1 Seandainya muncul seorang nabi atau seorang pemimpi dalam kalangan kamu, dan dia menunjukkan kepadamu suatu tanda ajaib atau mukjizat,
2 lalu tanda ajaib atau mukjizat yang dikatakannya kepadamu itu terjadi dan dia berkata, ‘Mari kita mengikuti tuhan-tuhan lain, iaitu tuhan-tuhan yang tidak kaukenal, dan mari kita beribadat kepadanya,’
3 jangan dengarkan kata-kata nabi atau pemimpi itu, kerana TUHAN, Allahmu, sedang menguji kamu untuk mengetahui adakah kamu sungguh-sungguh mengasihi TUHAN, Allahmu, dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu.
4 Ikutilah TUHAN, Allahmu, dan takutlah kepada-Nya. Taatilah betul-betul segala perintah-Nya dan patuhilah Dia. Beribadatlah kepada-Nya dan berpautlah kepada-Nya.
5 Hendaklah nabi atau pemimpi itu dihukum mati kerana dia telah mencetuskan api pemberontakan terhadap TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir dan yang membebaskan engkau dari tempat perhambaan. Pemimpi itu bermaksud menyesatkan kamu daripada mengikuti jalan yang sepatutnya kamu tempuhi sebagaimana yang diperintahkan TUHAN, Allahmu, kepadamu. Oleh itu, singkirkanlah yang jahat itu daripada kalangan kamu.
6 Seandainya saudara lelakimu, iaitu anak lelaki ibumu, atau anak lelakimu, atau anak perempuanmu, atau isterimu sendiri yang dikasihi, atau sahabatmu yang paling karib memujuk engkau secara diam-diam dengan berkata, ‘Mari kita beribadat kepada tuhan-tuhan lain,’ tuhan-tuhan yang tidak kamu kenal atau dikenali oleh nenek moyangmu,
7 iaitu tuhan daripada bangsa-bangsa yang ada di sekelilingmu, baik yang dekat mahupun yang jauh, dari satu hujung bumi sampai ke hujung bumi yang lagi satu,
8 jangan ikuti dan jangan dengarkan pujukannya. Jangan berasa kasihan terhadapnya dan jangan lindungi dia,
9 melainkan hendaklah engkau menjalankan hukum mati atasnya. Hendaklah tanganmu yang pertama sekali bergerak untuk menjalankan hukum mati atasnya, kemudian barulah tangan seluruh umat pula.
10 Rejamlah dia dengan batu hingga mati kerana dia berusaha menyesatkan engkau daripada TUHAN, Allahmu, yang telah membawa engkau keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan.
11 Maka semua orang Israel akan mendengar hal itu dan menjadi takut, sehingga mereka tidak lagi melakukan perkara jahat seperti itu dalam kalangan kamu.
12 Jika kamu terdengar orang berkata di salah sebuah kota yang dikurniakan untuk kamu diami oleh TUHAN, Allahmu,
13 bahawa daripada kalangan kamu muncul beberapa orang tidak berguna yang menyesatkan penduduk kota mereka dengan berkata, ‘Mari kita beribadat kepada tuhan-tuhan lain,’ iaitu tuhan-tuhan yang tidak kamu kenal,
14 maka hendaklah kamu teliti menanyakan, memeriksa, dan meneliti hal itu baik-baik. Kalau ternyata hal itu benar dan sudah pasti bahawa hal keji itu dilakukan dalam kalangan kamu,
15 maka hendaklah kamu menghentam penduduk kota itu dengan mata pedang. Tumpaslah kota itu serta segala isinya dan juga ternakannya dengan mata pedang.
16 Kumpulkanlah segala jarahan ke tengah-tengah lapangan, lalu bakarlah habis kota dengan jarahan itu sekali gus untuk dipersembahkan kepada TUHAN, Allahmu. Semua itu akan menjadi timbunan puing untuk selama-lamanya dan tidak akan dibangunkan semula.
17 Jangan biarkan satu apa pun daripada barang-barang yang dikhususkan untuk dimusnahkan itu melekat pada tanganmu. Dengan demikian TUHAN akan berpaling daripada kemurkaan-Nya yang menyala-nyala, menunjukkan belas kasihan-Nya kepadamu, menyayangi engkau, dan membuat engkau menjadi ramai, seperti yang telah Dia sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu,
18 kerana engkau mematuhi TUHAN, Allahmu, berpegang teguh pada segala perintah-Nya yang aku sampaikan kepadamu pada hari ini, dan melakukan apa yang benar di mata TUHAN, Allahmu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ulangan 13
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ulangan 13

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV