1 “Tetapi sekarang, wahai Ayub, dengarlah kata-kataku, perhatikanlah segala yang kusampaikan.
2 Lihatlah, kini mulutku kubuka, lidah di dalam mulutku berbicara.
3 Kata-kataku menyatakan kejujuran hatiku, bibirku mengatakan dengan ikhlas apa yang diketahuinya.
4 Roh Allah telah menjadikan aku, nafas Yang Maha Kuasa menghidupkan aku.
5 Jawablah aku jika engkau sanggup! Susunlah perkataanmu di hadapanku! Pertahankanlah pendapatmu!
6 Sesungguhnya, aku ini sama seperti engkau di hadapan Allah, aku juga dibentuk daripada tanah liat.
7 Jadi, engkau tidak usah takut dan berasa gentar terhadap aku, desakanku kepadamu tidak akan memberatkan.
8 Sungguh, engkau telah berkata-kata dekat pendengaranku, dan aku sudah mendengar bunyi kata-katamu,
9 ‘Aku suci, tanpa pelanggaran. Aku bersih, tidak ada kesalahan padaku.
10 Tetapi Dia menemukan alasan untuk menentang aku, menganggapku musuh-Nya.
11 Dia memasukkan kakiku ke dalam pasungan, dan mengawasi segala jalanku.’
12 Namun demikian, kujawab engkau: dalam hal ini engkau salah. Allah itu lebih besar daripada manusia.
13 Mengapa engkau berbantah-bantah terhadap Dia kerana Dia tidak menjelaskan segala tindakan-Nya?
14 Allah berfirman dengan satu dua cara, tetapi orang tidak memperhatikannya.
15 Dalam mimpi, dalam penglihatan pada malam hari, ketika tidur yang lelap melanda manusia, atau ketika dia mengantuk di tempat tidur,
16 pada waktu itulah Dia membuka telinga manusia dan memateraikan teguran-teguran bagi mereka,
17 supaya manusia dipalingkan daripada perbuatannya dan kesombongannya dilenyapkan.
18 Dia menahan jiwa manusia daripada liang kubur, juga hidupnya, supaya jangan dilenyapkan oleh lembing.
19 Allah menegurnya dengan penderitaan di tempat tidurnya, dan dengan nyeri yang terus-menerus ada dalam tulang-tulangnya,
20 sehingga dirinya muak akan makanan, dan jiwanya menolak makanan yang sedap-sedap.
21 Dagingnya susut sehingga tidak terlihat lagi, dan tulang-tulangnya, yang dahulu tidak kelihatan, sekarang tertonjol.
22 Jiwanya mendekati liang kubur dan hidupnya mendekati para pembawa maut.
23 Jika ada seorang malaikat menyertainya, atau seorang pengantara, satu antara seribu, untuk menyatakan kepada manusia apa yang lurus,
24 maka Dia akan mengasihaninya dan berfirman, ‘Lepaskan dia, supaya dia tidak turun ke liang kubur. Aku sudah mendapat tebusan.’
25 Tubuhnya menjadi segar semula seperti tubuh kanak-kanak, dan dia akan kembali kepada masa mudanya.
26 Dia berdoa kepada Allah dan Dia berkenan kepadanya, maka dia menghadap wajah-Nya dengan sorak-sorai; Allah mengembalikannya kepada kebenarannya.
27 Lalu dia datang kepada manusia, katanya, ‘Aku telah berdosa dan membengkokkan apa yang lurus, tetapi hal itu tidak dibalas kepadaku.
28 Allah menebus jiwaku sehingga tidak masuk ke liang kubur. Hidupku akan melihat cahaya.’
29 Sesungguhnya, semua hal itu dilakukan Allah dua tiga kali terhadap manusia,
30 untuk mengembalikan nyawanya daripada liang kubur sehingga dia disinari oleh cahaya kehidupan.
31 Perhatikanlah, wahai Ayub, dengarlah aku. Berdiam dirilah, aku hendak berbicara.
32 Jika ada yang ingin kaukatakan, jawablah aku. Bicaralah, kerana aku ingin membenarkan engkau.
33 Jika tidak, dengarlah aku. Berdiam dirilah, aku akan mengajarkan hikmah kepadamu.”