1 Di seluruh bumi cuma satu bahasa dan satu loghat pada ketika itu.
2 Sewaktu perjalanan mereka ke sebelah timur, mereka menemukan dataran di Tanah Sinear lalu menetaplah mereka di situ.
3 Berkatalah mereka sesama sendiri, “Ayuh kita membuat batu bata dan membakarnya dengan sempurna.” Batu bata itu digunakan mereka sebagai pengganti batu, dan lepa pula sebagai pengganti tanah liat.
4 Seterusnya berkatalah mereka pula, “Ayuh kita bangunkan sebuah kota raya dan sebuah menara yang puncaknya menanjak sampai ke langit. Mari kita cari nama bagi diri kita, supaya kita tidak berserakan ke seluruh muka bumi.”
5 Lalu turunlah TUHAN untuk mengamati kota dan menara yang dibangunkan oleh anak-anak manusia.
6 Maka berfirmanlah TUHAN, “Sesungguhnya, jika mereka yang satu bangsa, dan sama bahasa pertuturan mereka sudah mula membuat sebegini maka apa-apa pun niat yang hendak dilaksanakan mereka tidak ada yang tidak dapat dicapai oleh mereka.
7 Baiklah Kita turun dan mencelarukan bahasa di seluruh bumi agar mereka bingung sehingga mereka tidak saling mengerti bahasa satu sama lain.”
8 Demikianlah TUHAN mencerai-beraikan dan menyerakkan mereka ke seluruh muka bumi, lalu mereka berhenti membina kota raya itu.
9 Itulah sebabnya nama kota raya itu Babel kerana di sanalah TUHAN mencelarukan bahasa seluruh bumi dan dari sanalah TUHAN menyerakkan umat manusia ke seluruh muka bumi.
10 Inilah keturunan Sem. Setelah Sem berusia 100 tahun, lahirlah kepadanya Arpakhsad, dua tahun selepas banjir besar.
11 Selepas kelahiran Arpakhsad, Sem hidup 500 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
12 Setelah Arpakhsad berusia 35 tahun, lahirlah kepadanya Selah.
13 Selepas kelahiran Selah, Arpakhsad hidup 403 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
14 Setelah Selah berusia 30 tahun, lahirlah kepadanya Eber.
15 Selepas kelahiran Eber, Selah hidup 403 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
16 Setelah Eber berusia 34 tahun, lahirlah kepadanya Peleg.
17 Selepas kelahiran Peleg, Eber hidup 430 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
18 Setelah Peleg berusia 30 tahun, lahirlah kepadanya Rehu.
19 Selepas kelahiran Rehu, Peleg hidup 209 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan.
20 Setelah Rehu berusia 32 tahun, lahirlah kepadanya Serug.
21 Selepas kelahiran Serug, Rehu hidup 207 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
22 Setelah Serug berusia 30 tahun, lahirlah kepadanya Nahor.
23 Selepas kelahiran Nahor, Serug hidup 200 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan.
24 Setelah Nahor berusia 29 tahun, lahirlah kepadanya Terah.
25 Selepas kelahiran Terah, Nahor hidup 119 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
26 Setelah Terah 70 tahun, lahirlah kepadanya Abram, Nahor, dan Haran.
27 Inilah keturunan Terah. Terah dikurniai anak, iaitu Abram, Nahor, dan Haran. Seterusnya Haran dikurniai anak iaitu Lut.
28 Haran meninggal lebih dahulu daripada Terah, ayahnya, di tanah kelahirannya, Ur-Kasdim.
29 Kemudian Abram dan Nahor meminang isteri. Nama isteri Abram ialah Sarai, dan nama isteri Nahor ialah Milka, anak Haran. Haran ialah ayah Milka dan Yiska.
30 Akan tetapi, Sarai mandul dan tidak mempunyai anak.
31 Terah membawa Abram anaknya, Lut anak Haran cucunya, serta Sarai menantunya, iaitu isteri Abram anaknya, keluar bersama-sama dari Ur-Kasdim untuk pergi ke Tanah Kanaan. Tetapi ketika sampai di Haran, mereka pun menetap di sana.
32 Setelah Terah mencapai usia 205 tahun, meninggallah dia di Haran.