1 “Mengapakah Yang Maha Kuasa tidak menentukan masa penghakiman? Mengapakah kalangan yang mengenal Dia tidak melihat hari pengadilan-Nya?
2 Ada orang yang memindahkan batas tanah, mereka merampas kawanan ternak lalu menggembalanya.
3 Mereka menghalau keldai anak yatim, mengambil lembu seorang balu sebagai gadaian.
4 Mereka mendorong fakir miskin dari jalan, fakir miskin di negeri terpaksa bersembunyi bersama-sama.
5 Sesungguhnya, seperti keldai liar di gurun fakir miskin itu pergi bekerja, mencari makanan dengan rajin. Padang gurun mengeluarkan makanan bagi anak-anak mereka.
6 Mereka menuai makanan ternak di padang, dan memetik buah yang tertinggal di kebun anggur orang fasiq.
7 Dengan telanjang mereka bermalam, kerana tidak ada pakaian; selimut pada waktu dingin pun tidak dipunyai mereka.
8 Mereka basah oleh hujan pergunungan, mereka mendakap batu kerana tidak ada perlindungan.
9 Ada orang yang merampas anak yatim daripada susu ibunya, dan mengambil gadaian daripada orang miskin
10 yang terpaksa berkeliaran dengan telanjang tanpa pakaian, dan memikul berkas-berkas gandum tetapi tetap kelaparan.
11 Mereka membuat minyak di antara tembok kalangan itu, mereka menginjak-injak tempat pemerasan anggur tetapi tetap kehausan.
12 Orang mengerang dari dalam kota, hati orang yang terluka berteriak minta tolong, tetapi Allah tidak menuduh seorang pun berbuat salah.
13 Ada orang yang menderhaka kepada cahaya; mereka tidak mengenal jalan-jalannya dan tidak tetap tinggal di lorong-lorongnya.
14 Si pembunuh bangun pada waktu fajar, dibunuhnya orang miskin dan orang melarat. Pada malam hari dia berlaku seperti pencuri.
15 Mata si penzina menantikan senja, katanya, ‘Tak ada mata yang melihat aku,’ dan dia memasang selubung muka.
16 Pada waktu gelap mereka membongkar rumah, pada siang hari mereka menyembunyikan diri. Mereka tidak mengenal cahaya.
17 Bagi mereka pagi hari sama seperti bayang-bayang maut, kerana mereka sudah terbiasa dengan kedahsyatan bayang-bayang maut.
18 Mereka hanyut dengan cepat di permukaan air, bahagian mereka terkutuk di bumi. Tidak ada lagi yang pergi ke kebun anggur mereka.
19 Kemarau dan panas menghabiskan air salji, demikian juga alam kubur menghabiskan kalangan berdosa.
20 Rahim si ibu melupakannya, belatung melahapnya. Dia tidak diingat lagi, dan runtuhlah kezaliman seperti pokok.
21 Dia memangsakan perempuan mandul, yang tidak beranak, dan tidak berbuat baik kepada seorang balu.
22 Tetapi Allah menyeret kalangan perkasa dengan kekuatan-Nya. Sekalipun mereka bangkit, hidup mereka tidak terjamin.
23 Allah memberi mereka keamanan yang menjadi sandaran mereka, mata-Nya memandangi jalan-jalan mereka.
24 Mereka ditinggikan sebentar lalu tidak ada lagi, mereka direndahkan dan dikumpulkan seperti semua orang lain, mereka dipotong seperti bulir gandum.
25 Jika tidak demikian adanya, siapa dapat membuktikan aku berdusta dan meniadakan kata-kataku?”