1 Maka pada hari ketiga, Ester mengenakan pakaian diraja lalu berdiri di laman dalam istana raja, tepat di hadapan istana raja. Raja sedang bersemayam di atas takhta kerajaan, di dalam istana, berhadapan dengan pintu gerbang istana.
2 Apabila raja terlihat bahawa Ratu Ester berdiri di laman dalam, baginda perkenankannya lalu menghulurkan cokmar emas di tangannya kepada Ester. Ester pun mendekati lalu menyentuh hujung cokmar itu.
3 Raja bertitah kepadanya, “Apakah kemahuanmu, Ratu Ester? Apa-apa pun permintaanmu, sekalipun kamu mahu sampai separuh daripada kerajaan pun akan diberikan kepadamu.”
4 Jawab Ester, “Jika tuanku perkenankan, sudilah kiranya tuanku dan Haman datang pada hari ini ke jamuan yang hamba adakan untuk tuanku.”
5 Maka raja memberikan perintah, “Suruhlah Haman bergegas ke mari supaya kami dapat memenuhi permintaan Ester.” Maka datanglah raja dan Haman ke jamuan yang diadakan oleh Ester.
6 Ketika baginda minum air anggur, raja berkata kepada Ester, “Apakah permohonanmu? Pasti akan dikabulkan untukmu. Apakah permintaanmu? Meskipun sampai separuh daripada kerajaan ini pun akan dipenuhi.”
7 Jawab Ester, “Inilah permohonan dan permintaan hamba:
8 jika tuanku bermurah hati kepada hamba dan jika baik menurut tuanku untuk meluluskan permohonan hamba dan memenuhi permintaan hamba itu, sudilah kiranya tuanku datang lagi berserta Haman pada hari esok ke jamuan yang akan hamba adakan untuk tuanku dan Haman. Esok hamba akan menjawab pertanyaan tuanku.”
9 Pada hari itu Haman keluar dengan gembira dan riang hati. Akan tetapi, apabila Haman melihat Mordekhai yang ada di pintu gerbang istana raja tidak bangkit berdiri dan tidak bergerak untuk memberi hormat kepadanya, meluap-luaplah amarahnya terhadap Mordekhai.
10 Namun begitu Haman menahan dirinya lalu pulang ke rumah. Maka dia mengundang para sahabatnya untuk datang menyertainya serta Zeres, isterinya.
11 Berceritalah Haman kepada mereka tentang kemuliaan dan kekayaannya serta fasal berapa ramai anak lelakinya, tentang segala kebesaran yang dikurniakan baginda raja kepadanya, dan tentang kedudukannya yang ditinggikan melebihi para pembesar serta pegawai raja yang lain.
12 Haman menambah, “Bukan itu sahaja, Ratu Ester hanya mengundang aku seorang untuk datang bersama-sama raja ke jamuan yang diadakannya. Esok juga aku diundangnya bersama-sama raja.
13 Tetapi semua ini tidak berfaedah bagiku selagi aku melihat Mordekhai, si orang Yahudi itu, duduk di pintu gerbang istana raja.”
14 Lalu Zeres, isterinya, dan semua sahabatnya berkata kepadanya, “Suruhlah orang membuat tempat penggantungan bertiang kayu setinggi lima puluh hasta dan esok pagi berbicaralah kepada raja supaya Mordekhai digantung pada tiang itu. Kemudian barulah engkau dapat pergi dengan gembira bersama-sama raja ke jamuan itu.” Usul itu dipandang baik oleh Haman, lalu disuruhnya orang membuat tempat penggantungan itu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ester 5
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ester 5

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV