1 Apabila Rahel melihat betapa dia tetap tidak melahirkan anak untuk Yakub, dia pun mencemburui kakaknya. Maka berkatalah dia kepada Yakub, “Berilah aku anak. Kalau tidak, biarlah aku mati.”
2 Naik marahlah Yakub kepada Rahel, katanya, “Adakah aku di tempat Allah, yang menghalang kamu daripada mengandung?”
3 Kata Rahel, “Ini Bilha, hambaku. Kahwinilah dia, supaya anak yang dilahirkannya diletakkan di pangkuanku, sehingga aku juga dapat mempunyai anak melalui dia.”
4 Maka diserahkannyalah Bilha, hambanya, kepada Yakub untuk menjadi isterinya. Yakub pun meniduri hamba itu.
5 Bilha mengandung lalu melahirkan seorang anak untuk Yakub.
6 Berkatalah Rahel, “Allah bertindak adil terhadapku dan memakbulkan doaku dan mengurniakan kepadaku seorang anak.” Oleh sebab itulah dia menamai anak itu Dan.
7 Kemudian Bilha, hamba Rahel itu, mengandung lagi dan melahirkan anak yang kedua untuk Yakub.
8 Rahel berkata, “Aku bergelut begitu hebat dengan kakakku, dan aku menang.” Maka dia menamai anak itu Naftali.
9 Apabila Lea melihat bahawa dia telah berhenti melahirkan anak, dia pun membawa Zilpa, hambanya, lalu diserahkannya kepada Yakub untuk menjadi isterinya.
10 Lalu Zilpa, hamba Lea itu, melahirkan seorang anak untuk Yakub.
11 Kata Lea, “Sungguh beruntung!” Maka dinamainya anak itu Gad.
12 Zilpa, hamba Lea itu, melahirkan anak yang kedua pula untuk Yakub.
13 Lea berkata, “Betapa bahagianya aku! Tentunya segala kaum wanita akan menyebut bahawa aku berbahagia.” Maka dia menamai anak itu Asyer.
14 Sewaktu Ruben pergi berjalan-jalan pada musim menuai gandum dia terjumpa akar mandragora di padang lalu dibawanya kepada Lea, ibunya. Kata Rahel kepada Lea, “Berilah aku sedikit akar mandragora milik anakmu itu.”
15 Jawab Lea kepadanya, “Belum cukup lagikah kamu mengambil suamiku, sehingga kamu mahu mengambil pula akar mandragora anakku?” Kata Rahel, “Baiklah, biarlah dia tidur denganmu malam ini sebagai ganti akar mandragora anakmu itu.”
16 Petang harinya, ketika Yakub kembali dari ladang, keluarlah Lea menyambutnya dan berkata, “Kamu harus singgah kepadaku, kerana aku sudah menyewamu dengan akar mandragora anakku.” Maka Yakub menidurinya pada malam itu.
17 Allah memakbulkan doa Lea lalu ia mengandung dan melahirkan anak yang kelima untuk Yakub.
18 Kata Lea, “Allah telah memberiku upah, kerana aku sudah menyerahkan hambaku kepada suamiku.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Isakhar.
19 Lea mengandung lagi dan melahirkan anak yang keenam untuk Yakub.
20 Kemudian kata Lea, “Allah mengurniakan satu anugerah yang bagus kepadaku. Tentunya suamiku akan tinggal bersama-samaku kerana aku telah melahirkan enam orang anak untuknya.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Zebulon.
21 Setelah itu, dia melahirkan seorang anak perempuan yang dinamainya Dina.
22 Allah mengendahkan Rahel pula dan mendengar dan memakbulkan doanya lalu membuka rahimnya.
23 Maka Rahel pun mengandung dan melahirkan seorang anak. Katanya, “Allah sudah menghapuskan aibku.”
24 Dia menamai anak itu Yusuf, sambil berkata, “Semoga TUHAN menganugerahiku seorang lagi anak.”
25 Setelah Rahel melahirkan Yusuf, Yakub berkata kepada Laban, “Izinkanlah aku pergi. Aku hendak pulang ke negeriku, ke tempat kelahiranku.
26 Berikanlah kepadaku para isteri serta anakku, yang kudapat dengan bekerja bagi pak cik, dan biarkan aku pergi. Pak cik sendiri tahu bagaimana aku telah bekerja bagi pak cik.”
27 Tetapi kata Laban kepadanya, “Jika kamu berkenan, tinggal sajalah di sini, kerana hasil daripada firasatku, ternyata betapa TUHAN memberkati aku kerana kamu.”
28 Katanya lagi, “Sebutkan berapa banyak upahmu, dan aku akan memberikannya.”
29 Jawab Yakub kepadanya, “Pak cik sendiri tahu bagaimana aku bekerja bagi pak cik dan bagaimana keadaan ternak pak cik di bawah kelolaanku.
30 Sebelum kedatanganku, sedikit sahaja yang pak cik miliki, tetapi kini sudah bertambah-tambah menjadi banyak. TUHAN memberkati pak cik selama aku berada di sini. Sekarang, bila boleh aku bekerja bagi rumah tanggaku sendiri?”
31 Tanya Laban, “Apa yang harus kuberikan kepadamu?” Jawab Yakub, “Pak cik tidak usah memberikan sesuatu pun kepadaku. Aku mahu kembali menggembalakan dan menjaga kawanan domba pak cik jika pak cik mengizinkan hal ini bagiku:
32 Hari ini aku akan berjalan melalui seluruh kawanan domba pak cik dan memisahkan dari situ setiap anak domba yang berbintik-bintik dan berbelang-belang, setiap anak domba yang berwarna gelap, serta setiap kambing yang berbelang-belang dan berbintik-bintik. Itulah yang akan menjadi upahku.
33 Pada kemudian hari kejujuranku akan terbukti apabila pak cik datang memeriksa upahku. Setiap kambing yang tidak berbintik-bintik atau berbelang-belang, dan setiap domba yang tidak berwarna gelap, akan dianggap sebagai curian.”
34 Jawab Laban, “Boleh sahaja, aku bersetuju dengan apa yang kamu katakan itu.”
35 Akan tetapi, pada hari itu Laban mengasingkan kambing-kambing jantan yang bercelorong-celoreng dan berbelang-belang, semua kambing betina yang berbintik-bintik dan berbelang-belang, iaitu semua yang ada warna putih pada badannya, serta semua domba yang berwarna gelap, lalu menyerahkan kesemuanya kepada anak-anaknya.
36 Setelah itu, dia menentukan jarak sejauh tiga hari perjalanan antara dia dengan Yakub, sementara Yakub menggembalakan kawanan ternakan Laban yang lain.
37 Lalu Yakub mengambil dahan-dahan segar daripada pokok hawar, pokok badam, dan pokok berangan. Dikupasnya sebahagian kulitnya hingga tampak belang-belang putih pada dahan-dahan itu.
38 Kemudian dahan-dahan yang telah dikupasnya itu diletakkannya di dalam palung tempat air minuman, sehingga tepat berada di depan kawanan domba yang datang minum. Biasanya, haiwan ternakan itu saling bersenyawa ketika datang untuk minum.
39 Maka, bersenyawalah segala haiwan itu berdekatan dengan dahan-dahan tadi sehingga lahirlah anak-anak domba yang bercelorong-celoreng, berbintik-bintik, dan berbelang-belang.
40 Yakub memisahkan domba-domba itu, lalu menghadapkan muka kawanan domba yang selebihnya ke arah kawanan domba Laban yang bercelorong-celoreng dan yang berwarna gelap. Dia mengasingkan kawanan ternaknya sendiri dan tidak menempatkannya bersama-sama haiwan-haiwan milik Laban.
41 Maka setiap kali kawanan domba yang kuat bersenyawa, Yakub meletakkan dahan-dahan itu di dalam palung, di hadapan mata haiwan-haiwan itu, sehingga mereka bersenyawa dekat dahan-dahan itu.
42 Tetapi jika kawanan domba itu lemah, dahan-dahan itu tidak diletakkan di depannya. Dengan demikian, haiwan yang lemah menjadi milik Laban manakala yang kuat menjadi milik Yakub.
43 Maka semakin bertambah-tambahlah kekayaan Yakub. Dia mempunyai banyak kawanan domba, unta, dan keldai, serta hamba lelaki dan perempuan.