1 “Lihatlah hamba-Ku yang Kusanjung tinggi, orang pilihan-Ku yang kepadanya Aku berkenan. Aku telah menaruh Roh-Ku ke atasnya, dan dia akan membawa keadilan kepada bangsa-bangsa.
2 Dia tidak akan berteriak, menyaringkan suara, atau memperdengarkan suaranya di jalan.
3 Sehelai rumput mensiang yang terkulai tidak akan dipatahkannya, dan sumbu yang malap tidak akan dipadamkannya. Dengan setia dia akan menegakkan keadilan.
4 Dia sendiri tidak akan pudar atau patah terkulai sampai dia menegakkan keadilan di bumi. Pulau-pulau mengharapkan pengajarannya.”
5 Beginilah firman Allah, TUHAN yang menciptakan langit dan membentangkannya, yang menghamparkan bumi dengan segala yang dihasilkannya, yang memberikan nafas kepada umat manusia yang tinggal di atasnya dan roh kepada mereka yang hidup di dalamnya,
6 “Aku, TUHAN, telah memanggil engkau dalam perbenaran, Aku akan memegang tanganmu dan menjaga engkau; Aku akan menetapkan engkau menjadi perjanjian bagi umat manusia dan cahaya bagi bangsa-bangsa,
7 untuk mencelikkan mata orang buta, untuk mengeluarkan orang tahanan dari kurungan, dan orang yang duduk dalam kegelapan dari penjara.
8 Aku TUHAN, itulah nama-Ku. Aku tidak akan menyerahkan kemuliaan-Ku kepada yang lain atau kemasyhuran-Ku kepada patung ukiran.
9 Lihat, hal-hal yang sudah terjadi dahulunya dan hal-hal yang baru akan Kuberitahukan. Sebelum hal-hal itu muncul, Aku mengkhabarkannya kepadamu.”
10 Nyanyikanlah bagi TUHAN nyanyian baru, sampaikanlah puji-pujian kepada-Nya dari hujung bumi, wahai orang yang pergi ke laut dan segala isi laut, wahai pulau-pulau serta penduduknya!
11 Biarlah gurun dan kota-kotanya menyaringkan suara, begitu pula desa-desa yang dihuni orang Kedar! Biarlah penduduk Sela bersorak-sorai, biarlah mereka berteriak gembira dari puncak gunung-gunung!
12 Biarlah mereka memuliakan TUHAN dan menyatakan puji-pujian kepada-Nya di pulau.
13 TUHAN akan maju seperti seorang kesateria, dan semangat-Nya akan bergelora seperti seorang pejuang. Dia akan bertempik, ya, meneriakkan pekikan semangat peperangan, dan akan menang atas musuh-musuh-Nya.
14 “Sudah lama sekali Aku diam. Aku berdiam diri, Aku menahan diri. Tetapi sekarang, Aku mahu berteriak seperti perempuan yang hendak bersalin, Aku mahu tercungap-cungap dan termengah-mengah.
15 Aku akan menanduskan gunung-gunung dan bukit-bukit, dan membuat layu segala tumbuhannya. Sungai-sungai akan Kujadikan pulau dan kolam-kolam akan Kukeringkan.
16 Aku akan memimpin orang buta di jalan yang belum diketahui mereka. Aku akan membimbing mereka di lorong-lorong yang belum mereka ketahui. Aku akan mengubah kegelapan menjadi cahaya di hadapan mereka dan jalan yang berliku-liku menjadi lurus. Hal-hal itulah yang akan Kulakukan bagi mereka. Aku tidak akan meninggalkan mereka.”
17 Tetapi orang yang percaya kepada patung ukiran dan yang berkata kepada patung tuangan, “Kamulah tuhan kami”, akan dipukul mundur dan menjadi sangat malu.
18 Wahai orang tuli, dengarlah! Wahai orang buta, pandanglah dan lihatlah!
19 Siapakah yang buta selain hamba-Ku, dan yang tuli seperti utusan yang Kusuruh itu? Siapakah yang buta seperti orang yang hidup damai dengan Aku, yang buta seperti hamba TUHAN?
20 Engkau telah melihat banyak hal, tetapi tidak memahaminya. Telingamu terbuka, tetapi engkau tidak mendengar.
21 Demi perbenaran-Nya, TUHAN berkenan mengagungkan dan memuliakan hukum Taurat.
22 Tetapi inilah bangsa yang mengalami perampasan dan dijarah, semuanya terperangkap di lubang dan disembunyikan di penjara. Mereka menjadi rampasan tanpa ada yang melepaskan, menjadi jarahan tanpa ada yang berkata, “Kembalikanlah!”
23 Siapakah antara kamu yang mahu memasang telinga untuk hal ini, yang mahu memperhatikan dan mendengar untuk masa mendatang?
24 Siapakah yang menyerahkan Yakub untuk menjadi jarahan, dan Israel kepada para perampas? Bukankah TUHAN, yang terhadap-Nya kita telah berdosa? Mereka tidak mahu menempuh jalan-jalan-Nya dan tidak mahu mentaati perintah-Nya.
25 Oleh sebab itu Dia mencurahkan kepada mereka murka-Nya yang panas dan peperangan yang sengit. Hal itu menghanguskan mereka dari sekeliling, tetapi mereka tidak menyedarinya, membakar mereka, tetapi mereka tidak mengambil iktibar daripadanya.