1 “Kerana hal itu juga hatiku gentar dan melompat dari tempatnya.
2 Dengarlah baik-baik gegak gempita suara-Nya, gemuruh yang keluar daripada mulut-Nya;
3 Dia melepaskannya ke seluruh kolong langit, juga kilat-Nya ke hujung-hujung bumi.
4 Kemudian ada suara menderu, Dia bergemuruh dengan suara-Nya yang agung. Kilat tidak ditahan-Nya ketika suara-Nya terdengar.
5 Allah bergemuruh secara ajaib dengan suara-Nya, dilakukan-Nya hal-hal besar yang tidak tercapai oleh pengetahuan kita.
6 Kepada salji Dia berfirman, ‘Jatuhlah ke bumi,’ begitu pula kepada hujan rintik-rintik dan hujan lebat, ‘Jadilah hujan deras.’
7 Dia menahan tangan setiap manusia, supaya semua orang mengetahui perbuatan-Nya.
8 Lalu binatang masuk ke tempat persembunyiannya dan tinggal di dalam sarangnya.
9 Angin puyuh keluar dari biliknya, dan hawa dingin dari angin yang memecah.
10 Nafas Allah menjadikan ais, dan perairan yang luas membeku.
11 Dia pun menepukan awan dengan air, dan awan memencarkan kilat-Nya.
12 Awan itu beredar ke sana ke mari dengan tuntunan-Nya untuk melakukan apa-apa pun yang diperintahkan-Nya di muka bumi.
13 Dia mendatangkannya sama ada sebagai tongkat ajaran, sebagai berkat bagi bumi-Nya, ataupun sebagai wujud kasih abadi.
14 Dengarlah hal ini, wahai Ayub. Diamlah dan perhatikanlah keajaiban-keajaiban Allah.
15 Tahukah engkau bagaimana Allah menetapkan semuanya dan menyinarkan kilat dari awan-Nya?
16 Tahukah engkau tentang melayangnya awan, tentang segala keajaiban daripada Dia yang sempurna pengetahuan-Nya?
17 wahai engkau, yang pakaiannya menjadi panas ketika Dia meneduhkan bumi dengan angin selatan,
18 dapatkah engkau menyertai Dia membentangkan langit, yang kuat seperti cermin tuangan?
19 Beritahu kami apa yang harus kami katakan kepada-Nya. Kami tidak dapat menyusun perkataan kerana kegelapan.
20 Haruskah diberitahu kepada-Nya bahawa aku hendak berbicara? Adakah orang berkata bahawa dia ingin dibinasakan?
21 Sekarang orang tidak melihat cahaya yang cemerlang di langit, tetapi angin bertiup dan menjernihkannya.
22 Dari arah utara datang sinar keemasan. Allah berselubung dengan kemegahan yang menggerunkan.
23 Yang Maha Kuasa tidak dapat kita fahami. Besar kekuatan dan keadilan-Nya. Dalam perbenaran-Nya yang berlimpahan, Dia tidak pernah menindas.
24 Itulah sebabnya orang takut kepada-Nya, Dia tidak mengendahkan semua orang yang mengaku berhati bijak.”