1 Hendaklah kamu suruh abangmu Harun dan anak-anaknya, iaitu Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar, tampil daripada kalangan orang Israel untuk menunaikan tugas sebagai para imam bagi-Ku.
2 Hendaklah kamu buat pakaian peribadatan yang suci untuk Harun, abangmu, sebagai lambang kemuliaan dan kehormatan.
3 Hendaklah kamu berbicara kepada semua warga bijaksana yang telah Kukurniai kemahiran dan suruhlah mereka membuat pakaian Harun agar dia ditahbiskan untuk menunaikan tugas sebagai imam.
4 Inilah pakaian yang harus dibuat mereka: penutup dada, baju efod, jubah, jubah bersulam, serban, dan ikat pinggang. Hendaklah dibuat mereka pakaian suci itu untuk abangmu Harun dan anak-anaknya, supaya mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam.
5 Hendaklah digunakan mereka kain berwarna biru, ungu, merah menyala, kain benang emas dan kain linen halus.
6 Hendaklah dibuat mereka baju efod daripada emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, buatan seorang pereka bentuk yang mahir.
7 Hendaklah pada baju efod itu dijahit dua tali penutup bahu yang bersambung di kedua-dua hujungnya sehingga baju efod itu tersambung.
8 Hendaklah disulam juga ikat pinggang daripada kain benang emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal yang bersepadu dan sedondon dengan baju efod itu.
9 Hendaklah kamu ambil dua biji batu permata oniks dan ukirkanlah nama anak-anak Israel,
10 enam nama di atas batu permata yang satu dan enam lagi nama selebihnya pada batu permata yang kedua, menurut urutan kelahiran mereka.
11 Ukirkanlah nama anak-anak Israel di atas kedua-dua batu permata itu sebagaimana tukang permata mengukir materai, lalu lilitlah batu permata itu dengan ikatan emas.
12 Letakkanlah kedua-dua batu permata itu pada kedua-dua tali penutup bahu baju efod sebagai permata peringatan bagi anak-anak Israel, dan Harun hendaklah membawa nama mereka ke hadirat TUHAN di atas kedua-dua tali penutup bahunya sebagai tanda peringatan.
13 Ikatannya hendaklah dibuat daripada emas
14 dan dua untai rantai daripada emas tulen, terjalin seperti tali. Setelah itu, pasangkan jalinan rantai itu pada ikatan batu permata tadi.
15 Hendaklah kamu secara mahir membuat penutup dada yang digunakan untuk mengemukakan keputusan hukum. Sama dengan baju efod, penutup dada itu hendaklah dibuat daripada kain benang emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal.
16 Hendaklah bentuknya empat persegi, berlapis dua, sepanjang sejengkal, dan selebar sejengkal.
17 Di penutup dada itu hendaklah dipasangkan empat baris batu permata tatahan: pertama sebaris batu permata berupa akik merah, manikam kuning, dan zamrud;
18 di baris kedua batu permata firus, nilam, dan intan;
19 dan di baris ketiga pula zirkon yakut, akik putih, dan kecubung.
20 Manakala di baris keempat ialah topaz, oniks, dan yaspis. Kesemuanya hendaklah diikatkan bertatah emas.
21 Hendaklah batu permata itu sejumlah dua belas biji, sejajar dengan nama-nama anak Israel. Hendaklah masing-masing diukir seperti materai dengan nama setiap satu daripada dua belas suku itu.
22 Untuk penutup dada itu hendaklah dibuat beberapa urat rantai berjalin kemili daripada emas tulen.
23 Buatlah juga dua urat gelang emas dan pasanglah kedua-dua urat gelang itu pada kedua-dua hujung penutup dada.
24 Kemudian pasanglah kedua-dua jalinan rantai emas itu di kedua-dua urat gelang di hujung penutup dada itu.
25 Pasanglah hujung-hujung lain daripada kedua-dua jalinan itu pada dua ikatan batu permata yang terpasang di tali-tali penutup bahu baju efod di bahagian depannya.
26 Hendaklah dibuat dua urat gegelang emas dan pasanglah pada kedua-dua hujung penutup dada itu di lapisan sebelah dalam, yang berhadapan langsung dengan baju efod.
27 Buatlah juga dua gegelang emas lagi dan pasanglah pada kedua-dua tali penutup bahu baju efod di bahagian bawah sebelah depan, dekat sambungannya, di atas ikat pinggang baju efod yang tertenun dengan kepakaran.
28 Maka gegelang penutup dada hendaklah diikatkan pada gegelang baju efod dengan benang biru agar penutup dada itu tetap berada di atas ikat pinggang baju efod yang tertenun dengan kepakaran itu agar ia tidak terungkai daripada baju efod itu.
29 Maka Harun yang masuk ke dalam Tempat Suci itu akan membawa nama anak-anak Israel tepat di depan jantungnya, iaitu pada penutup dada yang digunakan untuk mengemukakan keputusan hukum, hingga menjadi peringatan yang tetap di hadapan TUHAN.
30 Hendaklah kamu letakkan Urim dan Tumim di dalam penutup dada yang digunakan untuk mengemukakan keputusan hukum. Kedua-duanya hendaklah berada tepat di depan jantung Harun ketika dia masuk menghadap TUHAN. Dengan demikian, di hadapan TUHAN Harun akan sentiasa membawa keputusan-keputusan hukum bagi bani Israel.
31 Hendaklah dibuat keseluruhan jubah baju efod daripada kain biru,
32 dengan lubang untuk kepala betul-betul di tengah-tengahnya. Di sekeliling tepi lubang itu hendaklah diikat dengan sulaman sebagaimana dengan lubang pada baju zirah, supaya tidak koyak.
33 Di birai kaki jubah itu hendaklah dibuat hiasan seperti buah delima daripada kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala, dengan kerincing emas yang berselang-seli di antaranya,
34 iaitu satu kerincing emas lalu sebiji buah delima, kemudian satu kerincing emas lagi diikuti sebiji buah delima, demikianlah seterusnya di sekeliling birai kaki jubah itu.
35 Jubah itu hendaklah dipakai oleh Harun ketika dia menyelenggarakan peribadatan, maka bunyinya hendaklah terdengar ketika dia masuk ke dalam Tempat Suci di hadapan TUHAN dan ketika dia keluar, supaya terbukti yang dia tidak mati.
36 Hendaklah dibuat perhiasan kepala daripada emas tulen dan ukirkanlah tulisan ‘Dikuduskan bagi TUHAN padanya, seperti ukiran materai.
37 Pasanglah perhiasan itu di sebelah depan serban dengan benang biru.
38 Perhiasan itu hendaklah ada pada dahi Harun, dan Harun hendaklah menanggung akibat kesalahan terhadap barang-barang kudus yang disucikan oleh orang Israel sebagai persembahan suci mereka. Perhiasan itu hendaklah sentiasa ada pada dahinya, supaya mereka diterima di hadapan TUHAN.
39 Hendaklah ditenun tunik daripada kain linen halus lalu buatlah serban daripada kain linen halus juga berserta ikat pinggang berhiaskan sulaman.
40 Hendaklah dibuatkan juga beberapa tunik serta ikat pinggang untuk anak-anak Harun. Selain itu, buatlah ikat kepala untuk mereka sebagai tanda kemuliaan dan kehormatan.
41 Semua itu hendaklah kamu pakaikan pada abangmu Harun dan anak-anaknya. Kemudian kamu hendaklah mengurapi mereka, melantik serta mentahbiskan mereka, supaya mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam untuk-Ku.
42 Hendaklah dibuatkan untuk mereka seluar daripada kain linen untuk menutupi aurat mereka. Seluar itu hendaklah dari pinggang sampai ke paha.
43 Pada waktu Harun dan anak-anaknya masuk ke dalam Khemah Pertemuan, atau pada waktu mereka menghampiri mazbah untuk menyelenggarakan peribadatan di Tempat Suci, mereka hendaklah memakainya supaya jangan mereka mendatangkan kesalahan atas diri mereka sendiri lalu mati. Itulah ketetapan yang berkekalan baginya dan keturunannya untuk selama-lamanya.