1 Kulihat ada sesuatu keburukan yang amat menekan manusia di bawah matahari:
2 Allah mengurniai orang kekayaan, harta benda dan kehormatan sehingga dia tidak kekurangan sesuatu pun yang diingininya. Akan tetapi, Allah tidak mengurniai orang itu kuasa untuk menikmati semua itu, malah orang lain yang menikmatinya. Inilah kesia-siaan; sesuatu keburukan yang menyedihkan.
3 Jika seorang lelaki mempunyai seratus orang anak dan berumur panjang, yakni lama hidupnya tetapi dia tidak puas dengan segala kebaikan hidup, malah dia tidak dikebumikan, maka kataku, anak yang gugur lebih baik daripada dia.
4 Anak yang gugur itu datang dalam kesia-siaan dan pergi dalam kegelapan, dan namanya dilitupi kegelapan.
5 Lagipun tidak pernah dia melihat matahari ataupun mengetahui sesuatu pun. Dia lebih tenteram berbanding dengan lelaki malang tadi.
6 Biarpun dia hidup dua kali seribu tahun tetapi tidak dapat menikmati kemakmuran. Bukankah segala sesuatu menuju ke satu tempat yang sama?
7 Segala usaha seseorang berpenat lelah demi mulutnya, namun nafsu seleranya tidak dipuaskan.
8 Apakah kelebihan orang yang bijaksana berbanding dengan orang yang bodoh? Apakah kelebihan orang miskin yang tahu membawa diri di hadapan orang?
9 Melihat sahaja lebih baik daripada mengikut nafsu yang sentiasa berubah-ubah. Ini juga kesia-siaan dan usaha menjaring angin.
10 Apa sahaja yang wujud, sudah lama disebut namanya. Memang sudah diketahui betapa manusia tidak mampu bertikai dengan yang lebih berkuasa daripadanya.
11 Bukankah semakin banyak kata hanya meningkatkan kesia-siaan. Jadi apakah faedahnya bagi manusia?
12 Siapakah yang tahu apa yang baik bagi manusia sepanjang tempoh kehidupannya yang sia-sia dan dilaluinya seperti bayang-bayang? Siapakah yang dapat memberitahu manusia apa akan terjadi di bawah matahari sesudah ketiadaannya?