1 TUHAN berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua keping loh batu seperti yang dahulu. Akan Kutulis pada loh-loh batu itu firman yang ada pada loh-loh dahulu, yang telah kaupecahkan itu.
2 Bersiaplah menjelang pagi hari dan pada pagi-pagi lagi dakilah Gunung Sinai. Berdirilah menghadap Aku di sana, di puncak gunung itu.
3 Tiada seorang pun yang boleh naik bersama denganmu dan jangan ada seorang pun yang boleh kelihatan di seluruh gunung itu, bahkan kawanan ternakan pun tidak boleh meragut rumput di kaki gunung itu.”
4 Maka Musa memahat dua keping loh batu seperti loh batu yang dahulu itu. Pagi-pagi lagi dia bangun lalu mendaki Gunung Sinai dengan membawa dua keping loh batu itu di tangannya seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepadanya.
5 Turunlah TUHAN dalam awan lalu hadir dan berdiri bersama-sama Musa di sana seraya menyeru nama TUHAN.
6 Kemudian TUHAN melintas di hadapan Musa lalu berseru, “TUHAN, ya TUHAN, Allah penyayang dan pengasih, panjang sabar, serta berlimpah kasih dan setia;
7 Allah mengukuhkan kasih abadi bagi beribu-ribu orang, mengampunkan kesalahan, pelanggaran, dan dosa, tetapi sekali-kali tidak membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman, serta membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya dan cucu-cucunya, kepada keturunan yang ketiga dan yang keempat.”
8 Dengan segera Musa bersujud dan menyembah.
9 Dia berkata, “Ya TUHAN, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, maka hadirlah kiranya TUHAN menyertai kami biarpun memang bangsa ini bangsa yang keras kepala. Namun begitu, ampunkanlah kesalahan dan dosa kami, serta terimalah kami untuk menjadi milik-Mu.”
10 Firman-Nya, “Ketahuilah bahawa Aku membuat satu perjanjian. Di hadapan seluruh bangsamu ini akan Kulakukan keajaiban yang belum pernah terjadi dalam kalangan bangsa mana-mana pun di seluruh bumi ini. Seluruh umat, yang kamu tinggal bersama-sama dalam kalangan mereka, akan menyaksikan pekerjaan TUHAN yang teramat hebatnya, yang akan Kulakukan denganmu.
11 Maka patuhilah betul-betul apa yang Kuperintahkan kepadamu pada hari ini. Sesungguhnya, Aku akan mengusir orang Amori, orang Kanaan, orang Het, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus dari hadapanmu.
12 Berhati-hatilah agar kamu tidak mengikat apa-apa perjanjian dengan penduduk negeri yang kaudatangi itu, agar mereka tidaklah menjadi jerat dalam kalangan kamu.
13 Sebaliknya, robohkanlah mazbah-mazbah mereka, hancurkanlah tiang-tiang berhala mereka, dan tebanglah patung berhala Asyera mereka.
14 Kamu tidak boleh sujud menyembah tuhan lain, kerana TUHAN yang nama-Nya Cemburu, ialah Allah yang cemburu.
15 Jangan ikat perjanjian dengan penduduk negeri itu kerana pada waktu mereka berzina dengan mengikuti tuhan mereka dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu, mereka akan menjemput kamu dan kamu akan ikut makan korban sembelihan mereka.
16 Apabila kamu mengambil anak-anak perempuan mereka menjadi isteri anak-anakmu, dan anak-anak perempuan itu berzina dengan mengikuti tuhan mereka, maka mereka akan membuat anak-anak lelakimu berzina dengan mengikuti tuhan mereka.
17 Jangan buat bagi dirimu tuhan-tuhan buatan logam.
18 Tetaplah merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi. Seperti yang Aku perintah kepadamu, tujuh hari lamanya kamu harus makan roti yang tidak beragi pada waktu yang ditetapkan dalam bulan Abib, kerana dalam bulan Abib itulah kamu keluar dari Mesir.
19 Semua yang lahir pertama daripada rahim ialah milik-Ku, dan begitu jugalah semua ternakanmu yang jantan, yang lahir pertama daripada lembu atau domba.
20 Anak keldai yang lahir pertama harus kamu tebus dengan seekor anak domba. Jika kamu tidak menebusnya, kamu hendaklah mematahkan lehernya. Semua anak lelakimu yang sulung harus kamu tebus. Jangan ada seorang pun menghadap hadirat-Ku dengan tangan kosong.
21 Hendaklah kamu bekerja selama enam hari, tetapi hendaklah kamu berhenti pada hari ketujuh, sekalipun pada musim membajak dan pada musim menuai.
22 Rayakanlah Perayaan Tujuh Minggu apabila kamu mula menuai hasil pertama gandum kamu, begitu juga Perayaan Pengumpulan Hasil pada penghujung musim bertani.
23 Tiga kali setahun, hendaklah semua warga lelaki dalam kalangan kamu datang menghadap ke hadirat Tuhanmu, TUHAN Allah Israel.
24 Aku akan mengusir bangsa-bangsa dari hadapanmu dan meluaskan daerahmu. Tiada seorang pun akan mengingini negerimu ketika kamu pergi menghadap ke hadirat TUHAN, Allahmu, tiga kali setahun.
25 Jangan kamu persembahkan darah daripada korban sembelihan yang diperuntukkan bagi Hari Raya-Ku dengan sesuatu yang beragi. Juga sembelihan Hari Raya Paskah tidak boleh tersisa sampai pagi.
26 Bawalah yang terbaik daripada hasil pertama tanahmu ke dalam Bait TUHAN, Allahmu. Janganlah kamu merebus anak kambing atau anak domba dalam air susu induknya.”
27 Firman TUHAN kepada Musa, “Tulislah firman ini, kerana berdasarkan firman inilah Aku telah membuat perjanjian dengan kamu dan dengan Israel.”
28 Selama empat puluh hari empat puluh malam Musa berada di sana bersama-sama TUHAN, dan selama itulah dia tidak makan roti dan tidak minum air dan dia menulis firman perjanjian iaitu Sepuluh Perintah, di atas loh-loh batu itu.
29 Sewaktu Musa turun dari Gunung Sinai sambil membawa kedua-dua loh hukum di tangannya, Musa tidak sedar yang kulit mukanya bercahaya-cahaya kerana dia telah berbicara dengan TUHAN.
30 Apabila Harun dan orang Israel melihat Musa dengan kulit mukanya yang bercahaya-cahaya itu, mereka takut mendekatinya.
31 Tetapi Musa memanggil mereka, lalu Harun dan semua pemimpin jemaah Israel itu kembali kepadanya, dan berbicaralah Musa kepada mereka.
32 Sesudah itu seluruh orang Israel mendekatinya, lalu Musa mengamanatkan kepada mereka semua yang difirmankan TUHAN kepadanya di atas Gunung Sinai.
33 Setelah Musa selesai berbicara dengan mereka, diselubungkanlah mukanya.
34 Tetapi ketika Musa masuk menghadap TUHAN untuk berbicara dengan-Nya, dia menanggalkan selubung itu sehingga dia keluar semula. Setelah keluar, dia menyampaikan kepada orang Israel apa yang diperintahkan kepadanya,
35 dan orang Israel melihat kulit muka Musa yang bercahaya-cahaya itu. Kemudian Musa pun menyelubungkan mukanya semula sampai dia masuk lagi untuk berbicara dengan TUHAN.