1 Ketika manusia mula menjadi semakin ramai di muka bumi, dan mereka melahirkan anak-anak perempuan,
2 anak-anak Allah melihat betapa elok paras rupa anak perempuan manusia itu. Lalu mereka memperisteri sesiapa sahaja perempuan yang dipilih mereka.
3 Maka TUHAN berfirman, “Roh-Ku tidak selama-lamanya akan menyertai manusia yang fana fitrahnya. Umur mereka akan cuma 120 tahun sahaja.”
4 Orang Nefilim juga menghuni bumi pada zaman itu, dan juga pada zaman sesudahnya, iaitu ketika anak-anak Allah meniduri anak perempuan manusia yang seterusnya melahirkan anak untuk para manusia itu. Golongan manusia itulah para wira gagah perkasa pada zaman purba yang termasyhur nama mereka.
5 Namun begitu, TUHAN melihat kejahatan manusia besar di bumi, dan segala hasrat dan kecenderungan hati mereka sentiasa tertumpu pada kejahatan sahaja.
6 Maka menyesallah TUHAN kerana Dia telah menjadikan manusia di bumi dan hal itu mendukakan hati-Nya.
7 Berfirmanlah TUHAN, “Aku akan menghapuskan manusia yang telah Kuciptakan itu dari muka bumi – manusia dan juga haiwan, termasuk haiwan yang melata, dan burung-burung di udara – kerana hati-Ku kesal bahawa Aku telah menjadikan kesemuanya.”
8 Tetapi Nuh mendapat rahmat di mata TUHAN.
9 Inilah riwayat Nuh. Dalam kalangan yang sezaman dengannya, Nuh seorang yang benar dan tidak tercela. Dia hidup akrab dengan Allah.
10 Nuh dikurniai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Ham, dan Yafet.
11 Pada ketika itu, bumi sudah hancur di hadapan Allah dan penuh dengan keganasan.
12 Allah mengamati bumi, dan sesungguhnya betapa hancurnya bumi kerana kehidupan semua manusia bergelumang dengan dosa.
13 Maka berfirmanlah Allah kepada Nuh, “Aku telah menetapkan bahawa kesemua makhluk yang hidup mesti mati kerana bumi ini penuh dengan keganasan akibat perbuatan mereka. Sesungguhnya, Aku akan memusnahkan mereka bersama-sama bumi ini.
14 Maka kamu perlu membuat sebuah bahtera daripada kayu sipres. Buatlah bilik-bilik di dalam bahtera itu yang mesti dilapisi dengan gegala di bahagian luar dan dalamnya.
15 Kamu mesti membuat bahtera itu mengikut ukuran ini: Panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta, dan tingginya 30 hasta .
16 Buatlah lubang cahaya bagi bahtera itu dan semua binaan mesti ada ruang sehasta dari bahagian tertinggi bahtera. Pasang pintu bahtera pada rusuknya. Buatlah bahtera itu bertingkat bawah, tengah, dan atas.
17 Ketahuilah, Aku akan mendatangkan banjir untuk melanda bumi demi memusnahkan semua makhluk yang bernyawa di bawah langit dan semua hidupan di bumi akan mati.
18 Akan tetapi, Aku mengikat perjanjian-Ku dengan kamu. Kamu berserta anak-anakmu, isterimu, dan isteri anak-anakmu akan masuk ke dalam bahtera itu.
19 Sepasang iaitu jantan dan betina daripada segala makhluk yang hidup mesti kamu bawa masuk ke dalam bahtera, supaya kesemuanya dapat tetap hidup bersama-samamu.
20 Sepasang daripada berbagai-bagai jenis burung, berbagai-bagai jenis haiwan, dan segala jenis binatang melata di bumi akan datang kepadamu supaya kesemuanya dapat tetap hidup.
21 Kamu juga mesti mengumpulkan segala bahan yang dapat dimakan dan menyimpannya. Itulah yang akan menjadi makanan bagimu dan bagi kesemua makhluk itu.”
22 Maka sebagaimana yang diperintahkan Allah kepadanya, sebegitulah yang dilakukan oleh Nuh.