1 Inilah kata-kata Yeremia anak Hilkia, salah seorang imam dari Anatot, di Tanah Benyamin.
2 Firman TUHAN datang kepadanya pada zaman Yosia anak Amon, raja Yehuda, pada tahun ketiga belas pemerintahannya,
3 kemudian turun lagi pada zaman Yoyakim anak Yosia, raja Yehuda, sampai akhir tahun kesebelas zaman pemerintahan Zedekia anak Yosia, raja Yehuda, ketika penduduk Yerusalem dibuang negeri pada bulan kelima.
4 Firman TUHAN datang kepadaku demikian,
5 “Sebelum Aku membentuk engkau dalam kandungan, Aku telah mengenal engkau, sebelum engkau keluar dari rahim, Aku telah mentahbiskan engkau. Aku telah melantik engkau sebagai nabi kepada bangsa-bangsa.”
6 Tetapi aku berkata, “Aduh, ya Tuhan ALLAH! Sesungguhnya, aku tidak tahu bertutur, kerana aku ini masih muda lagi.”
7 Firman TUHAN kepadaku, “Jangan katakan, ‘Aku ini masih muda lagi,’ kerana engkau harus pergi ke mana-mana sahaja Aku mengutusmu, dan engkau harus menyampaikan apa-apa sahaja yang Kuperintahkan kepadamu.
8 Jangan takut kepada mereka, kerana Aku menyertai engkau dan akan membebaskan engkau,” demikianlah firman TUHAN.
9 Lalu TUHAN menghulurkan tangan-Nya dan menjamah mulutku. Firman TUHAN kepadaku, “Sesungguhnya, Aku memberitahukan firman-Ku kepadamu.
10 Lihatlah, pada hari ini Aku melantik engkau untuk menerajui bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan, untuk mencabut dan meruntuhkan, untuk membinasakan dan menggulingkan, untuk membina dan menanam.”
11 Firman TUHAN datang lagi kepadaku demikian, “Apakah yang kaulihat, Yeremia?” Jawabku, “Aku melihat sebatang dahan pokok badam.”
12 Firman TUHAN kepadaku, “Baik penglihatanmu, kerana Aku mengawasi supaya Firman-Ku terlaksana.”
13 Firman TUHAN datang kepadaku untuk kali keduanya dengan demikian, “Apa yang kaulihat?” Jawabku, “Aku melihat sebuah periuk yang mendidih. Mulutnya menghadap ke arah dari sebelah utara.”
14 Firman TUHAN kepadaku, “Dari utara akan terbit malapetaka yang menimpa seluruh penduduk negeri ini.
15 Sungguh, Aku memanggil seluruh suku bangsa daripada kerajaan sebelah utara,” demikianlah firman TUHAN. “Mereka akan datang dan mendirikan takhta masing-masing di depan pintu-pintu gerbang Yerusalem, berhadapan dengan seluruh tembok di sekelilingnya dan berhadapan dengan seluruh kota Yehuda.
16 Aku akan menjatuhkan hukuman-Ku ke atas mereka selaras dengan segala kejahatan mereka yang membelakangi Aku. Mereka membakar dupa bagi tuhan-tuhan lain dan sujud menyembah buatan tangan mereka sendiri.
17 Tetapi bersiaplah engkau! Sampaikanlah segera kepada mereka semua yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan kecut hati menghadapi mereka, supaya Aku tidak membuat engkau kecut hati di hadapan mereka.
18 Sesungguhnya, pada hari ini Aku menjadikan engkau kota yang berkubu, tiang besi, dan tembok gangsa di hadapan seluruh negeri ini – di hadapan raja-raja Yehuda, para pembesarnya, para imamnya, dan rakyat negeri ini.
19 Mereka akan memerangi engkau tetapi tidak akan menewaskan engkau, kerana Aku menyertai engkau dan akan membebaskan engkau,” demikianlah firman TUHAN.