1 Para imam Lewi, iaitu seluruh suku Lewi, tidak akan mendapat bahagian atau harta pusaka sebagaimana orang Israel lainnya. Mereka harus mendapat rezeki daripada korban bakaran bagi TUHAN, dan daripada apa yang menjadi milik-Nya.
2 Mereka tidak akan mendapat harta pusaka dalam kalangan saudara mereka kerana TUHAN ialah harta pusaka mereka, seperti yang dijanjikan-Nya kepada mereka.
3 Inilah yang menjadi hak para imam daripada umat, iaitu daripada orang yang mempersembahkan korban sembelihan, baik berupa lembu mahupun domba. Hendaklah mereka memberikan kepada imam bahagian bahu, kedua-dua rahang, dan perut besar.
4 Hendaklah kamu berikan kepada mereka hasil pertama daripada gandummu, anggurmu, minyakmu, serta hasil pertama guntingan bulu dombamu,
5 kerana TUHAN, Allahmu, telah memilih mereka dan keturunan mereka daripada kalangan segala sukumu untuk sentiasa bertugas menyelenggarakan ibadat demi nama TUHAN.
6 Jika seorang Lewi daripada kotamu yang mana-mana pun di seluruh Israel tempat dia tinggal, datang berdasarkan keinginan hatinya ke tempat yang akan dipilih TUHAN,
7 maka dia boleh menyelenggarakan ibadat demi nama TUHAN, Allahnya, seperti semua saudaranya, iaitu kalangan bani Lewi yang bertugas di sana, di hadapan TUHAN.
8 Hendaklah mereka mendapat bahagian rezeki yang sama, di samping apa yang diterima mereka daripada hasil penjualan harta para leluhur mereka.
9 Apabila engkau masuk ke negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu, jangan belajar melakukan hal-hal keji seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa itu.
10 Jangan didapati dalam kalangan kamu orang yang mempersembahkan anak lelakinya atau anak perempuannya sebagai korban yang dibakar, atau orang yang menjadi penenung, peramal, ahli nujum, ahli sihir,
11 tukang mantera, orang yang bertanya kepada arwah, atau ahli sihir yang meminta petunjuk daripada orang mati.
12 Sesungguhnya, setiap orang yang melakukan hal-hal itu dipandang keji oleh TUHAN. Kerana hal-hal keji itulah TUHAN, Allahmu, mengusir bangsa-bangsa itu dari hadapanmu.
13 Hendaklah kamu hidup tidak bercela di hadapan TUHAN, Allahmu.
14 Bangsa-bangsa yang akan kauusir itu mendengar nasihat para peramal dan penenung, tetapi TUHAN, Allahmu, tidak mengizinkan engkau berbuat demikian.
15 TUHAN, Allahmu, akan membangkitkan untukmu seorang nabi sepertiku daripada kalangan saudaramu. Dialah yang harus kamu dengar,
16 seperti yang telah kamu minta kepada TUHAN, Allahmu, di Horeb pada hari kamu berkumpul. Katamu, ‘Janganlah kami dengar lagi suara TUHAN, Allah kami, dan janganlah kami lihat lagi api yang besar ini, supaya jangan kami mati.’
17 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Apa yang dikatakan mereka itu baik.
18 Aku akan membangkitkan bagi mereka seorang nabi seperti engkau daripada kalangan saudara mereka. Aku akan memberitahukan kepadanya firman-Ku, dan dia akan menyampaikan kepada mereka semua yang Kuperintahkan kepadanya.
19 Jadi, setiap orang yang tidak mahu mendengar firman-Ku yang akan disampaikan nabi itu atas nama-Ku akan Kutuntut pertanggungjawaban.
20 Tetapi hendaklah dihukum mati seseorang nabi yang dengan semberono menyampaikan atas nama-Ku perkataan yang tidak Kusuruh sampaikan, atau yang berbicara atas nama tuhan-tuhan lain.’
21 Jika kamu bertanya dalam hatimu, ‘Bagaimanakah kami boleh mengetahui perkataan yang tidak difirmankan TUHAN?’
22 Apabila seorang nabi berbicara atas nama TUHAN tetapi hal itu tidak terjadi dan tidak terlaksana, maka perkataan itu tidak difirmankan TUHAN. Nabi itu telah berbicara dengan semberono. Kamu tidak perlu takut kepadanya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ulangan 18
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ulangan 18

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV