1 Lantaran kehadiran orang Israel itu, Yerikho tertutup ketat-ketat dan tiada seorang pun yang keluar ataupun masuk.
2 Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Yosua, “Ketahuilah, Aku telah menyerahkan Yerikho berserta rajanya dan para kesaterianya yang gagah perkasa ke dalam tanganmu.
3 Hendaklah kamu serta semua pejuang mengelilingi kota itu satu kali dan hendaklah hal itu dilakukan selama enam hari.
4 Hendaklah tujuh orang imam membawa tujuh sangkakala tanduk domba jantan di depan tabut itu. Pada hari ketujuh hendaklah kamu mengelilingi kota itu tujuh kali dan hendaklah para imam meniup sangkakala itu.
5 Apabila kamu mendengar sangkakala tanduk domba jantan itu dibunyikan panjang, maka hendaklah seluruh umat bersorak dengan sorakan yang nyaring. Tembok kota itu akan roboh di tempatnya dan hendaklah seluruh umat itu memanjat tempat yang ada di hadapan masing-masing.”
6 Kemudian Yosua anak Nun memanggil para imam dan berkata kepada mereka, “Angkatlah tabut perjanjian itu. Tujuh orang imam harus membawa tujuh sangkakala tanduk domba di depan tabut TUHAN.”
7 Lalu katanya kepada bangsa itu, “Majulah, kelilingilah kota itu. Hendaklah kumpulan orang bersenjata berjalan di hadapan tabut TUHAN.”
8 Sebagaimana yang diperintahkan Yosua kepada umat itu, berjalanlah ketujuh-tujuh orang imam yang membawa tujuh sangkakala tanduk domba itu di hadapan TUHAN lalu mereka meniup sangkakala itu, dengan tabut perjanjian TUHAN mengikuti mereka.
9 Orang yang bersenjata berjalan di hadapan para imam yang meniup sangkakala, dan pasukan barisan belakang mengikuti tabut. Sementara itu sangkakala ditiup terus-menerus.
10 Yosua memerintahkan orang Israel demikian: “Jangan bersorak, jangan perdengarkan suaramu, dan jangan keluar sepatah kata pun daripada mulutmu sampai saat aku menyuruh kamu bersorak. Pada waktu itu barulah kamu bersorak.”
11 Demikianlah tabut TUHAN dibawa mengelilingi kota itu sekali sahaja. Setelah itu, mereka kembali ke perkhemahan dan bermalam di situ.
12 Keesokan harinya Yosua bangun pagi-pagi, lalu para imam mengangkat tabut TUHAN.
13 Tujuh orang imam yang membawa tujuh buah sangkakala tanduk domba jantan berjalan di hadapan tabut TUHAN itu. Sambil berjalan mereka meniup sangkakala. Orang bersenjata berjalan di depan mereka dan pasukan barisan belakang mengikuti tabut TUHAN. Sementara itu sangkakala terus-menerus ditiup.
14 Pada hari kedua mereka mengelilingi kota itu sekali lalu kembali ke perkhemahan. Hal yang demikian itu dilakukan mereka selama enam hari.
15 Pada hari ketujuh mereka bangun pagi-pagi pada waktu fajar menyingsing, lalu mengelilingi kota itu tujuh kali dengan cara yang sama. Hanya pada hari itu sahaja mereka mengelilingi kota itu tujuh kali.
16 Pada kali ketujuh, ketika para imam meniup sangkakala, berkatalah Yosua kepada orang Israel, “Bersoraklah kerana TUHAN telah menyerahkan kota itu kepadamu!
17 Hendaklah kota itu dan segala isinya dikhususkan bagi TUHAN untuk ditumpaskan. Hanya Rahab, pelacur itu, yang boleh tetap hidup berserta semua orang yang ada bersama-samanya dalam rumah itu, kerana dia telah menyembunyikan para utusan yang kita utus.
18 Tetapi kamu, jagalah dirimu daripada barang-barang yang telah dikhususkan untuk dimusnahkan. Setelah kamu mengkhususkannya, jangan sampai kamu mengambil sesuatu pun daripada barang-barang itu sehingga kamu mendatangkan kebinasaan ke atas perkhemahan Israel serta menimbulkan kemalangan.
19 Semua perak dan emas serta segala wadah daripada gangsa dan besi adalah suci bagi TUHAN. Hendaklah semua itu dimasukkan ke dalam perbendaharaan TUHAN.”
20 Maka bersoraklah umat itu manakala para imam meniup sangkakala. Sebaik sahaja mendengar bunyi sangkakala itu orang Israel pun bersorak dengan sorak yang nyaring, lantas runtuhlah tembok itu di tempatnya. Lalu umat itu memanjat masuk ke dalam kota dengan setiap orang menuju ke tempat di depan masing-masing. Mereka pun menawan kota itu.
21 Semua yang ada di dalam kota itu, baik lelaki mahupun perempuan, baik tua mahupun muda, termasuklah lembu, domba, dan keldai, ditumpaskan mereka dengan mata pedang.
22 Kepada kedua-dua orang yang telah mengintip keadaan negeri itu Yosua berkata, “Pergilah ke rumah pelacur itu dan dari sana bawalah perempuan itu keluar berserta semua orang yang ada bersama-samanya, seperti yang telah kamu janjikan dengan bersumpah kepadanya.”
23 Maka masuklah dua orang pengintip muda itu lalu membawa keluar Rahab, ayahnya, ibunya, saudara-saudara lelakinya, dan semua orang yang ada bersama-samanya. Mereka membawa keluar seluruh kaumnya dan menempatkan mereka di luar perkhemahan Israel.
24 Mereka membakar habis kota itu dan segala isinya. Hanya, perak dan emas serta perkakas-perkakas daripada tembaga dan besi mereka simpan di dalam perbendaharaan Bait TUHAN.
25 Rahab, pelacur itu, dengan kaum keluarganya dan semua orang yang ada bersama-samanya dibiarkan hidup oleh Yosua. Dia tinggal dalam kalangan orang Israel sampai hari ini, kerana dia telah menyembunyikan para utusan yang diutus Yosua untuk mengintip Yerikho.
26 Pada waktu itu Yosua mengisytiharkan sumpahannya, katanya, “Terkutuklah di hadapan TUHAN orang yang bangun untuk membina semula Kota Yerikho ini. Dengan nyawa anaknya yang sulung dia akan meletakkan asasnya, dan dengan nyawa anaknya yang bongsu dia akan mendirikan pintu gerbangnya.”
27 Demikianlah TUHAN menyertai Yosua, dan kemasyhurannya tersiar di seluruh negeri itu.