1 Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
2 ‘Engkau, wahai anak manusia, lantunkanlah suatu ratapan mengenai Tirus.
3 Katakan kepada Tirus, yang terletak di pintu masuk lautan dan yang berdagang dengan bangsa di banyak daerah pesisir: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Wahai Tirus, engkau berkata, ‘Aku cantik sempurna.’
4 Perbatasanmu di tengah lautan. Tukang bangunanmu menyempurnakan kecantikanmu.
5 Semua papanmu dibentuk mereka daripada pokok sanubar Senir. Kayu araz Lebanon diambil mereka untuk membuat tiang layar bagimu.
6 Dayungmu dibuat mereka daripada pokok oak di Basan, dan geladakmu daripada gading yang ditatah pada kayu sanubar dari pesisir Siprus.
7 Layarmu dibuat daripada linen halus bersulam, dari Mesir; itu menjadi panji-panjimu. Tudungmu dibuat daripada kain biru dan kain ungu, dari pesisir Elisa.
8 Penduduk Sidon dan Arwad menjadi pendayungmu. Para ahlimu, wahai Tirus, ada padamu sebagai pelautmu.
9 Orang tua-tua Gebal dan para ahlinya pun ada padamu, untuk memperbaik celah-celah kapalmu. Segala kapal laut dengan kelasinya mendatangimu, untuk berdagang denganmu.
10 Orang Parsi, orang Lud, dan orang Put ada dalam pasukanmu sebagai tenteramu. Mereka menggantungkan perisai dan ketopong padamu, mereka menambah semarakmu.
11 Orang Arwad dan pasukanmu ada di sekeliling tembokmu. Orang Gamad ada di menara-menaramu. Mereka menggantungkan perisai di sekeliling tembokmu. Mereka menyempurnakan kecantikanmu.
12 Tarsis berdagang denganmu kerana banyaknya segala jenis barangmu yang berharga. Mereka menukar daganganmu dengan perak, besi, timah putih, dan timah hitam.
13 Orang Yunani, orang Tubal, dan orang Mesekh pun berdagang denganmu. Mereka menukar barang daganganmu dengan hamba abdi dan perkakas tembaga.
14 Orang dari Bet-Togarma menukar daganganmu dengan kuda, kuda perang, dan baghal.
15 Orang Rodos berdagang pula denganmu; banyak pulau menjadi daerah pemasaranmu. Mereka membawa batang gading dan kayu arang sebagai ufti kepadamu.
16 Orang Aram berniaga denganmu untuk memperoleh berbagai-bagai hasilmu. Mereka menukar daganganmu dengan batu permata firus, kain ungu, kain bersulam, kain linen halus, karang, dan batu delima.
17 Orang Yehuda dan Tanah Israel juga berdagang denganmu. Mereka menukar barang daganganmu dengan gandum dari Minit, gula-gula, madu, minyak, serta balsam.
18 Damsyik berniaga denganmu kerana banyaknya hasilmu dan segala jenis barang berharga yang berlimpah-ruah. Mereka menukarnya dengan anggur dari Helbon dan bulu domba dari Sakhar.
19 Orang Wadan dan Yunani dari Uzal membeli daganganmu; besi tempa, kayu lawang dan tebu wangi ditukar mereka dengan barang daganganmu.
20 Dedan menjual alas pelana untuk menunggang kuda kepadamu.
21 Orang Arab dan semua pemimpin Kedar menjual anak domba, domba jantan, dan kambing jantan kepadamu.
22 Pedagang dari Syeba dan Raema juga berdagang denganmu. Mereka menukar daganganmu dengan yang terbaik daripada segala jenis rempah, segala permata, dan emas.
23 Haran, Kane, Eden, pedagang Syeba, Asyur, dan Kilmad berdagang juga denganmu.
24 Mereka memperdagangkan jubah yang indah, kain biru bersulam, dan permaidani beraneka warna yang diikat kuat dengan tali di pasarmu.
25 Kapal-kapal Tarsis seperti kafilah membawa barang daganganmu. Engkau penuh muatan dan amat berat di tengah lautan.
26 Para pendayungmu membawa engkau ke perairan luas. Namun begitu, angin timur menghancurkan kamu di tengah lautan.
27 Hartamu, daganganmu, barangmu, juga kelasimu dan pelautmu; orang yang memperbaik celah kapalmu serta yang menjalankan perdaganganmu; seluruh tentera yang ada padamu dan semua awak yang ada di tengah-tengahmu, akan tenggelam di tengah lautan pada hari kejatuhanmu.
28 Apabila mendengar bunyi teriakan pelautmu padang-padang gementar.
29 Semua yang memegang dayung akan turun dari kapal mereka. Para kelasi dan semua pelaut akan berdiri di daratan.
30 Mereka menyaringkan suara kerana engkau dan menjerit-jerit dengan getir. Mereka menghamburkan debu ke atas kepala dan berguling-guling dalam debu.
31 Mereka menggondolkan kepala kerana engkau, dan memakai kain perkabungan. Mereka menangisi engkau dengan hati getir, dengan ratapan yang getir.
32 Sambil meraung-raung mereka melantunkan suatu ratapan bagimu, mereka meratap bagimu, ‘Siapakah seperti Tirus, yang sudah dibinasakan di tengah lautan?’
33 Ketika daganganmu datang dari laut, engkau mengenyangkan banyak bangsa. Dengan kelimpahan hartamu dan barang daganganmu engkau memperkaya raja-raja di bumi.
34 Sekarang engkau dihancurkan di laut, di perairan yang dalam. Barang daganganmu dan seluruh awak kapalmu tenggelam bersama-samamu.
35 Seluruh penduduk pesisir tercengang melihat engkau. Raja-raja mereka sangat ketakutan, muka mereka cemas.
36 Saudagar bangsa-bangsa melontarkan cemuhan kerana engkau. Engkau telah menjadi suatu kengerian dan tidak akan ada lagi sampai selama-lamannya.” ’

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yehezkiel 27
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yehezkiel 27

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV