1 Suku Efraim dikerahkan berhimpun. Lalu bergeraklah mereka ke arah utara. Mereka berkata kepada Yefta, “Mengapa engkau mara untuk memerangi bani Amon dan tidak memanggil kami untuk maju bersama-sama? Oleh itu kami akan membakar rumahmu bersama-samamu!”
2 Tetapi Yefta menjawab mereka, “Aku dan pasukanku terlibat dalam peperangan yang hebat melawan bani Amon. Akan tetapi, apabila aku memanggilmu, kamu tidak datang untuk menyelamatkan aku daripada tangan mereka.
3 Apabila kulihat bahawa engkau tidak datang menyelamatkanku, aku pertaruhkan nyawaku lalu pergi melawan bani Amon itu, dan TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tanganku. Mengapa pada hari ini kamu mendatangi aku untuk berperang melawan aku?”
4 Maka Yefta menghimpunkan semua orang Gilead, lalu mereka berperang melawan suku Efraim. Dan mereka berjaya mengalahkan suku Efraim itu. Sebabnya orang Efraim mengatakan, “Kamu kaum Gilead pelarian daripada suku Efraim, kamu di tengah-tengah suku Efraim dan di tengah-tengah suku Manasye.”
5 Bani Gilead menawan dan menduduki tempat-tempat penyeberangan Sungai Yordan. Maka apabila ada antara orang daripada suku Efraim yang melarikan diri dan berkata, “Biarkanlah aku menyeberang,” maka orang Gilead berkata kepadanya, “Orang Efraimkah engkau?” Maka orang itu menjawab, “Bukan,”
6 lalu mereka berkata kepadanya, “Cuba sebut dahulu, ‘Syibolet.’ ”Jika dia berkata, ‘Sibolet’ iaitu tidak mampu mengucapkannya dengan tepat, maka mereka menangkap dia dan membunuhnya dekat tempat-tempat penyeberangan Sungai Yordan itu. Maka tewaslah empat puluh dua ribu orang daripada suku Efraim.
7 Yefta menjadi hakim yang memerintah orang Israel selama enam tahun. Kemudian meninggallah Yefta bani Gilead itu, lalu dikebumikan di sebuah kota di daerah Gilead.
8 Selepas itu, Ebzan dari Betlehem pula menjadi hakim untuk memerintah orang Israel.
9 Dia mempunyai tiga puluh orang anak lelaki dan tiga puluh orang anak perempuannya yang dikahwinkannya dengan orang di luar kaumnya manakala tiga puluh anak perempuan diambilnya dari luar kaumnya untuk diperisteri dengan para anak lelakinya. Ebzan memerintah orang Israel selama tujuh tahun.
10 Kemudian meninggallah Ebzan, lalu dikebumikan di Betlehem.
11 Sebagai menggantikannya, Elon daripada bani Zebulon pula menjadi hakim untuk memerintah orang Israel, dan dia memerintah orang Israel selama sepuluh tahun lama.
12 Kemudian meninggallah Elon daripada bani Zebulon lalu dikebumikan di Ayalon, di Tanah Zebulon.
13 Selepas Elon, Abdon anak Hilel, orang Piraton menjadi hakim untuk memerintah orang Israel.
14 Dia mempunyai empat puluh anak lelaki dan tiga puluh cucu lelaki, yang menunggang tujuh puluh ekor keldai. Dia memerintah orang Israel selama lapan tahun.
15 Kemudian meninggallah Abdon anak Hilel, bani Piraton itu, lalu dia dikebumikan di Piraton, di Tanah Efraim, di kawasan pergunungan orang Amalek.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Hakim-hakim 12
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Hakim-hakim 12

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV