1 Apabila Mordekhai mengetahui segala yang berlaku itu, dia mengoyakkan pakaiannya lalu memakai pakaian perkabungan dan abu. Keluarlah dia ke tengah-tengah kota sambil berteriak-teriak dengan nyaring dan pedih.
2 Namun begitu, dia sekadar sampai ke hadapan pintu gerbang istana raja, kerana tiada sesiapa yang boleh memasuki pintu gerbang istana raja dengan memakai pakaian perkabungan.
3 Begitu jugalah keadaan di setiap wilayah, di mana-mana sahaja perintah dan undang-undang raja itu dihebahkan, maka orang Yahudi berkabung serta berpuasa, dan meratap tangis. Ramai orang yang menghamparkan kain kabung dengan abu sebagai alas tidur.
4 Ketika para dayang dan sida Ester datang memaklumkan hal itu kepadanya, sang ratu teramat susah hati. Lalu dikirimkannya pakaian kepada Mordekhai supaya dia menggantikan pakaian perkabungan di tubuhnya, tetapi Mordekhai enggan menerimanya.
5 Lalu Ester memanggil Hatah, salah seorang sida raja yang dikhaskan raja untuk melayaninya. Disuruhnya Hatah menemui Mordekhai untuk mengetahui apa yang sedang terjadi dan apa yang menyebabkannya.
6 Maka Hatah pergi menemui Mordekhai di lapangan kota yang terletak di depan pintu gerbang istana raja.
7 Disampaikanlah oleh Mordekhai kepada Hatah segala sesuatu yang dialaminya dan berapa banyak wang yang dijanjikan Haman untuk dibayar kepada perbendaharaan raja sebagai harga pembinasaan orang Yahudi.
8 Dia juga memberi Hatah salinan titah yang dikeluarkan di Susan untuk memusnahkan mereka, supaya ditunjukkan kepada Ester. Hatah disuruh menyampaikan pesan kepada Ester supaya Ester pergi menghadap raja untuk memohon belas kasihan baginda dan mengajukan rayuan bagi bangsanya di hadapan baginda.
9 Maka pergilah Hatah untuk menyampaikan kata-kata Mordekhai kepada Ester.
10 Lalu Ester menyuruh Hatah menyampaikan pesan kepada Mordekhai,
11 “Semua pegawai raja dan rakyat di wilayah-wilayah kerajaan tahu bahawa hukuman mati ialah satu-satunya peraturan bagi setiap laki-laki atau perempuan yang masuk menghadap raja di laman dalam, tanpa dipanggil. Hanya jika raja menghulurkan cokmar emas kepadanya, barulah dia dapat tetap hidup. Tetapi sudah selama tiga puluh hari, aku belum juga dipanggil masuk menghadap raja.”
12 Ketika kata-kata Ester itu disampaikan kepada Mordekhai,
13 dia menyuruh agar disampaikan jawapan ini kepada Ester, “Jangan sangka kerana kamu berada di dalam istana raja, hanya kamu daripada antara orang Yahudi yang kelak terlepas.
14 Jika pada saat ini engkau berdiam diri sahaja, maka kelegaan dan pembebasan bagi orang Yahudi akan datang daripada pihak lain, tetapi engkau dan kaum keluargamu akan binasa. Siapa tahu, mungkin untuk saat seperti inilah engkau telah mencapai kedudukan diraja dalam kerajaan itu.”
15 Lalu Ester menyuruh agar jawapan ini disampaikan kepada Mordekhai,
16 “Pergilah, kumpulkan semua orang Yahudi yang ada di Susan dan berpuasalah untuk aku. Jangan makan dan jangan minum selama tiga hari, baik malam mahupun siang. Aku dan para dayangku pun akan berpuasa secara demikian, kemudian aku akan masuk menghadap raja, sekalipun bertentangan dengan undang-undang. Jika kerana itu aku harus binasa, biarlah aku binasa.”
17 Maka pergilah Mordekhai lalu dilakukannya sebagaimana yang diarahkan oleh Ester kepadanya.