1 Malangnya mereka yang membuat ketetapan-ketetapan yang jahat dan para jurutulis yang menuliskan kezaliman
2 untuk menjauhkan fakir miskin daripada mendapat keadilan serta merampas hak orang yang tertindas antara umat-Ku, supaya mereka dapat menjarah balu dan merampas harta anak yatim.
3 Apa yang akan kamu lakukan pada hari penghukuman, pada waktu kebinasaan datang dari jauh? Kepada siapa kamu hendak berlari meminta tolong, dan di mana kamu hendak meninggalkan kekayaanmu?
4 Tak ada yang dapat dilakukan selain meringkuk antara tahanan atau tewas antara orang yang terbunuh. Meskipun semua ini terjadi, belum juga murka-Nya surut, dan tangan-Nya masih tetap terhulur.
5 Malangnya Asyur, rotan amarah-Ku! Tongkat di tangannya ialah murka-Ku!
6 Aku mengutusnya kepada bangsa yang munafik. Aku memerintahkannya melawan umat yang Kumurkai, untuk melakukan penjarahan dan mengadakan perampasan, serta menginjak-injak mereka seperti lumpur di jalan.
7 Tetapi rupanya bukan demikian niatnya dan bukan demikian rancangan hatinya. Hatinya malah berniat memusnahkan dan melenyapkan banyak bangsa.
8 Dia berkata, “Bukankah kesemua panglimaku itu raja?
9 Bukankah Kalno sama seperti Karkemis? Bukankah Hamat sama seperti Arpad? Bukankah Samaria sama seperti Damsyik?
10 Sebagaimana tanganku telah menjangkau kerajaan para berhala, padahal patung-patung ukirannya melebihi patung-patung di Yerusalem dan Samaria,
11 tidakkah demikian juga akan kulakukan terhadap Yerusalem dan berhala-berhalanya, seperti yang kulakukan terhadap Samaria dan berhala-berhalanya?
12 Jadi, apabila Tuhan telah menyelesaikan segala pekerjaan-Nya di Gunung Sion dan di Yerusalem, Dia akan menghukum raja Asyur atas kesombongan hatinya dan atas sikapnya yang angkuh.”
13 Dia berkata: “Aku telah melakukannya dengan kekuatan tanganku dan dengan kebijaksanaanku, kerana aku memiliki pengertian. Aku memindahkan batas bangsa-bangsa dan menjarah perbendaharaan mereka. Dengan perkasa telah kuturunkan orang yang duduk di atas takhta.
14 Tanganku menjangkau kekayaan suku-suku bangsa seperti menjangkau sarang burung. Seperti orang meraup telur-telur yang ditinggalkan induknya, demikianlah aku meraup seluruh bumi. Tidak ada yang mengepak-ngepakkan sayap, yang membuka paruh untuk mencicit-cicit.”
15 Masakan kapak memegahkan diri terhadap orang yang mengayunkannya? Masakan gergaji membesarkan diri terhadap orang yang menggerakkannya? Seolah-olah rotan menggerakkan orang yang mengangkatnya, seolah-olah tongkat mengangkat orang, yang tentu bukan kayu!
16 Itulah sebabnya Tuhan, ALLAH alam semesta, akan menjadikan kurus orangnya yang tegap, dan di bawah kemuliaannya suatu kobaran akan dinyalakan, seperti api yang menyala-nyala.
17 Cahaya Israel akan menjadi api, Allahnya Yang Maha Suci akan menjadi nyala api. Api itu akan membakar dan melahap duri dan onaknya dalam sehari sahaja.
18 Dan Dia akan menghabiskan kelimpahan hutan Asyur dan ladangnya yang subur, jiwa ataupun jasad, sehingga ia menjadi seperti orang sakit yang terus kian lemah sampai binasa.
19 Sisa pokok hutannya akan berjumlah sedikit sahaja sehingga seorang anak pun dapat mencatatnya.
20 Pada waktu itu saki-baki umat Israel dan orang yang terselamat daripada kalangan keturunan kaum Yakub tidak akan bersandar lagi kepada dia yang mengalahkan mereka, tetapi dengan sungguh-sungguh akan bersandar kepada TUHAN Yang Maha Suci, Allah Israel.
21 Ada satu saki-baki yang akan kembali, iaitu saki-baki keturunan Yakub, kepada Allah yang perkasa.
22 Sekalipun pendudukmu, wahai Israel, sebanyak pasir di laut, hanya segelintir bakinya yang akan kembali. Kebinasaan telah ditentukan, dan daripadanya kebenaran meluap-luap.
23 Sungguh, kesudahan yang telah ditentukan akan dilaksanakan dengan muktamad oleh Tuhan, ALLAH alam semesta, di seluruh bumi.
24 Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan, ALLAH alam semesta, “Wahai umat-Ku yang tinggal di Sion, jangan takut kepada orang Asyur apabila mereka memukul kamu dengan rotan dan mengangkat tongkat mereka melawan kamu, seperti yang dilakukan orang Mesir dahulu.
25 Kerana tinggal sebentar sahaja murka-Ku akan berakhir dan amarah-Ku akan ditujukan untuk menghancurkan mereka.”
26 TUHAN alam semesta, akan mendatangkan cemeti terhadap mereka, seperti pada waktu orang Midian ditumbangkan di batuan Oreb. Tongkat-Nya akan diangkat ke atas laut seperti di Mesir dahulu.
27 Pada waktu itu, beban mereka akan disingkirkan daripada bahumu dan kuk mereka dari tengkukmu. Kuk itu akan musnah kerana kegemukanmu.
28 Asyur telah memasuki Ayat, melalui Migron. Disimpannya barang-barangnya di Mikhmas.
29 Mereka melintasi tempat penyeberangan dan berkata, “Geba ialah tempat kita bermalam.” Rama gementar, penduduk Gibea-Saul melarikan diri.
30 Memekiklah dengan nyaring, wahai puteri Galim! Perhatikanlah, wahai Laisha! Anatot yang malang!
31 Warga Madmenah melarikan diri, penduduk Gebim mencari perlindungan.
32 Hari ini juga Asyur akan berhenti di Nob. Dia akan mengacung-acungkan tinjunya kepada gunung puteri Sion, iaitu bukit Yerusalem.
33 Sesungguhnya, Tuhan, ALLAH alam semesta, akan memotong dahan-dahan pokok dengan kekuatan yang dahsyat. Yang berukuran tinggi akan ditebang dan yang menjulang akan direndahkan.
34 Dia akan menebas belukar hutan dengan kapak besi, dan Lebanon pun akan tumbang oleh Yang Maha Kuasa.