1 Maka pergilah Abram dari Mesir menuju Tanah Negeb dengan membawa bersama-sama isterinya dan segala harta bendanya. Lut pun turut bersama-samanya.
2 Abram sangat kaya dan begitu banyak emas, perak dan haiwan ternakannya.
3 Mengembaralah dia dari setempat ke setempat dari Tanah Negeb menuju Betel. Lalu dia sampai di antara Betel dengan Ai, tempat dia mula-mula mendirikan khemahnya,
4 juga tempat dia membina sebuah mazbah dahulu. Dan di situlah Abram menyeru nama TUHAN.
5 Lut, yang menyertai rombongan Abram itu juga memiliki haiwan ternakan dan sejumlah khemah.
6 Maka tidaklah muat daerah itu untuk kesemua mereka tinggal bersama-sama kerana harta benda mereka begitu banyak
7 Lalu terjadilah perselisihan antara para gembala ternakan Abram dengan para gembala ternakan Lut. (Pada waktu itu orang Kanaan dan orang Feris bermastautin di negeri itu.)
8 Kata Abram kepada Lut, “Semoga tidak berlaku perselisihan antara aku dengan kamu, juga antara para gembalaku dengan para gembalamu, walhal kita ini saudara yang begitu dekat.
9 Bukankah seluruh negeri ini ada di hadapanmu? Pisahkanlah dirimu daripadaku. Jika kamu ke sebelah kiri, maka aku pergi ke sebelah kanan. Jika kamu ke sebelah kanan, maka aku pergi ke sebelah kiri.”
10 Lut pun mengimbas dan meneliti keseluruhan wilayah di sekelilingnya. Dia nampak betapa seluruh Lembah Yordan diairi dengan baik, seperti taman TUHAN, seperti Tanah Mesir ke arah Zoar. (Itulah keadaannya sebelum TUHAN memusnahkan Sodom dan Gomora.)
11 Maka Lut memilih daerah di seluruh Lembah Yordan, lalu berangkatlah dia ke sebelah timur. Selepas itu, mereka berpisah.
12 Abram menetap di Tanah Kanaan, sementara Lut pula menetap di kota-kota raya di dataran itu dan mendirikan khemahnya berhampiran Sodom.
13 Adapun orang Sodom amat jahat lagi penuh kemungkaran dan dosa terhadap TUHAN.
14 Setelah Lut berpisah dengan Abram, berfirmanlah TUHAN kepada Abram, “Layangkanlah pandanganmu dari tempat kamu berdiri itu, dan tengoklah ke sebelah utara, selatan, timur, dan barat,
15 kerana seluruh negeri yang kamu lihat itu akan Kukurniakan kepadamu dan kepada keturunanmu untuk selama-lamanya.
16 Aku akan menjadikan keturunanmu seperti debu tanah yang begitu banyak sekali, hinggakan jika ada sesiapa dapat menghitung debu tanah, maka keturunanmu pun akan dapat dihitung.
17 Bersiaplah, mengembaralah ke seluruh pelosok negeri itu menurut panjang dan lebarnya, kerana kepadamulah akan Kukurniakannya.”
18 Abram pun memindahkan khemahnya lalu tinggal dekat pokok-pokok oak Mamre, di wilayah Hebron. Di sana dia mendirikan sebuah mazbah bagi TUHAN.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 13
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 13

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV