1 Pergilah Abimelekh, anak Yerubaal, ke Sikhem kepada sanak saudara ibunya dan berkata kepada mereka serta kepada seluruh kaum kerabat sebelah ibunya,
2 “Tolong katakan kepada kesemua pemimpin kota Sikhem, ‘Yang manakah lebih baik bagimu, sama ada tujuh puluh orang, iaitu semua anak Yerubaal memerintah kamu, atau seorang sahaja yang memerintah kamu? Dan ingatlah bahawa aku darah dagingmu.’ ”
3 Lalu para saudara ibunya menyampaikan segala hal itu bagi pihaknya kepada kesemua pemimpin kota Sikhem dan mereka cenderung untuk mengikuti Abimelekh, kerana kata mereka, “Memang dia saudara kita.”
4 Maka mereka memberikan kepadanya tujuh puluh keping wang perak daripada kuil Baal-Berit, lalu Abimelekh menggunakan wang itu untuk mengupah penjahat sebagai pengikutnya.
5 Pergilah dia ke rumah bapanya di Ofra, lalu membunuh kesemua saudara lelakinya iaitu anak-anak Yerubaal seramai tujuh puluh orang, di atas sebuah batu. Hanya Yotam, anak bongsu Yerubaal, yang terselamat kerana dia menyembunyikan dirinya.
6 Maka berhimpunlah seluruh warga kota Sikhem dan Bet-Milo lalu mereka menobatkan Abimelekh untuk menjadi raja di sisi pokok oak di kota kara di Sikhem.
7 Yotam yang diberitahu hal itu pergi lalu berdiri di puncak Gunung Gerizim lalu berseru dengan nyaring, “Dengarlah seruanku, wahai para pemimpin Sikhem, agar Allah juga kelak akan mendengar kamu.
8 Pada suatu masa, segala pokok pergi untuk mengurapi raja yang akan memerintah mereka. Kata mereka kepada pokok zaitun, ‘Jadilah pemerintah kami!’
9 Tetapi jawab pokok zaitun itu kepada mereka, ‘Mestikah aku henti mengeluarkan minyakku yang digunakan demi menghormati Allah dan manusia, hanya untuk berkedudukan lebih tinggi daripada segala pokok lain?’
10 Lalu berkatalah pokok-pokok itu kepada pokok ara, ‘Marilah, jadi raja pemerintah kami!’
11 Tetapi jawab pokok ara itu kepada mereka, ‘Mestikah aku meninggalkan kemanisanku dan buah-buahku yang baik, hanya untuk berkedudukan lebih tinggi daripada segala pokok lain?’
12 Lalu kata pokok-pokok itu kepada pokok anggur, ‘Marilah, jadi raja pemerintah kami!’
13 Tetapi jawab pokok anggur itu kepada mereka, ‘Mestikah aku meninggalkan air buah anggurku, yang menggirangkan hati Allah dan manusia, hanya untuk berkedudukan lebih tinggi daripada segala pokok lain?’
14 Lalu kata segala pokok itu kepada semak duri, ‘Marilah, jadi raja pemerintah kami!’
15 Jawab semak duri itu kepada pokok-pokok itu, ‘Jika benar kamu mengurapi aku demi menjadikan aku pemerintahmu, datanglah berlindung di bawah naunganku; tetapi jika tidak, semoga keluar api dari semak duri dan menghanguskan pokok-pokok araz di Lebanon.’
16 Maka sekarang, jika kamu secara tulus ikhlas menobatkan Abimelekh sebagai raja, dan jika kamu berbuat baik kepada Yerubaal serta kepada keturunannya dan jika kamu membalas jasanya dengan setimpal –
17 kerana ayahku telah menyabung nyawanya berperang membela kamu dan telah melepaskan kamu daripada cengkaman orang Midian,
18 walhal kini kamu memberontak terhadap keturunan ayahku dan membunuh anak-anaknya seramai tujuh puluh orang, di atas satu batu, malah Abimelekh, anak kepada hamba perempuannya kamu nobatkan sebagai raja pemerintah seluruh warga kota Sikhem, kerana dia saudaramu –
19 jadi jika pada hari ini kamu setia dan tulus ikhlas kepada Yerubaal dan keturunannya, maka silakanlah kamu bersukacita atas ternobatnya Abimelekh dan silakanlah dia juga bersukacita atas kamu.
20 Tetapi jika tidak demikian, semoga keluarlah api daripada Abimelekh untuk menghanguskan kesemua warga kota Sikhem dan juga Bet-Milo, dan semoga api keluar daripada warga kota Sikhem dan juga dari Bet-Milo untuk menghanguskan Abimelekh.”
21 Maka larilah Yotam yang takut akan Abimelekh, saudaranya itu, melepaskan dirinya ke Beer di mana dia tinggal.
22 Setelah Abimelekh memerintah orang Israel selama tiga tahun,
23 Allah menimbulkan semangat jahat yang mengadudombakan Abimelekh dengan warga kota Sikhem lalu khianatlah warga kota Sikhem terhadap Abimelekh,
24 supaya keganasannya terhadap tujuh puluh orang anak Yerubaal terbalas dan hutang darah mereka terbeban atas Abimelekh, saudara mereka yang membunuh mereka dan juga atas warga kota Sikhem yang membantu dia untuk membunuh saudara-saudaranya itu.
25 Lalu warga kota Sikhem menempatkan orang untuk menyerang hendap Abimelekh di puncak gunung dan mereka merompak setiap orang yang melalui mereka di jalan itu. Hal itu dikhabarkan kepada Abimelekh.
26 Sementara itu, Gaal anak Ebed serta saudara-saudaranya berpindah ke kota Sikhem lalu para warga kota Sikhem meletakkan kepercayaan mereka kepadanya.
27 Pergilah mereka ke ladang lalu dikumpulkan hasil kebun anggur yang diirik dan seterusnya diadakan pesta. Mereka memasuki rumah tuhan mereka dan makan minum sambil mengutuk Abimelekh.
28 Berkatalah Gaal anak Ebed, “Abimelekh itu siapa dan kita orang Sikhem siapa, untuk kita menjadi hambanya? Bukankah dia anak Yerubaal dan bukankah Zebul pegawainya? Merekalah hamba bani Hamor, iaitu ayah Sikhem, maka mengapakah kita yang menjadi hambanya?
29 Kalaulah warga kota ini di bawah kuasaku, tentu aku dapat menyingkirkan Abimelekh.” Lalu berkatalah dia kepada Abimelekh, “Perkuatkanlah tenteramu dan marilah keluar!”
30 Maka naik beranglah Zebul, penguasa kota itu apabila mendengar kata-kata Gaal anak Ebed itu.
31 Zebul menghantar utusan kepada Abimelekh di Aruma dengan pesanan, “Gaal anak Ebed dan saudara-saudaranya kini berada di Sikhem dan ketahuilah bahawa mereka menghasut warga kota itu untuk menentang engkau.
32 Jadi bersegeralah dan berangkatlah engkau dengan semua orang bersama-sama engkau pada waktu malam, dan tunggulah di padang untuk bertindak.
33 Esok pagi, sebaik sahaja terbit matahari, hendaklah engkau menyerbu kota itu. Jika Gaal dan orangnya keluar melawan engkau, tentanglah mereka dengan sedaya upaya kamu.”
34 Maka pada waktu malam, berangkatlah Abimelekh bersama-sama kesemua orangnya, lalu mereka dalam empat pasukan itu menunggu untuk melawan bani Sikhem.
35 Gaal anak Ebed pergi ke luar dan berdiri di depan pintu gerbang kota itu. Pada ketika itu juga, Abimelekh dan pasukannya kebetulan keluar dari tempat serangan hendap mereka itu.
36 Apabila Gaal ternampak semua orang itu, berkatalah dia kepada Zebul, “Lihat, ramai orang turun dari puncak gunung itu.” Tetapi Zebul menjawabnya, “Itu cuma bayang-bayang gunung tetapi engkau sangka itu manusia.”
37 Sekali lagi Gaal berkata, “Lihat, ramai orang turun dari bahagian tertinggi gunung itu dan ada satu kelompok lagi yang datang dari jalan pokok oak peramal di sana.”
38 Jawab Zebul kepadanya, “Di manakah mulutmu yang bercakap besar, ‘Abimelekh itu siapa maka kita harus menjadi hambanya?’ Bukankah itu orang yang kamu hina? Nah, sekarang keluarlah untuk memerangi mereka.”
39 Maka Gaal yang diperhatikan oleh warga kota Sikhem mara untuk melawan Abimelekh.
40 Tetapi Abimelekh mengejarnya lalu Gaal melarikan diri dan ramai orangnya tewas serta cedera di depan pintu gerbang.
41 Maka Abimelekh kekal di Aruma manakala Zebul mengusir Gaal dan saudara-maranya lalu mereka itu tidak dapat tinggal di Sikhem.
42 Keesokan harinya warga kota itu pergi ke ladang dan berita itu dikhabarkan kepada Abimelekh.
43 Abimelekh membawa orangnya yang dibahagikan kepada tiga pasukan untuk menyerang hendap warga kota itu. Maka sebaik sahaja dilihatnya pasukan itu keluar dari dalam kota, dia pun menyerang mereka.
44 Sementara Abimelekh dan pasukan yang bersama-samanya menyerbu lalu menduduki pintu gerbang kota, dua lagi pasukannya itu menyerang serta menewaskan semua orang yang berada di padang.
45 Sehari suntuk Abimelekh memerangi kota itu dan dia berjaya menawannya; lantas dibunuhnya semua orang yang berada di dalamnya. Seterusnya kota itu dirobohkan dan ditaburinya dengan garam.
46 Maka masuklah para pemimpin kota Menara-Sikhem yang mendengar berita itu ke dalam ruang di bawah kuil El-Berit.
47 Lalu dikhabarkanlah kepada Abimelekh bahawa seluruh warga kota Menara-Sikhem sedang berhimpun di ruang tersebut.
48 Abimelekh dan seluruh rakyat yang bersama-samanya pun mendaki Gunung Zalmon. Lalu dengan kapak di tangannya Abimelekh memotong dan kemudian memikul dahan-dahan kayu di atas bahunya sambil berkata kepada rakyatnya yang bersama-samanya, “Lihat apa yang aku buat dan ikutilah perbuatanku.”
49 Maka umat yang bersama-samanya turut memotong serta memikul dahan-dahan kayu, kemudian mereka mengikuti Abimelekh untuk meletakkan dahan-dahan itu di atas ruang dalam lalu membakar kesemuanya. Maka mati terbakarlah semua penduduk kota Menara-Sikhem, seramai kira-kira seribu orang lelaki dan perempuan.
50 Selanjutnya, Abimelekh pergi ke Tebes; lalu mengepung serta menawan kota itu.
51 Tetapi ada sebuah menara yang kuat di tengah-tengah kota itu, dan semua lelaki dan perempuan, seluruh warga kota itu, melarikan diri ke situ lalu mereka menutup pintu di belakang mereka dan naik ke atas bumbung menara itu.
52 Tibalah Abimelekh di menara itu lalu diserangnya dan sampailah dia di pintu menara itu untuk membakarnya.
53 Tetapi seorang perempuan menjatuhkan batu kisar ke atas kepala Abimelekh, maka pecahlah tengkoraknya.
54 Abimelekh segera memanggil pembawa perisainya lalu berkata kepadanya, “Hunuslah pedangmu dan bunuhlah aku, supaya jangan orang berkata bahawa Abimelekh dibunuh oleh seorang perempuan.” Lalu pembantunya itu menikamnya dan matilah dia.
55 Maka terlihat bahawa Abimelekh telah mati, pulanglah kesemua orang Israel ke tempat kediaman masing-masing.
56 Demikianlah Allah membalas kejahatan yang dilakukan oleh Abimelekh terhadap ayahnya apabila dia membunuh kesemua tujuh puluh orang saudaranya.
57 Allah juga membalas segala kejahatan para warga Sikhem atas kepala mereka sendiri, sebagaimana yang dilafazkan dalam kutukan Yotam anak Yerubaal kepada mereka.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Hakim-hakim 9
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Hakim-hakim 9

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV