1 Lalu bersungutlah orang Israel di hadapan TUHAN mengenai nasib malang yang menimpa mereka dan ketika TUHAN mendengarnya, menyalalah kemurkaan-Nya lalu api TUHAN menyala dalam kalangan mereka dan menghanguskan bahagian pinggiran perkhemahan.
2 Maka berserulah bangsa itu kepada Musa dan Musa pun berdoa kepada TUHAN, lalu padamlah api itu.
3 Itulah sebabnya tempat itu dinamai Tabera kerana api TUHAN menyala dalam kalangan mereka.
4 Maka pada suatu waktu, gerombolan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam kalangan mereka itu amat bernafsu untuk makan daging lalu menangislah orang Israel seraya berkata, “Kalaulah ada yang memberi kita daging untuk dimakan!
5 Kita ingat akan ikan yang kita makan di Mesir yang didapati dengan percuma sahaja, mentimun, tembikai, bebawang, bawang merah, dan bawang putih.
6 Tetapi sekarang kita kurus kering. Tidak ada apa-apa selain manna yang kita lihat di hadapan mata.”
7 Manna itu seperti biji ketumbar dan kelihatan seperti damar.
8 Bangsa itu berjalan ke sana ke mari memungutinya, lalu mengisarnya di dalam pengisar atau menumbuknya di dalam lesung. Setelah itu, mereka memasaknya dalam periuk lalu merebusnya di dalam belanga lalu membuat kuih bundar daripadanya. Rasanya seperti rasa penganan yang dibakar dengan minyak.
9 Apabila embun turun di perkhemahan itu pada malam hari, turun jugalah manna itu.
10 Musa mendengar ratapan umat itu, semua orang daripada kaum masing-masing menangis di depan pintu khemah mereka. Maka menyalalah murka TUHAN yang besar, tetapi Musa berasa tidak senang.
11 Lalu kata Musa kepada TUHAN, “Mengapakah Engkau menyusahkan hamba-Mu ini? Mengapakah tidak ada rahmat bagi hamba di mata-Mu, sehingga beban seluruh bangsa ini Kautanggungkan kepadaku?
12 Adakah hamba yang mengandung seluruh bangsa ini? Adakah hamba yang menjadikan mereka sehingga Engkau berfirman kepada hamba, ‘Bawalah mereka dalam dakapanmu seperti seorang pengasuh menggendong anak yang sedang menyusu,’ ke tanah yang Kaujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka?
13 Dari manakah hamba dapat memperoleh daging untuk diberikan kepada seluruh bangsa ini? Mereka menangis di depan hamba sambil berkata, ‘Berilah kami daging untuk dimakan.’
14 Hamba tidak dapat menanggung beban seluruh bangsa ini seorang diri, kerana hal itu terlalu berat bagi hamba.
15 Jika Engkau memperlakukan hamba demikian, ambil sahaja nyawa hamba sekarang, kalau memang ada rahmat bagi hamba di mata-Mu. Jangan biarkan hamba melihat kemalangan hamba.”
16 Firman TUHAN kepada Musa, “Kumpulkanlah bagi-Ku tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua Israel yang kaukenal sebagai tua-tua umat dan pegawai atasan rakyat. Bawalah mereka ke Khemah Pertemuan, dan suruhlah mereka menyatakan pendirian mereka di sana bersama-samamu.
17 Aku akan hadir dan berfirman kepadamu di sana, lalu Aku akan mengambil sebahagian daripada Roh yang ada padamu dan meletakkannya pada mereka lantas mereka akan menanggung beban bangsa ini bersama dengan kamu, sehingga kamu tidak perlu menanggungnya bersendirian.
18 Katakanlah kepada bangsa itu, ‘Sucikanlah dirimu untuk hari esoknya lalu kamu akan memakan daging. TUHAN telah mendengar kamu menangis sambil berkata, “Siapakah yang akan memberi kami makan daging? Keadaan kami di Mesir dahulu lebih baik!” Jadi, TUHAN akan memberi kamu daging dan kamu akan memakannya.
19 Kamu akan memakannya bukan sehari, dua hari, lima hari, sepuluh hari, atau dua puluh hari sahaja,
20 tetapi selama sebulan penuh, sampai daging itu keluar melalui lubang hidungmu sehingga membuat kamu muak. Hal itu terjadi kerana kamu telah menolak TUHAN yang hadir dalam kalangan kamu dan kamu menangis di hadirat-Nya sambil berkata, “Untuk apa kami keluar dari Mesir?” ’ ”
21 Akan tetapi, Musa berkata, “Umat yang bersama-sama hamba ini seramai 600,000 orang pejalan kaki, dan Engkau berfirman, ‘Aku akan memberi mereka daging untuk mereka makan selama sebulan penuh!’
22 Jika kawanan domba dan kawanan lembu disembelih, cukupkah semua itu untuk mengenyangkan mereka? Atau, jika segala ikan di laut dikumpulkan, cukupkah semua itu untuk mengenyangkan mereka?”
23 Firman TUHAN kepada Musa, “Apakah kuasa TUHAN terbatas? Sekarang kamu akan melihat sama ada firman-Ku akan ternyata atasmu atau tidak.”
24 Maka keluarlah Musa lalu disampaikannya firman TUHAN kepada bangsa itu. Dia mengumpulkannya tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua bangsa itu dan disuruhnya mereka berdiri di sekeliling Khemah.
25 Kemudian TUHAN hadir dalam awan dan berfirman kepada Musa. Diambil-Nya sebahagian daripada Roh yang ada pada Musa, lalu diletakkan-Nya pada kesemua tujuh puluh tua-tua umat itu. Ketika Roh itu turun ke atas mereka, bernubuatlah mereka seperti nabi, tetapi sesudah itu mereka tidak lagi bernubuat.
26 Akan tetapi, ada dua orang tertinggal di perkhemahan, seorang bernama Eldad dan seorang lagi bernama Medad. Mereka termasuk antara orang yang tercatat, tetapi tidak turut pergi ke Khemah. Walaupun demikian, Roh itu pun turun ke atas mereka dan mereka bernubuat seperti nabi di perkhemahan.
27 Lalu seorang muda berlari memberitahukan hal itu kepada Musa, katanya, “Eldad dan Medad bernubuat seperti nabi di perkhemahan.”
28 Yosua anak Nun, yang menjadi pembantu Musa sejak masa mudanya, berkata, “Tuanku Musa, cegahlah mereka!”
29 Tetapi kata Musa kepadanya, “Adakah kamu mencemburui hal itu demi aku? Kalau sahaja seluruh umat TUHAN menjadi nabi kerana TUHAN mengurniakan Roh-Nya kepada mereka!”
30 Setelah itu, Musa kembali ke perkhemahan bersama-sama tua-tua Israel.
31 Kemudian bertiuplah angin daripada TUHAN, menerbangkan burung-burung puyuh dari arah laut dan menjatuhkannya di sekitar perkhemahan hingga kira-kira sehari perjalanan jauhnya di sekeliling perkhemahan itu. Burung-burung itu berterbangan kira-kira dua hasta di atas permukaan tanah.
32 Segeralah bangsa itu mengumpulkan burung-burung puyuh sepanjang hari, sepanjang malam, bahkan hingga esoknya sehari-harian. Setiap orang paling sedikit mengumpulkan rezeki seberat sepuluh homer , kemudian mereka menebarkan semuanya di sekeliling perkhemahan.
33 Akan tetapi, sementara daging masih dikunyah oleh mereka dan belum ditelan, menyalalah kemurkaan TUHAN terhadap bangsa itu. TUHAN mengazab mereka dengan wabak yang amat besar.
34 Itulah sebabnya tempat itu dinamai Kibrot-Taawa, kerana di sanalah dikebumikan orang yang bernafsu makan daging.
35 Dari Kibrot-Taawa bangsa itu melanjutkan perjalanan ke Hazerot, lalu mereka tinggal di Hazerot.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Bilangan 11
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Bilangan 11

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV