selain itu, mereka juga membuat dua rangka papan bagi bahagian sudut belakang Khemah Suci itu.
29 Kedua-dua rangka papan bahagian sudut itu dua kali ganda tebalnya dari situ sampai bawah dan muat betul-betul ke dalam gegelang pertama. Demikianlah yang dilakukan mereka bagi kedua-dua papan di kedua-dua sudut itu.
30 Jadi, ada lapan rangka papan lengkap dengan enam belas lesung pasaknya daripada perak, iaitu dua lesung pasak di bawah setiap papan.
31 Mereka juga membuat palang-palang daripada kayu akasia: lima batang untuk rangka papan pada satu sisi Khemah Suci,
32 dan lima batang untuk rangka papan pada sisi kedua, dan lima batang lagi untuk rangka papan pada bahagian belakang Khemah Suci, iaitu di sebelah barat.
33 Mereka membuat kayu palang di bahagian tengah melintang dari hujung ke hujung, setinggi setengah rangka papan itu.
34 Lalu mereka menyalut papan-papan itu dengan emas dan membuat gegelang-gegelang daripada emas sebagai tempat memasukkan kayu palang itu. Kayu-kayu palang itu mereka saluti juga dengan emas.
35 Setelah itu, mereka membuat tabir daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus yang dipintal, lengkap dengan sulaman arca kerubin hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir.
36 Untuk tabir itu mereka membuat empat batang tiang daripada kayu akasia dan menyalutnya dengan emas. Mereka juga membuat cangkuk-cangkuk daripada emas untuk tiang itu, serta membuat lesung pasak leburan daripada perak.
37 Kemudian mereka membuat tirai untuk pintu khemah itu daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus yang dipintal, siap dengan sulamannya.
38 Untuk tirai itu dibuat lima batang tiang lengkap dengan cangkuk-cangkuknya. Mereka menyalut kepalanya dan pengancingnya dengan emas, manakala kelima-lima lesung pasaknya dibuat daripada gangsa.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Keluaran 36
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Keluaran 36

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV