1 Hendaklah kamu lakukan ini untuk mentahbiskan Harun dan anak-anaknya agar mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam bagi-Ku. Ambillah seekor lembu jantan muda dan dua ekor domba jantan yang langsung tidak bercacat cela.
2 Sediakanlah roti yang tidak beragi, kuih tidak beragi yang dicampurkan dengan minyak, dan roti nipis tidak beragi yang dilepa minyak. Hendaklah kamu buat kesemuanya daripada tepung gandum halus.
3 Hendaklah kamu letakkan semuanya di dalam sebuah bakul lalu persembahkanlah bersama dengan lembu jantan dan kedua-dua ekor domba jantan itu.
4 Hendaklah kamu bawa Harun dan anak-anaknya dekat dengan Khemah Pertemuan, lalu sucikanlah mereka dengan air.
5 Kemudian ambillah pakaian keimaman dan pakaikanlah Harun tunik, jubah baju efod, baju efod, dan penutup dada. Ikatlah pinggangnya dengan ikat pinggang efod yang tertenun dengan kepakaran.
6 Kenakanlah serban di kepalanya dan sematkanlah mahkota suci pada serban itu.
7 Seterusnya hendaklah kamu ambil minyak tahbis, curahkanlah ke atas kepalanya, dan urapilah dia.
8 Dan hendaklah kamu bawa anak-anaknya lalu pakaikanlah tunik pada mereka.
9 Ikatkanlah ikat pinggang pada mereka, iaitu pada Harun dan anak-anaknya, dan lilitkanlah ikat kepala di kepala mereka. Maka jawatan imam itu akan menjadi milik mereka melalui ketetapan yang berkekalan untuk selama-lamanya. Dengan cara demikianlah kamu hendaklah melantik Harun dan anak-anaknya.
10 Hendaklah dibawa lembu jantan tadi ke hadapan Khemah Pertemuan, lalu Harun dan anak-anaknya harus meletakkan tangan di atas kepala lembu jantan itu.
11 Sembelihlah lembu jantan itu di hadapan TUHAN, di depan pintu Khemah Pertemuan.
12 Kemudian hendaklah diambil sebahagian daripada darah lembu jantan itu dan dengan jarimu, sapukan darah itu pada tanduk-tanduk mazbah, dan hendaklah semua baki darah itu dituangkan ke kekaki mazbah.
13 Hendaklah kamu juga ambil kesemua lemak yang menutupi isi perut, umbai hati, dan kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya, lalu bakarlah kesemuanya di atas mazbah.
14 Tetapi daging lembu jantan itu, kulit, dan najisnya hendaklah kamu bakar sampai habis di luar perkhemahan. Itulah korban penghapus dosa.
15 Hendaklah kamu ambil pula seekor domba jantan lalu Harun dan anak-anaknya hendaklah meletakkan tangan di atas kepala domba jantan itu.
16 Hendaklah kamu sembelih domba jantan itu, ambil dan percikkan darahnya ke sekeliling mazbah.
17 Hendaklah kamu potong domba jantan itu menjadi beberapa potongan lalu basuhlah isi perutnya dan kakinya, dan letakkan bersama dengan kepala dan potongan-potongan lainnya.
18 Hendaklah kamu bakar seluruh domba jantan itu di atas mazbah. Itulah korban bakaran yang dipersembahkan kepada TUHAN yakni korban yang dibakar, yang harum di hadapan TUHAN.
19 Hendaklah diambil domba jantan yang seekor lagi dan hendaklah Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu.
20 Sembelihlah domba jantan itu, ambillah sedikit darahnya lalu sapukanlah pada cuping telinga kanan Harun serta anak-anaknya, juga pada ibu jari tangan kanan dan ibu jari kaki kanan mereka. Percikkanlah darah yang selebihnya ke sekeliling mazbah.
21 Hendaklah diambil sedikit darah yang ada di atas mazbah dan sedikit daripada minyak tahbis tadi, lalu percikkanlah pada Harun dan pakaiannya, juga pada anak-anaknya dan pakaian anak-anaknya. Maka disucikanlah pakaian Harun dan begitu juga pakaian anak-anaknya.
22 Hendaklah diambil daripada domba jantan itu lemaknya, ekornya yang gemuk, lemak yang menutupi isi perutnya, umbai hatinya, kedua-dua buah pinggangnya dengan lemak yang melekat padanya, dan paha kanannya, kerana domba itu ialah domba jantan korban pentakdisan.
23 Hendaklah diambil daripada bakul berisi roti tidak beragi di hadapan TUHAN itu, sepotong roti, sepotong kuih daripada roti yang dicampurkan minyak, dan sepotong roti nipis.
24 Letakkanlah semua itu di atas telapak tangan Harun dan telapak tangan anak-anaknya, lalu unjukkanlah sebagai persembahan unjukan di hadapan TUHAN.
25 Kemudian ambillah kesemuanya daripada tangan mereka dan bakarlah di atas mazbah, betul-betul di atas korban bakaran, sebagai korban yang dibakar, yang harum di hadapan TUHAN.
26 Hendaklah pula diambil daging dada daripada domba jantan korban pentahbisan Harun dan unjukkanlah di hadapan TUHAN sebagai persembahan unjukan. Itulah bahagian untukmu.
27 Hendaklah engkau menyucikan dada persembahan unjukan dan paha persembahan khusus yang dipersembahkan daripada domba jantan yang diperuntukkan bagi pentahbisan Harun dan anak-anaknya.
28 Semua itu menjadi peruntukan tetap untuk seterusnya bagi Harun dan anak-anaknya daripada orang Israel, kerana itu ialah persembahan khusus dan hendaklah menjadi persembahan khusus daripada orang Israel yang diambil daripada korban kedamaian mereka. Itulah persembahan unjukan bagi TUHAN.
29 Pakaian keimaman kudus Harun itu hendaklah diturunkan kepada anak-anaknya kelak. Mereka harus memakainya ketika mereka diurapi dan ditahbiskan.
30 Anaknya yang menggantikannya sebagai imam hendaklah memakainya selama tujuh hari ketika dia masuk ke dalam Khemah Pertemuan untuk menyelenggarakan peribadatan di Tempat Suci.
31 Hendaklah diambillah domba jantan korban pentakdisan itu lalu rebuslah dagingnya di sebuah tempat yang suci.
32 Hendaklah Harun dan anak-anaknya memakan daging domba jantan itu serta roti yang ada di dalam bakul itu di depan pintu Khemah Pertemuan.
33 Hendaklah mereka makan apa yang telah digunakan dalam upacara pendamaian bagi pentahbisan dan penyucian mereka. Orang awam tidak boleh memakannya, kerana kesemuanya itu suci.
34 Jika pada pagi hari ada lagi sisa daripada daging korban pentakdisan atau daripada roti itu, bakarlah habis sisa itu dan jangan memakannya, kerana kesemuanya itu suci.
35 Maka hendaklah dilakukan demikian itu terhadap Harun dan anak-anaknya, iaitu menurut segala yang Kuperintahkan kepadamu. Hendaklah selama tujuh hari kamu mentahbiskan mereka.
36 Hendaklah setiap hari disediakan seekor lembu jantan sebagai korban penghapus dosa di samping pelbagai persembahan pendamaian lainnya. Hendaklah disucikan mazbah apabila pendamaian dilakukan. Urapilah juga mazbah itu dengan minyak demi menyucikannya.
37 Hendaklah diadakan pendamaian serta penyucian untuk mazbah itu selama tujuh hari dan mazbah itu akan menjadi teramat suci. Apa-apa pun yang menyentuh mazbah itu akan menjadi suci pula.
38 Maka hendaklah kamu persembahkan ini di atas mazbah itu: dua ekor anak domba berumur setahun.
39 Sediakanlah seekor anak domba pada pagi hari dan seekor lagi anak domba pada petang harinya.
40 Bersama-sama seekor anak domba itu hendaklah disediakan sepersepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan seperempat hin minyak tumbuk dan seperempat hin air anggur sebagai persembahan minuman.
41 Bersama dengan seekor lagi anak domba yang disediakan pada waktu senja, hendaklah disediakan persembahan bahan makanan dan persembahan minuman seperti pada pagi hari sebagai korban bakaran, yang harum di hadapan TUHAN.
42 Hendaklah persembahan sedemikian menjadi korban bakaran yang tetap dipersembahkan secara turun-temurun di depan pintu Khemah Pertemuan, di hadapan TUHAN. Di situlah Aku akan bertemu dengan kamu lalu berfirman kepadamu.
43 Di sana jugalah Aku akan menemui orang Israel, dan khemah itu akan disucikan oleh kemuliaan-Ku.
44 Aku akan menyucikan Khemah Pertemuan dan mazbah itu. Harun dan anak-anaknya pun akan Kusucikan supaya mereka dapat menunaikan tugas keimaman untuk-Ku.
45 Aku akan bersemayam di tengah-tengah orang Israel, dan Aku akan menjadi Allah mereka.
46 Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka, yang telah membawa mereka keluar dari Tanah Mesir, supaya Aku bersemayam di tengah-tengah mereka. Akulah TUHAN, Allah mereka.