1 Musa mengumpulkan seluruh jemaah Israel dan berkata kepada mereka, “Inilah hal-hal yang diperintahkan TUHAN dan hendaklah kamu lakukannya.
2 Hendaklah kamu bekerja selama enam hari, tetapi hendaklah ada untuk kamu hari yang suci pada hari ketujuh, iaitu hari Sabat, hari istirahat penuh takzim yang dikhususkan untuk TUHAN. Sesiapa pun yang melakukan pekerjaan pada hari itu hendaklah dihukum mati.
3 Janganlah kamu nyalakan api di seluruh tempat tinggalmu pada hari Sabat.”
4 Musa berkata kepada seluruh jemaah Israel, “Inilah hal yang diperintahkan oleh TUHAN,
5 ‘Bawalah persembahan khusus daripada harta bendamu kepada TUHAN. Setiap orang yang ikhlas hatinya hendaklah membawa persembahan khusus kepada TUHAN berupa emas, perak, dan gangsa,
6 serta kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus, bulu kambing,
7 kulit domba jantan yang dicelup merah, kulit anjing laut, kayu akasia,
8 minyak untuk pencahayaan, rempah-ratus untuk minyak tahbis dan untuk dupa harum,
9 serta batu permata oniks dan batu permata tatahan untuk baju efod serta penutup dada.
10 Setiap orang antara kamu yang memiliki kepakaran hendaklah tampil untuk membuat semua yang diperintahkan oleh TUHAN:
11 Khemah Suci dengan khemah dan penudungnya, cangkuk-cangkuk pengancingnya, papan-papannya, kayu-kayu palangnya, tiang-tiangnya, serta lesung-lesung pasaknya;
12 tabut dengan kayu pengusungnya, penutup pendamaian, dan tabir penudung;
13 meja dengan kayu pengusungnya, segala kelengkapannya, dan roti persembahan;
14 kaki pelita untuk tatacahaya dengan kelengkapannya, pelitanya, dan minyak untuk pencahayaan;
15 mazbah pendupaan dengan kayu pengusungnya, minyak tahbis, dan dupa harum; tirai pintu untuk pintu Khemah Suci;
16 mazbah korban bakaran dengan kekisi gangsanya, kayu pengusungnya, dan segala kelengkapannya; bejana pembasuhan dengan alasnya;
17 kain yang memagari laman dalam, tiang-tiangnya, alas-alasnya, dan tirai pintu gerbang laman dalam;
18 pasak-pasak Khemah Suci dan pasak laman dalam dengan talinya;
19 pakaian yang halus tenunannya untuk menyelenggarakan peribadatan di tempat suci, pakaian suci untuk Imam Harun, dan pakaian anak-anaknya untuk menunaikan tugas sebagai imam.”
20 Kemudian pergilah seluruh jemaah Israel dari hadapan Musa.
21 Sesudah itu datanglah semua orang yang tergerak hati mereka dan semua orang yang ikhlas jiwa mewakafkan persembahan khusus kepada TUHAN untuk pengerjaan Khemah Pertemuan, untuk seluruh peribadatannya, dan untuk pakaian suci.
22 Setiap orang yang ikhlas hatinya, baik lelaki mahupun perempuan, datang membawa anting-anting hidung, anting-anting telinga, cincin mohor, dan gelang tangan iaitu segala jenis barang emas permata. Mereka semua mewakafkan persembahan unjukan daripada emas kepada TUHAN.
23 Selain itu, setiap orang yang mempunyai kain biru, kain ungu, kain merah menyala, kain linen halus, bulu kambing, kulit domba jantan yang dicelup merah, dan kulit anjing laut, datang membawanya.
24 Setiap orang yang dapat mempersembahkan persembahan khusus daripada perak atau gangsa, mewakafkannya sebagai persembahan khusus kepada TUHAN, dan setiap orang yang mempunyai kayu akasia untuk segala pekerjaan peribadatan datang pula membawanya.
25 Setiap perempuan yang ahli dalam hal memintal dengan tangannya sendiri datang membawa barang yang dipintalnya, iaitu kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus.
26 Kemudian setiap perempuan yang tergerak hatinya kerana memiliki keahlian itu pun memintal bulu kambing.
27 Para pemimpin membawa batu permata unam dan batu permata tatahan untuk baju efod serta penutup dada,
28 rempah-ratus dan minyak untuk pencahayaan, untuk minyak tahbis, dan untuk dupa harum.
29 Semua lelaki dan perempuan yang ikhlas hati membawa sesuatu bagi segala pekerjaan yang harus dilakukan, selaras dengan apa yang diperintahkan oleh TUHAN dengan perantaraan Musa. Orang Israel datang mewakafkan semuanya sebagai persembahan sukarela kepada TUHAN.
30 Musa berkata kepada orang Israel, “Lihat, TUHAN telah memanggil Bezaleel anak Uri anak Hur, daripada suku Yehuda.
31 Dia sudah memenuhi Bezaleel dengan Roh Allah, dengan kebijaksanaan, pengertian, pengetahuan, dan segala kepandaian
32 supaya dia merancang pengerjaan emas, perak, dan gangsa,
33 pengukiran batu permata untuk ditatah, serta pengukiran kayu, dan supaya semua rancangan itu dapat dikerjakannya.
34 Allah telah mengurniakan dalam hatinya kemahiran untuk mengajar orang lain, dan begitu jugalah dalam hati Aholiab anak Ahisamakh daripada suku Dan.
35 Mereka itu telah dipenuhi-Nya dengan kemahiran untuk mengerjakan segala pekerjaan tukang, pekerjaan pakar, pekerjaan menyulam kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus, serta pekerjaan tukang tenun. Jadi, mereka semua pelaksana segala jenis pekerjaan serta pereka bentuk yang mahir.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Keluaran 35
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Keluaran 35

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV